Oleh: Che Din (Wartawan mediabim)

14 Mei 2013:- Memulakan ulasannya dengan nasihat yang baik, Prof Redzuan menegur semua pihak agar membuat kajian dan analisis terlebih dahulu sebelum membuat sebarang rumusan mudah. Sewaktu kehangatan bahang PRU ke-13 sebelum ini, satu hasil kajian oleh UMCEDEL telah menimbulkan kontroversi apabila tinjauan menunjukkan 43 peratus pengundi berpendapat DSAI layak menjadi Perdana Menteri sementara 24 peratus tidak setuju dan selebihnya tidak pasti. Sementara bagi DS Najib, 39 peratus pengundi berkata beliau layak menjadi Perdana Menteri sementara 31 peratus tidak setuju dan 30 peratus selebihnya tidak pasti. Kajian UMCEDEL ini telah dibuat bermula hari pembubaran Parlimen sehingga hari penamaan calon PRU ke-13 dengan seramai 1,407 responden.

Seterusnya, Prof Redzuan menekankan peranan media baru khususnya blog, Facebook dan Twitter dalam mempengaruhi para pengundi, terutamanya pengundi muda. Prof Redzuan menegaskan bahawa pemberian Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) dan undi daripada warga FELDA menjadi faktor terbesar Barisan Nasional (BN) memenangi undi masyarakat Melayu di luar bandar dan berjaya mengekalkan Putrajaya. Faktor ‘Menteri Besar’ pula membawa kepada kejayaan Pakatan Rakyat (PR) untuk mempertahankan Selangor dan Kelantan.

PRU ke-13, menurut beliau, memperlihatkan bagaimana 66% rakyat tidak dipengaruhi pendekatan lama kempen yang lebih berdasarkan kekuatan poster dan bendera. Sebagai contoh, Dato’ Raja Nong Chik berkempen dengan bersungguh-sungguh dan mempunyai lebih banyak bendera dan poster yang ditampal berbanding YB Nurul Izzah, tetapi YB Nurul masih tetap berjaya mempertahankan kawasan Parlimen Lembah Pantai. Pengundi, menurut Prof Redzuan, lebih meyakini poster yang memaparkan mesej yang jelas, berbanding sekadar poster politik yang mempunyai gambar passport calon PRU.

Beliau juga menyatakan bahawa proses persempadanan semula atau ‘Gerrymandering’ adalah antara cabaran terbesar PR pada masa depan. Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2) (ii), persempadanan semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya akan dibuat dalam tempoh tidak kurang dari 8 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya urusan persempadanan terdahulu.

Sumber: ABIM Pusat