> March 2013 ~ ABIM Negeri Melaka

Sunday, March 24, 2013


Antara isu yang menjadi perdebatan hangat menjelang pilihanraya adalah isu kedaulatan Islam. Islam menjadi modal yang terlaris apabila diperkatakan bersama Melayu. Ia cukup dekat dan membekas dalam hati nurani umat Melayu. Persoalan berkaitan Islam bermula dari sinar pengetahuan, lalu menjalar ke batang tubuh pendidikan sehingga ke kemuncak perlembagaan. Islam perlu didaulatkan tanpa alasan penangguhan, mahupun kesediaan. Islam perlu diangkat walau sebesar mana pun risikonya, perlu diperjuangkan walau apa pun tentangannya dan perlu ditinggikan walau berapa pun harganya. 

Islam tiada galang gantinya. Perjuangan mendaulatkan Islam adalah perjuangan yang tinggi lagi mulia. Nyawa, harta, keluarga dan segalanya akan di pertaruhkan demi menjayakan perjuangan ini. Dalam nyalaan semangat ini, adakala kita terlupa dengan inti perjuangan. Kita merasakan cukup apabila kita melaungkan takbir, melilit kepala dengan kain yang bertulisan kalimah syahadah, lalu berasa halal untuk kita beraksi sesuka hati. Lebih menyedihkan apabila keceluparan kata bicara kita yang melampaui batasan akhlak dengan segala maki hamun, fitnah dan terus terjerumus ke kancah jenayah qazf. 

Islam sentiasa konsisten dengan keterikatan terhadap dasar tauhid. Ia membekas hampir dalam setiap sudut kehidupan. Tauhid menguasai warna pemikiran (pandangan sarwa) lalu mengakar dalam keyakinan dan seterusnya mencorakkan tindakan. Dari sinilah nanti lahirnya penghayatan syariat, yang perlu wujud dalam setiap diri individu muslim, iaitu menerima setulus hati dan penuh kerelaan, tanzim hidup Islamiy secata total dan sempurna. 

Maka untuk itu perjuangan mengangkat atau mendaulatkan syariat semestinya bermula dari pendaulatan individu yang bernama muslim terlebih dahulu. Akar kedaulatan tersimpul kukuh dalam kalimah tauhid yang mengisyaratkan pembebasan seutuhnya dari sebarang kesyirikan. Syirik merupakan perosak dalam usaha membebaskan manusia. Untuk tujuan itu usaha-usaha pencerdasan dan pencerahan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. 

Pencerdasan rakyat mengarahkan kita membina upaya rakyat dalam memilih, berpendirian dan bersikap. Justeru keupayaan memilih ini perlu segar dalam ruang lingkup pencerahan yang tulen. Kekaburan pandangan yang disebabkan kotoran atau debu-debu kepalsuan maklumat perlu dibersihkan. Kita tidak mahu kekaburan ini bertukar menjadi kegelapan yang membutakan. Pencerdasan rakyat akhirnyalah akan menjayakan gagasan rakyat sebagai masdar al-sultah seperti yang dinyatakan oleh Dr Wahbah al-Zuhayliy, bagi memastikan wujud peranserta umat dalam memastikan kedaulatan syariat terpelihara.
 

Dalam hal yang sama Hamka seorang tokoh ulama nusantara telah dipetik menyatakan”Kemerdekaan suatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa”. Sebarang pembelengguan yang berertikan pembodohan bakal meruntuhkan kemerdekaan negara dari dalam (Hamka, 1957). 

Ini adalah pra syarat pendaulatan syariat. Kedaulatan syariat perlu dibina dalam batasan dakwah yang sihat. Dalam hal ini para ulama perlu melaksanakan jihad al-kalimah, iaitu pernyataan kebenaran atas pundak ilmu tanpa takutkan ancaman dan ugutan. 

Kedaulatan syariat seperti yang ertikan oleh masyarakat kita yakni dalam capaian penegakkan hukum Allah perlu didahului dengan pendaulatan umat. Kedaulatan syarak bukan semata-mata perlaksanaan hukum Allah di mahkamah, tetapi mesti mencakupi pemartabatan karamah insaniah secara tuntas. Ia akan membawa kita kepada debat-debat intelektual bagi menyingkirkan segala hama sekularisasi yang memudaratkan. 

Jejak penjajah yang mengasingkan urusan pentadbiran negara dengan ruh tauhid perlu dipadamkan segera. Ulama perlu mampu menampilkan jawapan terhadap segala persoalan kehidupan secara bijaksana dan berhikmah. Maka akan lahirlah satu pendaulatan syariat yang berupaya menterjemahkan rahmah dan maghfirah, kasih sayang dan keampunan dari Allah s.w.t, yang menjadi inti dakwah Rasulullah s.a.w. Tiada ertinya perjuangan menegakkan syariat jika tiada usaha pencerdasan rakyat. Kedaulatan Islam berada jauh dari api panggangan jika persepakatan rakyat berada di atas tapak pembelengguan yang merimaskan.  

Disediakan oleh Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


 

Posted on Sunday, March 24, 2013 by Unknown

Saturday, March 16, 2013

Oleh: Amidi Abd Manan Perjuangan bangsa bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah tamadun manusia. Sejarah moden hari ini pun telah mencatatkan beberapa peristiwa diluar batasan rasional. Holocaust, pengeboman Sabra-Shatila, pembersihan etnik Bosnia oleh bangsa Serbia dan Croat dan yang terbaru pengusiran bangsa Rohingya dari Myanmar. Tidak dinafikan juga perang dunia kedua turut dilatari oleh sikap fanatik kebangsaan yang melampau. Adakah ini yang dinamakan perjuangan bangsa? Adakah perjuangan bangsa ditandai hanya dengan perluasan tanah jajahan, penguasaan hasil ekonomi atau majoriti kerusi yang dimenangi di Parlimen? 

Kepesatan dakwah Islamiah di rantau ini pada kurun yang ke 15 membawa satu perubahan yang begitu signifikan kepada masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu didedahkan mengenai konsep kepimpinan yang berteraskan khidmat dan bakti bukan lagi keramat dan sakti. Kepimpinan adalah satu amanah bagi menegakkan kebenaran dan keadilan, dilatari misi khalifatullah fil ardh. Kepimpinan perlu berlangsung dengan terma pendaulatan syariat dan pendaulatan rakyat. 

Banyak kisah yang sengaja dinukilkan dalam pelbagai catatan sejarah dan kesusasteraan Melayu yang diangkat oleh Yg Berbahagia Dato Dr Siddiq Fadhil dalam bukunya Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Kisah al-Wa’ad yang menekankan perihal maruah rakyat yang perlu dipelihara, kisah Putera Mahkota Tengku Muhamad yang terbuang ke Pahang lantaran kesalahan membunuh rakyat biasa serta banyak lagi coretan pesanan menerusi gurindam, puisi dan bidalan yang dimuatkan. 

Kita perlu akur paksi kekuatan umat adalah penghayatan yang tulen dan total terhadap nilai-nilai sejagat yang dibawa oleh Islam. Melayu perlu kembali ke akar kekuatannya iaitu Islam. Kepimpinan Melayu perlu memperbaharui tekadnya untuk melaksanakan, menghayati dan memperjuangkan ajaran Islam.Kesatuan dan kesepakatan bangsa Melayu mestilah terpasak pada teras nilai-nilai Islamiy bukan pada kerakusan nafsu tamak haloba membolot harta, atau kegilaan mempertahankan kuasa atau keinginan menyingkirkan bangsa lain dari persada politik negara. Kita juga berasa jengkel apabila persepakatan Melayu digandingkan secara melulu bersama pendaulatan agama. 

Belum tentu Islam berdaulat dengan Melayu bersepakat. Jika sepakatnya Melayu itu berada di atas noda maksiat, menghalalkan perampasan hak dan penipuan, menyuburkan keganasan dan perlakuan terror, melindungi amalan kronisme dan nepotisme, menggalakkan fitnah dan pengaiban, maka pendaulatan Islam hanyalah ilusi semata-mata.Kelompok yang mempromosi pendaulatan Islam atas kesepakatan Melayu secara melulu adalah kelompok yang keliru. Kelompok ini gagal membezakan antara helah dan maslahah. Justeru tidak hairanlah jika hujah yang lahir adalah hujah bagi mempertahankan kelompok istimewa Melayu bukan memperjuangkan hak-hak keistimewaan Melayu. 

Mereka riuh apabila isu LGBT terpapar di media tetapi bisu apabila institusi keluarga diruntuh oleh acara hiburan yang menggila, mereka riuh apabila pemakaian kalimah Allah di bible terjemahan bahasa Melayu, tetapi senyap sunyi apabila syariat Islam dicaci dan dihina. Kita menginsafi peranan, fungsi dan watak serta amanah dakwah yang terpikul di pundak setiap dari kita. Kita akan melunasi segala tanggungjawab ini walau siapa pun yang berada di Putrajaya nanti. Telah terbukti dalam lembaran sejarah kita, kita tegak berdiri atas prinsip al-amru bil maa’ruf wan ahyu a’ni munkar yang menjadi ciri utama kecemerlangan ummah. Kita berbeza pandang bukan menanggang, kita, mendebat dan bukan menjebat. 

Maka tugas pencerdasan ummah dan masyarakat perlu digerakkan. Pembodohan umat adalah satu jenayah kemanusiaan yang tidak boleh diampunkan, apatah lagi memberi janji palsu yang menjerut rakyat dalam perangkap kejahilan dan kemiskinan. Rakyat perlu dimerdekakan, dibebaskan dari belenggu perhambaan moden. Ia perlu bermula dengan proses percerdasan dengan menyedari bahawa manusia diberikan hak memilih yang unik yang tidak pernah diterima oleh makhluk yang lain. 

Justeru rakyat perlu tahu bagaimanakah hak tersebut mesti digunakan sewajarnya. Jangan terpengaruh dengan momok-momok atau dihantui oleh perbagai kebimbangan yang tidak berasas apatah lagi mejadi momok dan hantu. Moga-moga PRU yang bakal menjelang nanti akan menjadi mercu tanda dan gerbang perubahan ke arah politk yang lebih bermaruah dan berteraskan nilai-nilai rabbaniy yang abadi dan hakiki.


Posted on Saturday, March 16, 2013 by Unknown