Gencatan senjata yang dimeterai pada 23 November lalu telah melonjak nama Mohammad Morsi ke kemuncak perhatian media antarabangsa. Pelbagai pujian telah dihamburkan ke atas presiden Mesir pasca kejatuhan Hosni Mubarak. Bahkan di kalangan masyarakat Timur Tengah terutama sekali di Gaza, Mohammad Morsi seakan-akan menampilkan harapan baru yang menjamin masa depan yang lebih cerah untuk rantau tersebut. Akan tetapi, protes yang dilaporkan semakin berakar umbi di kalangan rakyat Mesir seakan-akan mengubah harapan ini menjadi sebuah mimpi ngeri.

Mengapakah protes ini berlaku? Merujuk kepada laporan media antarabangsa, ia bermula setelah Mohammad Morsi mengeluarkan peristiyharan yang meletakkan beliau berkuasa penuh terhadap sebarang keputusan politik di Mesir. Peristiyharan tersebut turut mempertahankan dewan syura ataupun badan perundangan tertinggi di Negara tersebut daripada dibubarkan, di samping mempertahankan keabsahan sebarang perundangan yang dikemukakan oleh badan tersebut.

Sekali imbas ia seakan-akan menyamai amalan politik Hosni Mubarrak. Kebangkitan rakyat di Mesir yang merupakan susulan daripada kebangkitan yang dicetuskan di Tunisia, merupakan manifestasi kebangkitan Karamah Insaniah ke atas amalan penindasan serta pembodohan yang dilakukan Hosni Mubarak. Bukanlah satu perkara yang mengejutkan sekiranya keputusan Morsi ini ditanggapi mengkhianati semangat kebangkitan yang dicetuskan oleh rakyat.




Mencermati kandungan keseluruhan peristiyharan yang dibuat Mohammad Morsi secara keseluruhannya, ada sisi-sisi lain yang perlu dipertimbangkan untuk membina kefahaman yang lebih menyeluruh terhadap isu ini. Artikel pertama dalam peristiyharan yang dikemukakan Morsi telah menekankan segala usaha untuk menyiasat semula serta mendakwa dalang yang bertanggungjawab di sebalik keganasan di Mesir pada tahun 2011.

Ironiknya, peristiyharan tersebut itu dikeluarkan setelah mahkamah Mesir membebaskan Hosni Mubarak daripada sebarang tuduhan atas keganasan yang berlaku tahun lalu. Justeru, adakah peristiyharan ini akan meletakkan Hosni Mubarak dan mereka yang terlibat untuk diadili sekali lagi? Dari satu segi, peristiyharan ini boleh dinilai bertujuan untuk mengembalikan integriti kehakiman yang luput akibat dari keputusan pengadilan Mubarak. Ini memandangkan peristiyharan tersebut mempertanggungjawabkan Mohamad Morsi untuk memilih hakim untuk sistem pengadilan di negara tersebut.

Politik Mesir masih mencari titik kestabilannya. Dalam masa yang sama, negara tersebut masih bergelut untuk membina identiti politiknya yang tersendiri. Dalam peristiyharan yang sama juga, Mohammad Morsi turut menekankan bahawa ia dibuat untuk membuka ruang agar satu perlembagaan baru dapat dibentuk dalam masa terdekat. Perlembagaan merupakan rujukan utama yang menentukan perjalanan sosio politik sesebuah negara. Dengan memberikan imuniti atau perlindungan kepada badan perundangan sepanjang tempoh perlembagaan dirangka, ia secara tidak langsung mampu mempercepatkan transisi sosio politik yang didambakan rakyat Mesir selama ini.

Dalam ucapan sempena pemilihan beliau selaku Presiden Mesir, Mohammad Morsi telah menyatakan komitmen beliau untuk mempertahankan prinsip keadilan serta memartabatkan Karamah Insaniah rakyat Mesir. Kemelut yang mengancam kestabilan politik Mesir pada ketika ini bakal menguji ketahanan kepimpinan Mohamad Morsi untuk terus mencorak masa depan Mesir.

Fenomena Arab Spring serta peranan Ikhwan Muslimin (dalam politik Mesir) bakal dicermati sekali lagi. Segalanya bergantung kepada hitam atau putih yang menanti di penghujung kemelut tersebut. Walauapapun yang terjadi kelak, usaha mendewasakan kefahaman serta amalan politik di kalangan rakyat Mesir perlu diusahakan. Tanpa kefahaman politik yang matang, sebuah masyarakat madani yang menjadi aras ukur perkembangan sesebuah ketamadunan tidak akan dapat direalisasikan.

Disediakan oleh Unit Penyelidikan Dan Hal Ehwal Semasa, Mediabim.


Sumber: ABIM Pusat