> April 2013 ~ ABIM Negeri Melaka

Friday, April 26, 2013

Ikuti Forum PRU 13-Fight For Putrajaya Bersama Exco Shariah & Kewangan Islam, Dr Zulkifli Hasan. Mari sama-sama berkongsi pengetahuan mengenai: kewajipan mengundi dalam Islam, pandangan jalur Fiqh kontemporari mengenai kerjasama politik antara umat Islam serta warga bukan Islam, di samping demokrasi pilihanraya selaku wadah mencegah kemungkaran. Sila ikutinya di link berikut shar.es/JQK8Q atau pun klik imej di bawah.




Posted on Friday, April 26, 2013 by Unknown

PRU 13 menyaksikan ramai mantan-mantan pimpinan ABIM telah dicalonkan untuk bertanding di kerusi Dewan Rakyat serta DUN (Dewan Undangan Negeri). Apakah pendirian ABIM mengenai penglibatan mereka? Bagaimana pula pendirian ABIM sempena dengan PRU 13 kali ini? Sila ikuti ulasan yang dikemukakan oleh Presiden ABIM, Amidi Abd Manan menerusi video di bawah (sila klik imej bawah untuk menyaksikan video penuh). 





Posted on Friday, April 26, 2013 by Unknown

Pilihan raya dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Ia harusdisambut dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang bukan lagi “suara anjingmenyalak bukit”, tetapi suara berdaulat yang membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip al-sha`b masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan). 

Tetapi pilihanraya hanya akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakanhak demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab.

Dalam kaitan inilah relevannya gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkanmereka membuat pertimbangan yang adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian dan pilihan yang tepat. Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadimekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat! 

Untuk mengikuti rakaman penuh syarahan Dato' Dr Siddiq Fadzil seperti di atas sila klik imej di bawah.






Posted on Friday, April 26, 2013 by Unknown

Saturday, April 13, 2013

Video streaming by Ustream Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) bakal menyaksikan persaingan sengit di kalangan parti-parti politik utama di negara ini. Keadaan in berlaku berasaskan kepada tanggapan bahawa pilihanraya ini bakal mencatatkan hitam putih ataupun jatuh bangun negara pada masa akan datang. Signifikasi sedemikian telah mengundang minat dan perhatian yang meluas dari pelbagai lapangan serta golongan masyarakat.

Justeru,kami secara serius menanggapi PRU 13 ini tidak sahaja dianggap semata-mata sebagai pertembungan untuk mengundang populariti dan kejayaan Siyasiy. Sebaliknya pilihanraya ini memberi makna sangat mendalam ke arah membentuk budaya politik serta sosio budaya rakyat di negara ini.

Kami menegaskan perlunya kita bersama: parti politik, pemimpin masyarakat, ‘alim ulama’, intelektual, pengamal media dan rakyat seluruhnya, berusaha mendaulatkan demokrasi yang bersih dan beretika. Dari itu, kami selaku wakil Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama di negara ini ingin mengetengahkan empat saranan utama untuk umat Islam sempena PRU 13 ini:

MENOLAK BUDAYA POLITIK FITNAH

Dalam era di mana “Politic With Brain” mula menjadi sebutan dan dambaan ramai, kami ingin menggesa agar umat Islam di negara ini menolak sama sekali amalan politik fitnah. Gesaan ini bersandarkan pada ayat ke-58 Surah Al-Ahzab yang berbunyi

"Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata."

Kami ingin melahirkan keprihatinan kami terhadap berleluasanya budaya politik fitnah dalam amalan demokrasi di negara ini. Walaupun ia membuka ruang seluas-luasnya untuk semua warga mengekspresikan pandangan serta kritikan, demokrasi tidak seharusnya dicemari dengan amalan fitnah yang keji serta akan hanya mencemarkan kehormatan dan kesucian akal fikiran manusiawi.

Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat. Umat Islam perlu mengetengahkan pendirian ini agar hak mereka selaku rakyat tidak dikesampingkan dengan pembodohan berupa fitnah yang tidak mempunyai apa-apa signifikasi terhadap kehidupan mereka, sebaliknya membawa kerosakan kepada masyarakat.

MENOLAK AMALAN POLITIK LUCAH

Kami menggesa umat Islam untuk menolak sama sekali amalan politik lucah yang cuba dijadikan sebagai alat untuk mendulang populariti siyasiy dalam jangka pendek. Kami memandang berat amalan mencipta video, mempertontonkan bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina (ke atas seseorang) sewenang-wenangnya di khalayak ramai. Kami mengajak umat Islam untuk merenung pengajaran yang dikemukakan menerusi rangkaian ayat-ayat Al-Qur’an seperti:

Orang-orang yang membuat pertuduhan palsu terhadap wanita mu’minah , Muhsanah yang alpa mereka dilaknat di dunia dan di akhirat . Untuk mereka disediakan azab yang sangat besar. (An- Nur: 23) dan

Orang-orang yang menyakiti mu’min lelaki dan mu’minah wanita mengenai perkara-perkara yang mereka tidak melakukannya maka mereka telah melakukan pembohongan dan dosa yang jelas nyata (Surah Al Ahzab : 58)

Sesungguhnya fitnah zina adalah perbuatan yang sangat keji di sisi syariat Islam. Para pelaku serta pendukung amalan politik lucah ini akan mengundang laknat berpanjangan selaku golongan Fasiq yang ditolak kesaksian mereka selama-lamanya. Umat Islam perlu mengelakkan implikasi ini dengan menolak amalan politik keji ini serta tidak bersubahat mengembangkan mana-mana dakyah berkaitan dalam mana-mana saluran media.

Adalah amat mendukacitakan dalam esak tangis kita meratapi keruntuhan moral di kalangan anak muda Islam (terutama sekali amalan zina yang berleluasa), amalan tersebut dijadikan sebagai modal rujukan untuk mencapai sesuatu perkara atau maksud!

MENOLAK AMALAN POLITIK SAMSENG

Kami menyeru umat Islam untuk menyatakan penentangan mereka secara jelas terhadap amalan politik ganas yang sering mewarnai politik negara semenjak kebelakangan ini. Pilihanraya seharusnya diraikan sebagai hari kebesaran rakyat. Seharusnya rakyat dibiarkan untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk diri mereka tanpa sebarang ancaman fizikal dan mental.

Demokrasi membolehkan persaingan dan perbezaan politik dilangsungkan secara aman. Amalan politik ganas merupakan bentuk kezaliman dan penindasan yang perlu ditolak samasekali berasaskan kepada firman Allah s.w.t menerusi Surah Al-Maidah ayat ke-8:

Wahai orang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwa kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

MENOLAK AMALAN RASUAH DAN PERAS UGUT

Kami menyeru umat Islam untuk menolak serta menafikan sekeras-kerasnya amalan rasuah serta peras ugut daripada dikenakan ke atas mereka. Sesungguhnya amalan itu bertentangan sekali dengan fitrah illahi yang telah menetapkan kebebasan mutlak manusia ke atas segala apa yang dikurniakan menerusi firman-Nya berbunyi:

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Al-Isra: 70)

Amalan rasuah serta peras ugut yang diterjemahkan menerusi pendekatan stick & carrot adalah amalan politik tidak berperikemanusiaan. Allah s.w.t telah mengurniakan ruang sebebas-bebasnya terhadap segala ciptaan-Nya di dunia ini. Manusia hanyalah pemegang amanah serta tidak menzalimi serta menafikan hak yang lain untuk menikmatinya.

Kami khuatir amalan rasuah dan peras ugut ini akan terus membelenggu umat Islam dalam ikatan kemiskinan sekiranya ia terus berleluasa. Amalan-amalan tersebut adalah bentuk penjajahan baru yang menafikan hak para pengundi untuk mendapatkan apa yang terbaik ke atas diri mereka.

Adalah menjadi harapan agar umat Islam dapat menyuarakan dengan tegas dan jelas akan pendirian ini. Sesungguhnya terbentuknya "baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” bergantung kepada persekitaran serta masyarakat sesebuah negara.

Justeru kami menganjurkan agar umat Islam di seluruh negara sempena dengan PRU 13 ini untuk sama-sama menunaikan solat hajat secara individu serta berjamaah khususnya di sepertiga malam. Partisipasi pada penggerak masjid serta surau amat dihargai untuk mempermudahkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan tersebut.

Kurnia rahmat serta keberkatan Illahi dalam amalan berpolitik hanya akan terjelma sekiraya umat Islam menolak sebarang amalan politik yang melangkaui batas yang dilandaskan syariah. Semoga PRU 13 ini akan menjelmakan amalan politik murni yang tiada celanya terhadap pemikiran serta sosio budaya umat Islam serta rakyat di negara ini.

Berikut adalah senarai NGO yang hadir ke Muzakarah Khas Pendirian NGO-NGO Islam terhadap budaya politik fitnah, lucah, samseng serta rasuah:

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Kumpulan PRIHATIN

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Persatuan Hafiz Malaysia (PAHAM)

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM)

Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA)

Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)


Sumber: ABIM Pusat



Posted on Saturday, April 13, 2013 by Unknown

Wednesday, April 10, 2013

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين

صلى الله على محمد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 



Pada 3hb April 2013, akhirnya tibalah detik-detik yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia, apabila diumumkan pembubaran Parlimen oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak. Sebuah tarikh keramat bagi membolehkan Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) diadakan untuk menilai semula prestasi kerajaan-kerajaan negeri yang masih muda dan juga kerajaan pusat yang sudah terlalu lama memerintah lebih daripada lima dekad. Persoalan yang agak menarik adalah, sama ada mengekalkan atau menukar kerajaan pusat?

Posted on Wednesday, April 10, 2013 by Unknown

Tuesday, April 2, 2013

 
Oleh: Dr. Zulkifli Hasan (Exco Shariah Dan Kewangan Islam, ABIM)  Pendahuluan  Tarikh PRU 13 masih lagi menjadi tanda tanya. Rakyat Malaysia hingga kini tertunggu- tunggu tarikh PRU 13 yang bakal menentukan halatuju Negara. PRU13 merupakan sebahagian daripada proses demokrasi. Ia bukan segalanya tetapi sangat signifikan kepada sesebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan sepatutnya dipandang serius kepentingannya oleh segenap lapisan masyarakat.    

Demokrasi sering kali dikaitkan dengan ideologi barat yang tidak boleh diterima dan diamalkan oleh sesetengah pihak. Hatta ada segelintir golongan yang menolak demokrasi secara total dan ada juga yang menganggapnya sebagai perbuatan menyekutukan Tuhan.  Dalam konteks dunia masakini khususnya setelah terbinanya konsep negara bangsa, konsep demokrasi ini juga seharusnya difahami dengan makna yang lebih luas dan terbuka. Malahan, jika diteliti secara objektif, didapati kebanyakan negara maju dan negara-negara yang menguasai teknologi tinggi, berpengaruh, berkuasa dan terkehadapan adalah terdiri daripada negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Manakala negara yang tidak mengamalkan demokrasi termasuk negara yang melaksanakan Shari’ah adalah negara-negara yang mundur dan bermasalah. Keadaan atau fakta ini sahaja boleh menggambarkan secara tidak langsung pengaruh dan kesan demokrasi yang positif.    

Ulama kontemporari terutamanya ulama haraki secara umumnya menerima demokrasi sebagai salah satu wadah dan saluran untuk melaksanakan Islam sebagai satu gaya hidup. Demokrasi yang mengutamakan hak asasi, kebebasan dan keadilan adalah sama sekali tidak bercanggah dengan syariat Islam malahan ia sangat seiring dengan tuntutan maqasid Shari’ah. Bersesuaian dengan signifikannya isu ini, artikel ini menghuraikan pandangan peribadi penulis mengenai konsep Demokrasi dalam Islam dan menyentuh secara khusus aspek al Hurriyyah dan kaitannya dalam konteks amalan politik di Malaysia. Penulisan ini tidak bermaksud untuk membincangkan secara mendalam konsep demokrasi dalam Islam tetapi bermaksud untuk memperjelaskan teras utama dan teori asas yang sewajarnya menjadi perhatian semua dalam membincangkan topik ini.  

Konsep Demokrasi   

Penulis melihat demokrasi itu sebagai sesuatu yang progresif dan dinamik iaitu sistem yang berpusatkan kepada kuasa rakyat atau ”al-sha`b masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan)’ bagi menjamin hak-hak dan kebebasan. Dalam konteks demokrasi Islam, ia lebih daripada sekadar hak dan kebebasan tetapi merujuk kepada amanah menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Oleh kerana Islam meletakkan musyawarah sebagai asas atau teras sama ada dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan sebagainya maka penulis beranggapan bahawa demokrasi yang diamalkan pada waktu ini juga menepati ciri-ciri syura ini dalam bentuk yang baru.     

Dalam erti kata lain, demokrasi yang berstruktur dan bebas ini boleh juga dianggap sebagai proses penginstitutian konsep syura dalam bentuk yang lebih segar, moden dan sesuai dengan waqi’ moden. Walaupun diakui bahawa ada segelintir pihak dikalangan gerakan Islam sendiri yang menolak demokrasi, namun penulis menerima konsep demokrasi ini sebagai suatu perkara yang relevan malahan menepati kehendak Shari’ah. Penulis menganggap bahawa prinsip-prinsip demokrasi yang bertepatan dengan hak asasi manusia sesungguhnya juga terkandung dalam ajaran Islam, seperti keadilan (‘adl), persamaan (musawah), musyawarah (syura) dan sebagainya.    
Kebaikan dan Keburukan Sistem Demokrasi di Malaysia   

Apabila membicarakan kebaikan dan keburukan sistem demokrasi di Malaysia, mahu tidak mahu penulis ingin menyentuh daripada aspek budaya dan amalan politiknya. Secara umumnya Malaysia mempunyai infrastruktur demokrasi yang baik seperti Suruhanjaya Pilihanraya, badan eksekutif, legislatif dan kehakiman yang dijamin oleh Perlembagaan. Namun yang menjadi isunya di sini ialah dari aspek budaya dan amalannya. Kebaikan dan keburukan sistem demokrasi ini bergantung kepada dua aspek ini.    

Sehingga kini, budaya dan amalan politik di Malaysia masih berteraskan kepada sentimen perkauman dan peribadi. Bagi menjamin demokrasi yang lebih baik dan bertepatan dengan prinsip Islam, Malaysia memerlukan tranformasi politik yang berpaksikan ilmu dan etika. Penulis berpendapat sekiranya budaya dan amalan demokrasi sedia ada di Malaysia ini tidak dihijrahkan atau ditransformasikan, maka kita hanya akan terus-terusan mewarisi dan mengamalkan sistem demokrasi yang kurang upaya dan natijahnya ialah implikasi keburukan itu pasti mengatasi apa sahaja kebaikan yang ada.    

Al-Hurriyyah (Kebebasan) dalam Politik Islam   

Al-Hurriyyah atau kebebasan merupakan salah satu daripada matlamat demokrasi. Dalam isu ini penulis sangat tertarik untuk merujuk karya Sheikh Rashid Ghanoushi bertajuk Al-Hurriyah al-‘Ammah fid-Dawlah al-Islamiyyah (Kebebasan Umum dalam Negara Islam). Buku ini penulis anggap sebagai karya penting dalam wacana pemikiran politik Islam kontemporari. Dalam buku ini, Sheikh Ghanoushi melihat demokrasi sebagai natijah daripada proses dan perjuangan yang sangat panjang untuk mendapatkan kebebasan dan hak. Kebebasan dan hak ini jugalah yang menjadi asas kepada politik Islam. Islam secara jelas menjamin kebebasan. Hal ini juga diungkapkan secara serius oleh Sheikh Rashid Ghanoushi dalam buku terbarunya bertajuk ”Al Dimuqratiah wa al Huquq al insan fi al Islam” diterbitkan oleh Al Jazeera Centre.    

Dalam konteks realiti dunia masa kini, al hurriyyah atau kebebasan yang dijamin melalui proses demokrasi yang berpaksikan ilmu dan etika itu merupakan unsur utama yang mesti dicapai sebelum dapat meneruskan agenda menegakkan syiar Islam. Penulis sangat yakin berdasarkan dalil yang sahih dan sejarah yang panjang bahawa Islam itu hanya akan subur dan segar di mana sahaja al Hurriyyah itu didokong. Al hurriyyah  yang penulis maksudkan di sini bukan bermakna kebebasan yang ditafsirkan berdasarkan pendekatan sekular ataupun ’humanistic approach’ tetapi ia merujuk kepada al Hurriyah yang didefinisikan oleh epistemologi Islam bersandarkan wahyu.    

Asal Usul Sistem Demokrasi   

Adalah tidak adil mengatakan bahawa demokrasi itu sepenuhnya berasal dari barat bahkan menyatakan bahawa demokrasi itu suatu konsep yang boleh membawa kesyirikan sepertimana yang difahami oleh segelintir umat Islam juga adalah tidak tepat. Walaupun, demokrasi itu dipelopori oleh masyarakat barat tetapi harus difahami kedinamikan sistem demokrasi yang ada pada hari ini. Ia telah melalui satu proses yang amat panjang bahkan melibatkan pertumpahan darah, perang saudara, konflik agama, krisis antara bangsawan dan rakyat dan sebagainya.    

Sekiranya dilihat secara teliti, perjuangan untuk mendapatkan demokrasi itu merupakan usaha suci rakyat semata-mata untuk mendapatkan kebebasan dan hak daripada golongan penindas bahkan membebaskan mereka daripada sistem perhambaan secara langsung atau tidak langsung. Ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam yang secara jelas menjamin kesamarataan hak dan kebebasan.     

Pengaruh daripada ketinggian dan ketamadunan Islam yang hebat di zaman pentadbiran Umayyah, Abasiyah, Uthmaniah dan Andalus yang sudah pasti terjaminnya ’al hurriyyah’ pada waktu itu juga, sangat memberikan kesan yang hebat kepada tercetusnya gerakan kebangkitan di Eropah yang akhirnya menatijahkan demokrasi. Penulis sangat yakin bahawa idea dan prinsip-prinsip demokrasi yang diperjuangkan oleh masyarakat barat juga menerima pengaruh intelektual Islam dengan terbuktinya karya-karya agung ilmuan Islam yang menjadi rujukan di barat.        

Fiqh Demokrasi dan Hubungan Dengan Bukan Islam   

Bagi maksud perbincangan ini, penulis ingin mengutarakan beberapa konsep yang perlu dijadikan dasar dan tasawwur sama ada di negara majoriti penduduk Islam dan juga di mana orang Islam adalah minoriti. Konsep ‘al Ukhuwat al Muwatinun’ dan ‘al Ukhuwat al Insaniyyah’ yang dianjurkan oleh pemikir kontemporari seperti Yusuf al Qaradhawi, Tariq Ramadhan, Fahmi Huwaidiy dan Muhammad Fathi Uthman perlu dijadikan topik perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan politik yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan dengan bukan Islam.    

Di antara isu yang hingga ke hari ini ditimbulkan ialah hak-hak kaum minoriti di sesebuah negara yang majoritinya penduduk Islam dan ini termasuk Malaysia. Hakikatnya, ramai yang mengklasifikasikan kaum minoriti bukan Islam ini sebagai ahlu Zimmah. Menjelaskan konsep ahlu Zimmah dalam konteks masyarakat pada hari ini, Yusuf Al Qaradhawi di dalam bukunya ‘Al Din wa al Siyasah’ berpandangan bahawa istilah ini lebih bersesuaian digantikan dengan ‘al Ukhuwat al Muwatinun’. Pandangan ini amat bertepatan kerana istilah ahlu Zimmah ini asalnya terpakai kepada kaum minoriti yang membayar jizyah untuk mendapat jaminan perlindungan manakala pada hari ini kaum minoriti seperti di Malaysia adalah berbeza.    

Istilah ‘al Ukhuwat al Muwatinun’ ini dilihat mampu memberikan tasawwur baru kepada metod dan pendekatan politik kepada golongan bukan Islam. Siddiq Fadhil seorang intelektual dan ulama haraki ini juga berpandangan bahawa konsep saudara senegara adalah amat bertepatan dalam merujuk kaum minoriti bukan Islam di Malaysia. Beliau memetik beberapa ayat Al-Qur’an yang tidak hanya menyebut persaudaraan keagamaan (Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara) – al-Hujurat:10, malahan ada juga persaudaraan setanahair seperti yang dirakamkan oleh Allah Subanahuwata’ala di dalam beberapa ayat seperti (…akhuhum Nuh…) – al-Shu`ara’: 105, 106, (akhuhum Lut) al-Shu`ara’: 160,161, (akhuhum Hud) al-Shu`ara’: 124, dan (akhuhum Salih ) al-Shu`ara’:1 42. Kata akhuhum dalam ayat-ayat ini secara jelas member makna saudara. Malahan dalam aspek ini, Yusuf Al Qaradhawi mengesyorkan skim cukai yang sama rata ‘dharibah takaful’ dengan mengambil kira status sebagai warga negara atau saudara senegara dan bukan lagi dalam bentuk jizyah. Ini disepakati oleh Fahmi Huwaidi di dalam bukunya ‘Muwatinun la Dhimmiyun’ yang berpandangan bahawa istilah ahlu zimmah ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih tepat dalam konteks negara bangsa.    

Kerap kali menjadi topik hangat mengenai Islam mutakhir ini merujuk kepada isu tohmahan ketidakupayaan syariat untuk melindungi hak-hak asasi manusia. Tohmahan ini juga merupakan salah satu faktor menjadikan dakwah Islam dilihat tidak bersifat universal dan sering mendapat salah tanggapan umum. Persepsi seperti ini boleh diperbetulkan melalui konsep ’al Ukhuwat al Insaniyyah’ atau saudara sesama insan yang dibicarakan dengan terperinci oleh Yusuf al Qaradhawi. Istilah ini bukanlah perkara baru bahkan ia sebenarnya bertepatan dengan ruh ayat 70 surah al Isra yang bermaksud ”Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”.     

Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Allah memuliakan manusia dan mengiktiraf hak-hak asasi yang sebahagian besarnya adalah menjadi kewajipan setiap individu. Melalui intipati ayat ini, kerajaan, parti-parti politik, institusi dan mana-mana gerakan dakwah perlu memberi perhatian kepada pengutamaan dalam melindungi dan memperjuangkan hak-hak asasi manusia agar dapat dilihat keuniversalan Islam itu secara hakiki.    

Hakikatnya, jika dihayati dasar-dasar dan perintah Allah di dalam al Quran dan sunnah rasulNya, terlalu banyak nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang secara jelas menyentuh kewajipan menjamin hak-hak asasi. Dalam aspek ini, Muhammad Fathi Uthman di dalam bukunya ’Huquq al Insan baina al Shari’ah al Islamiyah wa al Fikri al Qanun al Gharbi’ menyatakan bahawa Islam lebih unggul melindungi hak-hak asasi manusia berbanding agama lain tidak kira sama ada ia bersifat peribadi, pemikiran, politik, undang-undang, sosial dan ekonomi.     

Sehubungan dengan itu, parti-parti politik, gerakan dakwah Islam, institusi dan individu boleh mengambil pendekatan yang lebih terbuka dengan mengambil kira nilai-nilai yang bersifat universal. Gerakan dalam bentuk yang lebih universal ke arah menjamin keharmonian dan kerukunan masyarakat merupakan pendekatan yang amat relevan dalam konteks masyarakat masa kini.    

Fiqh Demokrasi dan Tahaluf Siyasi   

Antara perkara yang sehingga kini masih menjadi perdebatan ialah isu perkongsian kuasa dengan bukan Islam atau dalam istilah tersohornya iaitu ‘tahaluf siyasi’. Ironinya, di saat amalan politiknya sudah jelas termasuk di Malaysia bahawa sudah terlaksana konsep perkongsian kuasa ini untuk sekian lamanya, masih ada segelintir umat Islam yang kembali mempersoalkan keharusan ‘tahaluf siyasi’ ini. Hinggakan sudah ada gerakan dan arus baru yang cuba mempengaruhi umat Islam menentang bentuk perkongsian kuasa dengan bukan Islam walaupun dari segi fiqh waqi’nya adalah tidak realistik. Isu tahaluf siyasi ini sebenarnya boleh difahami dengan mudah sekiranya fiqh sirah itu difahami secara menyeluruh ditambah dengan kefahaman konsep al ukhuwat al muwatinun dan al ukhuwat al insaniyah yang dibicarakan diatas. Terdapat beberapa peristiwa penting di mana Rasulullah mendapatkan khidmat orang bukan Islam termasuk kisah Hifl al Fudhul dan amalan para pemerintah Islam terdahulu di mana kesemua ini secara tidak langsung membuktikan keharusan untuk bertahaluf siyasi ini.    

Antara bentuk ‘tahaluf siyasi’ yang paling awal dalam sejarah Islam ialah ketika Rasulullah menganggotai Hilf al fudhul iaitu sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin untuk memelihara keamanan dan melindungi golongan mustad`afin. Siddiq Fadhil di dalam ucapannya semasa Konvensyen Wadah Percerdasan Umat menukilkan peristiwa ini sebagai bukti jelas keharusan untuk bertahaluf siyasi ini. Malahan beliau merujuk kepada hadith yang disabdakan oleh Rasulullah yang bermaksud “Andainya sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti itu lagi, nescaya aku akan menyahutnya”.    

Kisah Hisham ibn Amr al Amiriy yang memperjudikan nyawa dan kehidupannya apabila membantu Rasulullah dan keluarga ketika peristiwa pemulauan selama tiga tahun juga mesti dijadikan rujukan dalam memahami isu ini. Hisham ibn Amr al Amiriy masih lagi tidak beriman kepada Allah tetapi secara sukarela membantu Rasulullah atas dasar kemanusiaan dan inilah yang dinamakan sebagai ‘al ukhuwat al insaniyah’. Ini diikuti oleh kisah Abdullah Ibn Urayqith yang menjadi penunjuk jalan Rasululullah ketika berhijrah ke Madinah. Abdullah Ibn Urayqith adalah orang bukan Islam dan Rasulullah bersetuju dengan Abu Bakar al Siddiq untuk menggunakan khidmatnya dalam peristiwa hijrah yang paling agung itu.    

Mungkin penjelasan oleh Yusuf al Qaradhawi dalam bukunya Min Fiqh al Dawlah fi al Islam mengenai isu ini adalah antara yang terbaik untuk dirujuk. Yusuf al Qaradhawi menjelaskan bahawa isu memilih wakil rakyat tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah malahan wakil rakyat bukanlah dianggap sebagai wali. Kedudukan ini mengharuskan untuk umat Islam melantik wakil mereka dari kalangan bukan Islam. Wakil rakyat hanyalah individu yang mewakili masyarakat dalam kawasan tertentu yang bertanggungjawab untuk menyuarakan kepentingan rakyat dan tidak berautoriti untuk menentukan hukum hakam sesuatu perkara.     

Dalam konteks di Malaysia, wakil rakyat sama sekali tidak terlibat dalam menentukan hukum hakam kerana bidangkuasanya hanya melibatkan hal ehwal masyarakat setempat yang diwakilinya. Bukan itu sahaja, Yusuf al Qaradawi juga berpandangan bahawa memberikan ruang orang bukan Islam untuk menganggotai majlis perwakilan juga adalah salah satu tuntutan untuk berlaku adil kepada semua.    

Fiqh Intikhabat (Pilihanraya) dan Kewajipan Mengundi 

Secara umumnya, masih ramai yang mengambil mudah tentang kewajipan mengundi. Mungkin keadaan di Malaysia yang majoritinya Muslim antara faktor perkara ini diambil mudah. Berbanding di Malaysia, kuasa undi Muslim di Negara majoriti orang bukan Islam adalah sangat signifikan seperti di Eropah dan Amerika. Hinggakan ramai ulama termasuk Rashid Ghanoushi yang mewajibkan umat Islam untuk mengundi walaupun  calon yang dipilih itu bukan Islam. Dalam situasi ini, umat Islam adalah diperlukan untuk mengundi calon yang kurang mafsadahnya sama ada kepada Muslim mahupun kepada Islam itu sendiri.    

Bagi membicarakan aspek ini, mengundi harus dilihat sebagai sesuatu yang lebih daripada tanggungjawab sebagai warganegara. Kewajipan mengundi wakil rakyat mahupun ahli parlimen perlu dianggap sebagai ibadah dan ianya sangat dekat dengan konsep kesaksian. Dalam aspek ini, Yusuf al Qaradawi menekankan bahawa mengundi itu merupakan salah satu bentuk penyaksian yang tidak boleh ditolak apabila sampai masanya. Malahan tidak mengundi boleh dianggap sebagai menyembunyikan penyaksian yang bertentangan dengan tuntutan Islam.    

Amat menarik untuk meneliti pandangan Siddiq Fadhil dalam analisanya mengenai konsep kesaksian dalam konteks pilihanraya ini. Beliau berpandangan bahawa kesaksian melalui peti undi ini merujuk kepada “pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan berkompetensi intelektual)”. Dalam aspek ini, beliau juga menekankan kelayakan bukan sahaja merujuk kepada calon yang ingin dipilih tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat kesaksian iaitu saksi yang adil (keadilan).    

Secara ringkasnya, dapatlah difahami bahawa fiqh intikhabat ini menuntut umat Islam untuk menyatakan penyaksian mereka kepada calon-calon pilihanraya yang layak melalui tanggungjawab untuk membuang undi. Islam melihat mengundi bukan hanya tanggungjawab sebagai warganegara tetapi ia merupakan ibadah dan kewajipan yang mesti dilaksanakan bersesuaian dengan konsep kesaksian dalam Islam. Kegagalan untuk menyatakan penyaksian ini melalui undi boleh dianggap sebagai salah satu bentuk penyembunyian kesaksian yang dilarang dalam Islam. Bayangkan sekiranya umat Islam cuai untuk melaksanakan kewajipan ini dan akhirnya calon yang dipilih membawa mafsadah kepada agama dan Muslim itu sendiri, pada waktu itulah kita akan memahami betapa pentingnya kesaksian ini dizahirkan melalui undi.   

Fiqh Demokrasi dan Demonstrasi Aman   

Antara elemen fiqh siyasi yang dibicarakan secara mendalam oleh ramai fuqaha kontemporari termasuk Yusuf al Qaradhawi, Rashid Ghanoushi, Tariq Ramadan dan ramai lagi ialah keharusan untuk berdemonstrasi dan protes secara aman. Walaupun telah ada fatwa yang melarang rakyat untuk berdemonstrasi bersandarkan hujah bidaah, perbuatan yang terkeluar dari kaedah Islam, sadd al zarai’ dan lain-lain, penulis sangat tertarik dengan metod Yusuf al Qaradhawi menyantuni pandangan ekstrim ini dengan penuh berhemah. Dengan melihat fiqh waqi’ sesuai dengan perkembangan dunia Islam, beliau mengambil pendekatan yang sangat dinamik dan pandangan beliau ini adalah sangat signifikan dalam mempengaruhi gerakan kebangkitan Islam di dunia.    

Amat menarik pandangan Yusuf al-Qaradhawi ini apabila beliau secara santai menjawab tohmahan ini dan menolak pandangan yang menyatakan demonstrasi aman ini adalah haram. Bagi menguatkan hujah ini, beliau memetik peristiwa Umar al Khattab di awal pengIslamannya di dalam buku bertajuk ’Thaurah Shaab’. Beliau menukilkan bagaimana Umar al Khattab meminta restu Rasulullah untuk menyatakan kebenaran di jalanan bersama-sama dengan beberapa sahabat yang lain. Rasulullah telah memberi keizinan dan restu baginda dan sejurus itulah Umar al Khattab mengetuai sahabat- sahabat yang lain berdemonstrasi secara aman menyatakan kebenaran di depan kaum Musyrikin Mekah pada waktu itu. Peristiwa itu dirakamkan sebagai antara demonstrasi jalanan yang paling awal dalam sejarah Islam.    

Keharusan berdemonstrasi aman ini bukan sahaja dapat dibuktikan melalui peristiwa Umar al Khattab di atas malahan ia juga bersandarkan kepada kaedah usul fiqh dan qawaid fiqh. Dengan menggunakan kaedah masalih mursalah, perantaraan mempunyai hukum yang sama dengan tujuan, sadd al zarai’ dan dalil daripada al sunnah, adalah boleh disimpulkan bahawa demonstrasi jalanan dan protes secara aman adalah harus. Bahkan adalah berdosa besar kepada pihak berkuasa yang mencederakan pendemonstrasi ini dan mereka dianggap sebagai golongan yang zalim dan bakal menerima azab Allah.    

Penutup Artikel ini secara ringkas memilih dan membicarakan beberapa isu berkaitan dengan fiqh demokrasi dan kaitannya dengan PRU13. Isu-isu terpilih yang diketengahkan ini adalah sangat relevan bagi memahami konsep demokrasi, pilihanraya, kewajipan mengundi, hubungan dengan bukan Islam dan lain-lain bersesuaian dengan semangat untuk melalui PRU13 yang bakal menjelang tiba.     

Penulis merujuk kepada pandangan-pandangan ulama dan pemikir kontemporari yang amat bersesuaian dan bertepatan dengan konteks semasa dan masyarakat setempat. Fiqh demokrasi dan fiqh intikhabat ini perlu difahami secara jujur dan ikhlas oleh umat Islam dan seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan. InsyaAllah, satu masa nanti umat Islam akan dapat menyaksikan kebangkitan Islam yang pastinya akan menjadi rahmat untuk sekalian alam.    

Penulis akui bahawa sesuatu yang idealistik itu agak sukar untuk dicapai dalam masa yang singkat bahkan perlu melalui perjalanan yang berliku-liku. Imam Hasan Al Banna yang menubuhkan Ikhwanul Muslimin pada 1928, bibit kejayaannya hanya dapat disaksikan ketika kejayaan Revolusi Tahrir pada 2011. Sebagai seorang Muslim, warganegara Malaysia, sudah tentu penulis mengimpikan satu sistem politik demokrasi Malaysia yang sihat dan beretika.     

Bukan itu sahaja, penulis mengharapkan politik Malaysia satu hari nanti dibudayakan dan disistemkan dengan politik berasaskan fakta, ilmu, kebenaran dan etika yang semuanya ini bersandarkan kepada prinsip-prinsip Islam. Pada waktu itu, semua dasar, polisi, perancangan dan agenda politik dipandu oleh rasa amanah dan tanggungjawab atau taklif menegakkan syiar Islam di muka bumi ini.        

Rujukan   
Al Qaradhawi, Yusuf. (2012). Thaurah Shaab. Kaherah: Maktabah Wahbah.   
Al Qaradhawi, Yusuf. (2010). Aku dan Al Ikhwan al Muslimun (Terjemahan). Kuala Lumpur: Mutiara Ilmu. 
Al Qaradhawi, Yusuf. (2010). Al Watan wa al Muwatanah. Kaherah: Dar al Shuruq. 
Al Qaradhawi, Yusuf. (1999). Min Fiqh al Dawlat fi al Islam. Kaherah: Dar al Shuruq   
Bayat, Asef. (2010). Islam and Democracy: What is the Real Question?. Amsterdam: Amsterdam University Press.   
Ghanoushi, Rashid. (1993). Al-Hurriyah al-‘Ammah fid-Dawlah al-Islamiyyah. Beirut: Markaz Dirasat al Wahdat al Arabiyah.   
Ghanoushi, Rashid. (2012). Al Dimuqratiah wa al Huquq al Insan fi al Islam. Qatar: Al Jazeera Center. 
Huwaidiy, Fahmi. (1999). Al Islam Wa al Dimuqratiyyah. Kaherah : Al Ahram.  Huwaidiy, Fahmi. (1999). Muwatinun La Dhimmiyyun. Kaherah: Dar al Shuruq. John L. Esposito, John Obert Voll. (1996). Islam and Democracy. Oxford: Oxford University Press.   
Ramadhan, Tariq. (2001). Islam, the West, and the Challenge of Modernity. Leicester: Islamic Foundation. 
Tamimi, Azzam. (1993). Rachid Ghannouchi: A Democrat Within Islamism. Oxford: Oxford University Press.   
Uthman, Muhammad Fathi. (2010). Huquq al Insan Bayn al Shari’ah al Islamiya wa al Fikru al Qanuni al Gharbi. Kaherah: Dar al Jamiah al Jadidah. 


 

Posted on Tuesday, April 02, 2013 by Unknown