الحمد لله رب العالمين
صلى الله على محمد
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Pada
3hb April 2013, akhirnya tibalah detik-detik yang dinantikan seluruh
rakyat Malaysia, apabila diumumkan pembubaran Parlimen oleh Y.A.B.
Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak. Sebuah tarikh keramat bagi
membolehkan Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) diadakan untuk menilai semula
prestasi kerajaan-kerajaan negeri yang masih muda dan juga kerajaan
pusat yang sudah terlalu lama memerintah lebih daripada lima dekad.
Persoalan yang agak menarik adalah, sama ada mengekalkan atau menukar
kerajaan pusat?
Namun,
saya bukanlah ingin berbicara soal mengekalkan atau menukar kerajaan.
Tetapi saya ingin berbicara soal isu-isu politik yang dicanangkan pihak
parti pemerintah mahu pun parti pembangkang. Juga soal tanggungjawab
setiap Muslim untuk membuang undi semasa Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13)
nanti dalam konteks negara demokrasi menurut perspektif Islam.
ISU-ISU DICANANGKAN
Pertama,
saya ingin menyebut soal, adakah wajar 'isu aqidah' dijadikan bahan
untuk kepentingan politik demi kuasa politik serakah? Saya benar-benar
tidak bersetuju bahawa, isu aqidah dijaja dan dicanangkan untuk
menghentam juga mengaibkan peribadi seteru-seteru politik demi
kepentingan politik masing-masing.
Aqidah
adalah suatu elemen suci yang merupakan asas utama kepada Islam.
Tidaklah boleh dibuat main-main. Dan tidak semudahnya kita boleh
menghukum aqidah seseorang Muslim itu sama ada dia terkeluar dari Islam
(murtad), takfir (mengkafirkan) mereka dan sebagainya. Kerana menurut
prinsip aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ), kita tidak boleh
menghakimi aqidah seseorang itu berdasarkan apa yang ada di dalam
jantung hati insan. Ianya hanya boleh dinilai secara zahir dan luaran.
Selagi mana ia tidak mengaku menyekutukan ALLAH SWT, tidak melakukan
perkara-perkara khurafat, juga tidak mengaku murtad, kemudian tetap
percaya kepada rukun iman, melaksanakan rukun Islam, maka adalah tidak
wajar jika kita terus menghukumnya dan membuat kesimpulan. Sabda Nabi
Saw,
"Sesiapa yang menuduh seseorang itu kafir atau musuh ALLAH, tetapi ia tidak begitu. Maka tuduhan tersebut kembali kepada yang menuduh." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Seandainya
ia pernah menyatakan berdasarkan penulisan atau percakapannya yang
mungkin bertentangan aqidah, maka kita perlu mengkajinya terlebih dahulu
dari segi konteks.
Saya
ingin memberi beberapa contoh. Contohnya, apabila mantan Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pernah menyatakan, "Hudud adalah
ciptaan ahli fekah". Namun, kita harus bersikap adil walau beliau adalah
seteru politik atau insan yang tidak sebulu dengan kita, tidak boleh
terlalu pantas untuk menghukum aqidah dan keimanannya, Kita harus
mengkaji dari segi konteksnya terlebih dahulu. Mungkin ia bermaksud,
bahawa istilah ‘hudud’ itu yang dicipta oleh para ulama'.
Contoh
kedua, apabila mantan Timbalan Perdana menteri, Dato' Seri Anwar
Ibrahim dituduh pluralisma dan liberalisma agama. Antaranya, beliau
pernah menyatakan seorang wanita Muslim yang keluar meninggalkan Islam
(murtad) iaitu Lina Joy, itu adalah haknya. Namun, tidaklah wajar kita
terus menghukum dan menuduh beliau menyokong gejala murtad. Kita harus
mengkaji dari segi konteksnya terlebih dahulu. Mungkin beliau maksudkan,
dari sudut perundangan negara yang didominasi oleh sistem perundangan
sivil yang diwarisi daripada penjajah British. Dari sudut perundangan
sivil, memang kita tiada upaya untuk menghalang Muslim yang hendak
murtad. Inilah hakikat, apabila sistem perundangan syar’iah tidak
diangkat mengatasi sistem perundangan sivil. Namun, cara paling mudah
untuk mengatasi gejala murtad adalah dengan melaksanakan ‘Enakmen
Anti-Murtad’ yang sepatutnya telah lama dikuatkuasakan oleh pihak
pemerintah. Maka, ianya juga boleh membantu untuk membendung gejala
murtad daripada berlaku.
Walau
bagaimana pun, tiada salahnya untuk memberi teguran bahawa, apa yang
telah mereka ungkapkan dan catatkan itu adalah salah. Kerana Islam
adalah ‘agama nasihat’. Namun, dengan cara yang tidak mengaibkan,
hikmah, tidak menjarakkan ia dari Islam serta dengan niat yang tulus.
Bukan di atas agenda politik golongan tertentu, yang berpunca daripada
kebencian dan dendam kesumat semata-mata. Apatah lagi jika insan yang
dituduh itu mengaku tersilap dan menarik semula kenyataannya yang telah
ditulis. Firman ALLAH SWT,
"Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Maidah: 8)
Kedua,
saya ingin menyebut soal, adakah wajar perihal peribadi (yang tiada
kaitan kepentingan/harta rakyat) seteru-seteru politik dimanipulasi
sebagai isu politik? Saya dengan tegas menyatakan, benar-benar tidak
bersetuju soal peribadi mana-mana insan termasuk ahli politik, dijaja di
sana sini, londeh melondehkan, aib mengaibkan yang merupakan modal
politik murahan untuk jatuh menjatuhkan musuh-musuh politik dengan cara
yang amat menjijikkan. Firman ALLAH SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah Al-Hujurat: 12)
Ayat
di atas menjelaskan bahawa, ALLAH SWT melarang hamba-hambaNYA yang
benar-benar beriman kepada Al-Quran daripada menyingkap aib peribadi
saudara se-Muslim yang lain. Meskipun benar, ia akan menjadi umpatan
atau sepertimana Nabi SAW menyebut ‘ghibah’ dalam sebuah hadith sahih,
yang memberi makna jelas iaitu menyebut tentang saudaramu dengan sesuatu
yang ia benci. Manakala, jika cerita yang dihebahkan itu dusta, maka
ianya menjadi fitnah yang mengakibatkan kacau bilau dan huru-hara dalam
masyarakat. Sabda Nabi SAW,
“Sesiapa yang menutup aib Muslim yang lain, maka ALLAH akan menutup aibnya.” (Riwayat Muslim)
Maka,
jika seseorang Muslim itu membuka aib saudaranya sendiri, adalah tidak
mustahil ALLAH SWT akan membuka aibnya pula di kemudian hari nanti.
Oleh
itu, pertempuran sihat di medan politik, cukuplah sekadar dengan
menggunakan senjata yang berasaskan hujah dan fakta yang bernas. Perkara
penting yang patut ditekankan dan diberikan perhatian yang serius
adalah, tentang soal rasuah, penyelewengan dan ketirisan dalam
menguruskan harta-harta rakyat, juga soal pembelaan terhadap rakyat
golongan marhaen dan mustad’afin (yang ditindas).
TANGGUNGJAWAB MENGUNDI
Sesungguhnya,
tanggungjawab mengundi semasa pilihanraya dilangsungkan, adalah suatu
tuntutan yang wajib bagi setiap Muslim. Seperti kata Sheikh Dr. Yusuf
Al-Qaradawi,
“Proses mengundi atau dikenali sebagai pilihan raya adalah satu bentuk kaedah yang dibangunkan oleh pengalaman manusia bagi membolehkan setiap warga sesebuah negara menentukan pilihan dan kehendak mereka tentang tokoh pemimpin, corak pemerintahan dan tawaran kekuasaan yang dirasakan terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakatnya. Menerusi proses mengundi, ia bererti seseorang itu memberikan kesaksiannya terhadap kebenaran dan kebaikan seseorang individu atau perkumpulannya bagi melangsungkan tugas dan amanah kepemimpinan dalam sesebuah negara.”
Maka,
tidak sepatutnya jika ada di kalangan Muslim yang menyatakan, bahawa
politik itu tiada kaitan dengan dirinya. Kerana Islam adalah agama yang
syumul (lengkap/sempurna), seluruh aspek kehidupan, ada kaitan dengan
insan yang bergelar Muslim. Bahkan, Islam bukan sekadar agama, tetapi
‘way of life’ (cara hidup).
Sekian,
Wallahu’alam.
Adli Abdullah
9hb April 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com