Rejim Israel terus mengulangi keganasan yang tidak berperikemanusian ke atas Gaza. Ianya mempamerkan kekejaman yang dahsyat dan suatu bentuk pencabulan terhadap keamanan sejagat dan undang-undang antarabangsa. Malahan, isu Palestin ini bukanlah suatu perkara yang baru. Umat Islam Palestin telah lama menderita akibat ditindas dan dijajah oleh rejim Zionis sudah lebih 63 tahun. Sehingga kini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak berdaya melakukan apa-apa tindakan terhadap Israel. Kerana Israel didokong dan disokong oleh sebuah negara kuasa besar. 

KEPRIHATINAN DAN KEMANUSIAAN 

 Amat memilukan hati seluruh umat Islam apabila melihat saudara se-iman mereka ditindas sebegitu kejam sekali. Lebih menyayat hati apabila mengenangkan nasib anak-anak kecil menjadi yatim, wanita-wanita menjadi janda, ibu-ayah kehilangan anak-anak tersayang. Firman ALLAH SWT,


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara." (Surah Al-Hujurat: 10)

Lantaran dari itu, pasti tekanan psikologi membelenggu diri mereka akibat ditindas rejim Zionis yang dajjal itu. Hanya kekuatan iman yang mampu menyemarakkan ketabahan dan kecekalan di hati. Firman ALLAH SWT,


"Cukuplah ALLAH bagi kami, DIA-lah sebaik-baik penolong." (Surah Ali-'Imran: 173)

Tampaknya, umat Islam di Malaysia mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap apa yang menimpa saudara mereka di Gaza. Pelbagai cara dan gaya mereka tunjukkan dalam menyatakan sokongan dan keprihatinan terhadap rakyat Palestin, serta mengecam tindakan tidak bertamadun rejim Zionis itu di laman-laman sosial dan seluruh internet. Namun, apakah tindakan yang mampu dan wajar dilakukan? 

TANGGUNGJAWAB IMAN 

Sebagai umat Islam, kita adalah bersaudara, kita adalah satu jasad. Sabda Nabi SAW,


"Orang-orang Islam umpama satu jasad. Apabila matanya sakit, maka sakitlah seluruh jasad. Apabila kepalanya sakit, maka sakitlah seluruh jasad." (Riwayat Muslim)

Maka saya menggesa seluruh umat Islam melakukan apa juga cara untuk mengirimkan bantuan kepada saudara-saudara kita di Palestin. Sesungguhnya, Palestin adalah milik seluruh umat Islam, kerana di sana terletaknya Masjid Al-Aqsa, yang merupakan Tanah Suci ketiga umat Islam selepas Masjid Al-Haram dan Masjid An-Nabawi. Dan Masjid Al-Aqsa adalah qiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Masjid Al-Haram. Justeru itu, ia adalah tanggungjawab iman bagi seluruh umat Islam untuk membebaskan Al-Aqsa dan seluruh umat Islam Palestin. Seperti kata Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi,


"Umat Islam adalah askar yang membebaskan Al-Aqsa."

PELAN TINDAKAN (DIKEMASKINI 11/12/2013) 

Di sini saya ingin mengesyorkan beberapa tindakan yang umat Islam boleh lakukan:


1. Berdoa kepada ALLAH SWT agar dihancurkan rejim Israel laknatullah. Antara Sunnah Nabi SAW ketika umat Islam dilanda bencana seperti dizalimi oleh musuh-musuh Islam, adalah dengan membaca Qunut Nazilah. Riwayat dalam sebuah Hadith,


"Nabi SAW telah berqunut sebulan berturut-turut dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh iaitu dalam rakaat terakhir ketika iktidal sehabis mengucapkan 'sami'allahuliman hamidah.' Di situ Baginda berdoa untuk kebinasaan Banu Sulaim, Ra'al, Dzakwan dan Ushaiyah, sedang makmum yang di belakangnya mengaminkan doa itu." (Riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya sebelum berikhtiar, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah berdoa. Kerana tempat kita memohon dan bergantung hanyalah kepada ALLAH, itulah aqidah dan iman kita. Tercatat di dalam Al-Quran,


"Hanya kepada Engkau-lah (ALLAH) kami menyembah dan memohon pertolongan." (Surah Al-Fatihah: 5)

2. Saya menyeru kepada seluruh umat Islam dan seluruh masyarakat dunia yang prihatin untuk menyumbang ke tabung-tabung kemanusian Gaza yang digerakkan oleh NGO-NGO berikut:



(a). Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) 
(b). Global Peace Mission (GPM) 
(c). Malaysian Islamic Relief (MIR) 
(d). Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) 

Atau boleh salurkan sumbangan anda menerusi tabung Aqsa Syarif Berhad: 

1. Akaun Maybank Islamic: 551575-004299 
2. Akaun Bank Islam: 1209-20100-34904 

Sumbanglah walau sedikit, kerana ia akan menjadi bekalan amal kebajikan anda di akhirat kelak. Firman ALLAH SWT,


"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH, ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) ALLAH akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan ALLAH Maha Luas (rahmat) kurniaNYA, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNYA." (Surah Al-Baqarah: 261)


(DIKEMASKINI 11/07/2014) - 3. Saya menggesa seluruh umat Islam dan seluruh masyarakat dunia yang cintakan keamanan, memboikot produk-produk yang berkaitan Zionis.


Boikot SMC

Terutamanya kedai kopi terbesar seperti Starbucks, restoran makanan segera McDonald dan semua jenis minuman berkarbonat keluaran Coca-Cola. Namun, di sini timbul pelbagai persoalan: 

3.1. Soalan: Mengapa sasaran utama kita adalah Starbucks, McDonald dan Coca-Cola?

Jawapan: Kerana ada bukti jelas bahawa Starbucks, McDonald dan Coca-Cola bersekongkol dengan Zionis. Sepertimana pengasas Starbucks, Howard Schultz,  merupakan individu berfahaman Zionis. 

Antara peranan Howard Schultz: 
(a). Pada tahun 1998 beliau telah diberi penghormatan oleh Jerusalem Fund daripada Aish HaTorah dengan "The Israel 50th Anniversary Friend of Zion Tribute Award" untuk perkhidmatannya kepada negera (haram) Zionis dalam "memainkan peranan utama dalam menggalakkan pakatan rapat antara Amerika Syarikat dan Israel". The Jerusalem Fund sayap kanan Aish HaTorah membiayai pameran senjata Israel dipengerusikan oleh penyembelih Jenin, Jeneral Shaul Mofaz, dan kumpulan media zionis, Honestreporting.com. Mereka juga telah terlibat dalam pengeluaran dan pengedaran filem Islamofobia terkenal, 'Obesession'. Starbucks dengan bangganya mepaparkan anugerah itu di laman web syarikat di bawah bahagian 'anugerah dan penghargaan' yang syarikat Starbucks telah menang. Walau bagaimanapun, tatkala pemboikotan bermula, anugerah itu secara misteri telah hilang dari laman web mereka. 
(b). Howard Shultz bekerja sebagai propagandis bagi Israel, telah menerima pujian daripada Kementerian Luar Israel sebagai kunci kejayaan jangka panjang Israel. Pada 4hb April 2002, tentera Israel telah menyembelih rakyat Palestin di Jenin. Howard Shultz membuat ucapan provokatif menyalahkan rakyat Palestin, dengan mendakwa bahawa intifada adalah manifestasi daripada anti-Semitisme, dan meminta orang ramai untuk bersatu di belakang Israel. Starbucks juga menaja penubuh dana untuk Israel. (Rujuk Inminds) 

Manakala McDonald, adalah antara rakan korporat kepada sebuah yayasan Yahudi, Jewish United Fund (JUF). Ianya boleh dilihat di bahagian 'Tajaan' dalam laman web JUF sendiri.



Antara peranan JUF -  

(a). JUF menyalurkan bantuan kewangan kepada Israel. JUF adalah antara ahli di dalam Suruhanjaya Israel. Mereka pernah mengeluarkan kenyataan, "Suruhanjaya Israel berfungsi sebagai forum untuk komuniti Yahudi bagi mempromosikan pemahaman Israel dan perkembangan Timur Tengah, termasuk mereka yang berkaitan dengan proses damai; berfungsi mengekalkan sokongan ketenteraan Amerika, ekonomi dan diplomatik untuk Israel; memantau dan, apabila diperlukan, respon kepada liputan media berkenaan Israel; memainkan perananan kepimpinan dalam menyusun dan merancang sambutan tahunan seluruh komuniti Yom Ha'Atzmaut; dan membantu mempromosi acara kebudayaan Israel di kawasan Metropolitan." (Rujuk: JUF) 
(b). Membiayai pemimpin-pemimpin Kristian dan masyarakat Amerika Syarikat untuk mengadakan lawatan ke Israel bagi mengenal budaya Israel. 
(c). JUF berkempen untuk imej Israel, kemudian putar belit fakta bagi menampakan seolah-olah baiknya Israel dan ganasnya Palestin. 

Kemudian Coca Cola pula, merupakan penyokong kuat Israel semenjak tahun 1966. Pada tahun 1997 Misi Ekonomi Kerajaan Israel memberi penghormatan buat Coca-Cola dalam Majlis Makan Malam Anugerah Perdagangan Israel di atas sokongan berterusan kepada Israel semenjak 30 tahun lalu dan kerana enggan mematuhi boikot Liga Arab ke atas Israel.

(a). Pada tahun 2009 Coca-Cola telah menganjurkan majlis istimewa di ibu pejabat Coca-Cola untuk menghormati Brigadier-Jeneral Ben-Eliezer. Ben-Eliezer adalah penjenayah perang dikehendaki, semasa Perang Enam Hari unitnya bertanggungjawab bagi pelaksanaan hukuman ke atas lebih 300 tawanan perang Mesir. Semasa era Ariel Sharon, Ben-Eliezer berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan, telah mempengerusikan pembunuhan beramai-ramai di Jenin. (Rujuk: Inminds) 

3.2. Soalan: Mengapa Starbucks, McDonald dan Coca-Cola itu menjadi sasaran utama? Mengapa tidak produk-produk Yahudi yang mahal, seperti set Golf, Bowling, Apple, Microsoft Xbox dsb? 

Jawapan: Kerana rangkaian mereka worldwide, pasarannya luas, pelanggan-pelanggannya pelbagai golongan dan taraf hidup. Dan kerana McDonald dan Coca-Cola murah, semua golongan mampu beli. Bak kata pepatah, "Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit." Manakala set Golf, Bowling, Apple, Microsoft Xbox dsb, adakah semua golongan mampu beli? Saya rasa tidak. Kemudian adakah bukti jelas bahawa produk-produk Yahudi yang lain contohnya Facebook, Microsoft, bersekongkol dengan Zionis sepertimana Starbucks, McDonald, Coca-Cola? Sedangkan ada maklumat yang saya pernah terbaca, bahawa Facebook ini sendiri dibenci oleh Israel/Zionis. Saya tidak ingat secara terperinci. 

Kemudian Pengasas Microsoft, Bill Gates berdasarkan pengetahuan saya setakat ini, beliau tidak pernah menzahirkan permusuhan terhadap Islam. Maka harus difahami, kita bukan boikot semua produk-produk Yahudi, tetapi kita boikot produk-produk yang ada kaitan dengan Zionis. Kerana, bukan semestinya orang Yahudi itu adalah Zionis, tetapi semua Zionis semestinya dari kalangan bangsa Yahudi. Dalam Islam diharuskan membeli, mengguna, memakai produk Yahudi terutamanya dalam perkara-perkara keperluan, contohnya teknologi. Nabi SAW sendiri pernah melakukan urusan jual beli dengan Yahudi. Riwayat dalam sebuah Hadith,


"Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi Baginda SAW." (Riwayat Al-Bukhari)

Tetapi syaratnya bukan Yahudi yang menzahirkan permusuhan terhadap Islam seperti mana Zionis. Apa yang jelas, musuh utama umat Islam masa kini dan sehingga kiamat, adalah Zionis laknatullah. Hatta jika ada orang Islam sendiri yang bersekongkol dengan Zionis sekali pun, kita wajib boikot mereka. 

3.3. Soalan: Apakah faedah dan kesan boikot kepada syarikat-syarikat berkaitan Zionis?

Jawapan: Boikot adalah salah satu bentuk tekanan/demonstrasi ekonomi agar pihak berkenaan mengubah dasar-dasar mereka terhadap Israel. Ianya boleh memberi impak yang besar seandainya umat Islam bersatu padu memboikotnya. Beberapa kesan pemboikotan yang pernah McDonald alami semasa Israel menyerang Lubnan: 

(a). McDonald mengalami kerugian sebanyak USD2 juta lebih pada tahun 2005-2006. 
(b). Mereka terpaksa menutup 20 cawangan restoran mereka di beberapa kawasan. Mungkin kesannya tidak terlalu besar. Tetapi sekurang-kurangnya kita berikhtiar untuk melakukan sesuatu yang terdaya demi Islam dan saudara-saudara kita yang tertindas. Dengan harapan, kita tidak akan dipersoalkan di akhirat kelak. Firman ALLAH SWT,


"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)." (Surah Al-Zalzalah: 7-8)

3.4. Soalan: Mengapa hanya boikot Starbucks, McDonald dan Coca-Cola, tetapi tidak boikot Amerika terus? Kerana Amerika adalah punca utama kepada keganasan Israel! 

Jawapan: Memang kita sedia maklum, bahawa Amerika-lah yang menyokong dan memberi bantuan ketenteraan kepada Israel. Dan secara ideal-nya boikot terus Amerika itulah yang terbaik. Namun, ianya bukan tanggungjawab masyarakat awam semata-mata. Ianya adalah tanggungjawab utama pemerintah negara-negara Islam, terutamanya yang kaya dengan hasil minyak di Timur Tengah. Kerana pemerintah-lah yang berkuasa mengubah dan menentukan dasar-dasar luar sesebuah negara. 

Antara tindakan yang pihak pemerintah negara-negara Islam boleh lakukan - 

(a). Negara-negara Arab boleh menghentikan bekalan/eksport minyak kepada Amerika, seperti yang pernah dilakukan oleh Raja Faisal Al-Saud pada tahun 1973. 
(b). Menggantung perdagangan dengan Amerika, sebagai salah satu bentuk tekanan ekonomi. Walau bagaimana pun, kita tetap sasarkan semua produk-produk yang ada kaitan dengan Zionis. Namun hendak boikot semua, tidak semua Muslim mampu lakukan. Kerana kemampuan setiap insan tidak sama. Tambahan pula, umat Islam masih belum menjadi pengeluar utama produk dunia. Maka, disyorkan setiap Muslim, boikot sekurang-kurangnya syarikat-syarikat besar Zionis terlebih dahulu, seperti Starbucks, McDonald dan Coca-Cola. ALLAH SWT berfirman,


"Maka bertaqwalah kamu kepada ALLAH menurut kesanggupanmu." (Surah At-Taghabun: 16)

Alhamdulillah, setakat ini sudah hampir dua tahun saya dan kedua-dua orang tua saya tidak makan McDonald. Minuman Coca-Cola pun boleh kata entah bila baru beli. Kerana dari segi kesihatan, perut saya akan meragam apabila minum minuman berkarbonat. Mungkin ada hikmahnya ALLAH menjadikan begitu. Kemudian Starbucks pun kami tidak pernah beli. Maka, kami merasakan, insya-ALLAH kami mampu boikot Starbucks, McDonald dan Coca-Cola sepenuhnya.

Manakala untuk boikot yang selebihnya, kami kena mujahadah (melawan hawa nafsu) dengan lebih gigih lagi untuk memperolehi kekuatan bagi memboikotnya. Kesimpulannya mudah, tidak mampu boikot semua, tetapi tiada alasan untuk tidak boikot langsung. 

Sekian, 

Wallahu'alam. 

Adli Abdullah - Exco Penerangan ABIM Melaka
21hb November 2012 
http://www.adirul85.net/