> December 2014 ~ ABIM Negeri Melaka

Wednesday, December 24, 2014


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah melancarkan kempen sumbangan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur. Susulan daripada usaha tersebut, ABIM serta Majlis Belia Malaysia (MBM) akan menggerakkan fasa pertama misi bantuan banjir ke Pantai Timur. Misi ini akan digerakkan mulai 24 Disember 2014 sehingga 26 Disember 2014.

Fasa pertama misi ini merangkumi penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas teruk akibat banjir di negeri Pahang, Terengganu, dan Kelantan. Di samping itu, misi bantuan ini juga akan akan melakukan misi peninjauan untuk merangka fasa misi bantuan banjir yang berikutnya. ABIM juga telah membuka bilik operasinya di negeri-negeri yang terjejas teruk untuk memudahkan bantuan disalurkan di samping memantau perkembangan semasa.

Memandangkan keadaan banjir yang semakin kritikal, sumbangan daripada warga masyarakat yang prihatin amat dialu-alukan. Sumbangan boleh disampaikan menerusi akaun ABIM (Maybank: 5642 2161 0116). ABIM juga telah membuka bilik operasi serta pusat pengumpulan di Sekretariat ABIM Pusat, Taman Cemerlang, Kuala Lumpur.

Pusat pengumpulan bantuan ini hanya menerima bantuan dalam bentuk Hygiene kit (berus & ubat gigi, sabun mandi, syampu), Pakaian solat , Tuala wanita , dan Lampin Bayi Hubungi talian hotline ( 019-293 6700 ) serta 013-311 7560 (Zikri). Pusat pengumpulan juga telah dibuka di ADAB Youth Garage Seksyen 2, Bandar Baru Bangi. Sila Hubungi Yasir: 011-2128 2023 (U.P:Yasir).

Rujuk Maklumat Terkini Perkembangan Banjir Di Pantai Timur Menerusi Page Active-Fast Centre

Sumber: ABIM Pusat

Posted on Wednesday, December 24, 2014 by Unknown


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam waran tangkap peringkat kod merah yang dikemukakan ke atas ulama’ tersohor, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawiy. Waran ini dikeluarkan oleh Badan Polis Antarabangsa (Interpol) atas permintaan daripada kerajaan Regim As-Sisi Mesir, yang mengaitkan Al-Qaradhawiy , dengan tuduhan menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vandalisme dan kecurian. Sesungguhnya dakwaan ini sangat berat memandangkan ia merupakan fitnah semata-mata. 

Mengikut catatan dalam buku Thawrah sya'b (Kebangkitan Rakyat), ketika kemuncak kebangkitan rakyat di Mesir, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawiy tetap mempertahankan pendekatan tunjuk perasaan secara aman walau diminta berkali-kali untuk membenarkan rakyat Mesir menggunakan kekerasan sebagai tindakbalas terhadap kekejaman yang dilakukan oleh pihak polis serta samseng upahan Hosni Mubarak. 

Walaupun ramai rakyat Mesir yang dibunuh secara kejam, Yusuf Al-Qaradhawiy tetap menyeru rakyat Mesir untuk meneruskan perhimpunan serta protes secara aman. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab menganjurkan agar para pemuda yang menyertai demonstrasi agar menunjukkan akhlak yang baik. Beliau juga meminta agar pihak penganjur demonstrasi mengutip sampah membersihkan Dataran Tahrir. Keadaan ini jelas menunjukkan kesetiaan beliau dalam mempertahankan prinsip asas demokrasi serta hak asasi manusia, secara aman tanpa menumpahkan darah. 

Atas dasar ini, masyarakat antarabangsa yang mendokong demokrasi seharusnya bangkit dan memprotes sebarang bentuk cubaan untuk merosakkan semangat demokrasi yang semestinya selari dengan Islam. Dunia Islam juga seharusnya menolak waran ini. Berdasarkan kenyataan di atas, tiada sebarang bukti untuk kaitkan Qaradhawi dengan sebarang aktiviti keganasan. 

Kerajaan Mesir yang mengeluarkan waran ini jelas bersikap 'double standard' dengan memejamkan mata terhadap kezaliman Hosni Mubarak dengan melepaskan beliau dari segala tuduhan, sedangkan kita sedia maklum ramai penggerak Ikhwan Muslimin dinafikan hak demokrasi mereka, dipenjara, diseksa tanpa mendapat perbicaraan yang sewajarnya. 

Justeru, ABIM menyeru kerajaan agar mengambil pendirian tegas dengan menyokong Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawiy, selaku penerima Tokoh Maal Hijrah 2009. Sokongan ini perlu disuarakan atas dasar mempertahankan wacana kesederhanaan sebagai aliran pemikiran utama sejagat. Dukungan ke atas Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawiy juga menzahirkan komitmen kita ke atas keluhuran amalan demokrasi dan hak asasi manusia. 

Amidi Abdul Manan 
Presiden ABIM

Sumber: ABIM Pusat

Posted on Wednesday, December 24, 2014 by Unknown