Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik dan mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada pihak kerajaan atas keperihatinan terhadap masa depan pembelajaran para pelajar Malaysia di Mesir. Usaha ini menunjukkan rasa kebertanggungjawaban yang tinggi dari pihak kerajaan.
ABIM percaya keputusan yang diambil oleh Kabinet pada hari Rabu (18 September 2013) telah memperkirakan pelbagai aspek. Namun, di sini ABIM memohon agar keputusan ini diperhalusi dengan lebih teliti lagi.
Asas kepada saranan ini adalah dengan merujuk kejadian penutupan sebuah kolej perubatan di Karnataka, India sekitar tahun 90’an yang melibatkan para pelajar Malaysia. Proses penyerapan para pelajar ketika itu mengambil masa kira-kira setahun oleh sebuah IPTA tempatan. Ini disebabkan proses pemindahan kredit melibatkan sukatan pelajaran, pengiktirafan dan pemantauan. Perkara ini dijangkakan lebih sukar kerana kebanyakan IPTS melaksanakan kursus perubatan secara berkembar dengan IPT luar negara.
ABIM khuatir sekiranya perkara ini tidak diperhalusi dengan teliti ia akan menimbulkan lebih banyak masalah dan mengganggu pembelajaran para pelajar. Lebih-lebih lagi wujud saranan daripada Malaysia Medical Council (MMC), Malaysian Pharmaceutical Board (MPB) dan Malaysian Dental Council (MDC) untuk pelajar kembali ke Mesir. Saranan tersebut dibuat dalam satu pertemuan dengan Menteri Pendidikan II pada 12 September 2013 yang lalu.
ABIM juga ingin menyarankan agar pelajar diberikan peluang untuk menyambung pelajaran di Mesir ssseperti biasa. Namun, bagi mencapai maksud ini, ABIM ingin menegaskan beberapa gesaan kepada pihak-pihak berikut:-
1) Penaja kepada para pelajar Malaysia meneruskan tajaan kepada mereka yang ingin meneruskan pengajian di Mesir. Wujud ura-ura sebuah yayasan negeri yang bercadang untuk menghentikan tajaan sekiranya para pelajar berhasrat meneruskan pengajian di Mesir.
2) Pelajar Malaysia memperkukuh kerjasama dengan para pegawai kerajaan Malaysia termasuk kerajaan negeri serta mengambil berat perkembangan isu semasa di media rasmi yang boleh dipercayai. Para pelajar juga harus menghindari sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan pengajian dan keselamatan mereka. Ini termasuklah status-status di FB, Twitter, dan laman-laman sosial seumpamanya.
3) Ibu bapa sentiasa mengikuti perkembangan anak-anak mereka serta menasihati anak mereka agar tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan pengajian anak mereka. Ibu bapa perlu sentiasa berhubung dengan para pegawai bagi mengetahui keadaan semasa secara benar, lengkap, dan menyeluruh. Sikap sebegini dapat menghindarkan rasa cemas yang keterlaluan.
4) ABIM juga menggesa agar pihak kerajaan berunding dengan pihak keselamatan Mesir agar meningkatkan pengawasan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dari segi keselamatan yang mana terdapat ramai pelajar Malaysia di situ.
ABIM menyambut baik usaha kerajaan mewujudkan medium komunikasi antara Kementerian Pendidikan dan para pelajar bagi menyediakan maklumat yang tepat. Usaha ini juga akan mewujudkan persefahaman dan keharmonian yang akan membantu mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
ABIM berharap dengan segala usaha dan kerjasama ketiga-tiga pihak ini, serta pegawai yang berkaitan, hasrat untuk pelajar Malaysia meneruskan pengajian di Mesir seperti biasa dapat direalisasikan. Kita berharap segala masalah ini dapat diselesaikan dengan baik secepat mungkin kerana pelajar hari ini adalah pemimpin negara pada masa akan datang.
Amidi Abdul Manan
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)