> August 2013 ~ ABIM Negeri Melaka

Thursday, August 29, 2013


Berjaya melengserkan gerakan Islam dan presiden Muhammad Mursi dari pemerintahan di Mesir, populariti gerakan Tamarrud kian meningkat. Pengaruh gerakan pemberontakan ini tak hanya dirasakan di Mesir. Namun telah merambah ke negara Arab Spring lain seperti Tunisia.

Di jalur Gaza Palestin gerakan ini juga muncul sebagai upaya perlawanan menjatuhkan pemerintahan Hamas. Beberapa waktu lalu beredar sebuah video yang mengandungi kenyataan Tamarrud Gaza berkaitan penentangannya terhadap Hamas. Mereka memberikan batas waktu 11 November kepada Hamas untuk melepaskan kuasa kerana dituding telah melakukan kekerasan dan penyiksaan.

Namun dalam masa yang cukup singkat kedok gerakan yang mengaku berasaskan rakyat awam Gaza ini terungkap. Baru-baru ini perisikan Hamas berhasil membongkar penglibatan Zionis yang mendalangi gerakan pemberontakan ini. Keselamatan Gaza dilaporkan telah berjaya menangkap sejumlah orang yang menamai diri mereka sebagai Tamarrud Gaza yang akhirnya diketahui mereka ternyata binaan Mossad.

Seperti dilansir Info Palestin, mereka yang tertangkap mengaku bekerja sebagai mata-mata penjajah Zionis dan bekerja atas arahan langsung dari agensi perisikan Zionis di samping dari agensi perisikan Ramallah.

Terbongkarnya gembong pemberontakan ini merupakan kegagalan usaha pihak-pihak Zionis yang ingin memporak perandakan kekuatan dan kestabilan Gaza. Sekaligus menunjukkan bahawa kedudukan dan peranan Hamas sebagai ujung tombak kedaulatan Palestin di Gaza masih sangat kuat.

Akhbar "New York Times" Amerika edisi Minggu (25/8) mengupas situasi terkini yang berlaku di Timur Tengah, terutama Mesir dan Syria serta kesannya terhadap Jalur Gaza. New York Times mengungkap bahawa Hamas merupakan gerakan yang kuat di Gaza dan tidak boleh dijatuhkan, berbeza dengan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Diantara sebab tidak mampunya kekuatan-kekuatan lain menggeser kedudukan Hamas adalah kerana kuatnya populariti gerakan Islam ini di kalangan rakyat Palestin di Jalur Gaza. Hamas juga mempunyai kawalan keselamatan yang kuat dan handal untuk melindungi Gaza, disamping itu juga mempunyai banyak institusi perkhidmatan sehingga kehadirannya benar-benar dirasakan dalam realiti kehidupan rakyat Gaza.

Pengaruh Hamas-menurut surat khabar ini-mula kelihatan di kawasan sejak meletusnya konflik di Syria, yang akhirnya menyebabkan terputusnya hubungan Hamas dengan 2 sekutu kuatnya di masa lampau, Iran dan Syria. Namun Hamas semakin mendiri dan kuat, ini terbukti dengan kejayaannya memenangi perang November lalu dan membuat Israel bertekuk lutut.

Semakin teruk keadaan Mesir pasca rampasan kuasa tentera akhirnya ikut membawa kesan negatif terhadap ekonomi dan kestabilan politik di Jalur Gaza. Namun kerajaan Gaza telah membentuk sebuah jawatankuasa menteri untuk menangani krisis ekonomi yang berlaku baru-baru ini sebagai rentetan kesan rampasan kuasa tentera di Mesir dan penutupan ratusan terowong yang merupakan salah satu nadi kehidupan rakyat Gaza pasca sekatan Israel sejak 2007 lalu.

Kemusnahan terowong ini menyebabkan timbulnya krisis baru di Jalur Gaza kerana terhentinya bekalan barang-barang mencapai 90%. Hal ini menimbulkan kekurangan bahan binaan dan bahan bakar dari Mesir. Akhirnya mereka harus membekalkan dari Israel dengan harga yang lebih tinggi mencapai dua kali ganda.

Di sisi lain penutupan perlintasan Rafah yang merupakan satu-satunya akses keluar masuk rakyat Gaza menyebabkan beribu-ribu pelajar, pengusaha, pesakit, warga asing dan rakyat Gaza yang ada di luar negeri terdampat di sempadan. Hal ini menjadi tekanan bagi Hamas sebagai pemegang kendali pemerintahan di Gaza sejak beberapa tahun belakangan di tengah upaya pengasingan antarabangsa. Namun Hamas telah membuktikan kejayaannya mengatasi keadaan beberapa tahun terakhir hingga keluar dari tekanan, bahkan mengatasi situasi yang sangat rumit.

Sementara itu pimpinan Pihak Berkuasa Palestin yang merupakan perwakilan gerakan Fatah berupaya memanfaatkan tekanan antarabangsa terhadap Hamas dengan ikut menekan dengan isu "wilayah pemberontak" dan mengurangkan pembiayaan atas pelbagai aktiviti di Gaza.

Akan tetapi keadaan di jalur Gaza akan bergantung pada perkembangan Mesir. Sehingga para pemimpin Hamas mula bimbang dan terus mengupayakan jangkaan serta melakukan langkah-langkah penanggulangan yang diperlukan.


- MuslimBoyNazir

 

Posted on Thursday, August 29, 2013 by ABIM Melaka

Wednesday, August 28, 2013




Satu Himpunan Solidariti Kemanusiaan ‘Mengangkat Karamah Insaniah, Membela Maruah’ akan diadakan pada 6 September 2013, (Jumaat).

Himpunan ini diadakan sebagai simbol solidariti umat Islam di negara ini terhadap penderitaan umat Islam di Mesir, Syria, Palestin, dan Rohingya.

Himpunan ini akan bermula dengan solat maghrib serta bacaan Qunut Nazilah sebelum diikuti solat hajat serta munajat perdana.

Program yang dianjurkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta rangkaian agensi serta NGO kemanusiaan negara ini akan disemarakkan dengan persembahan Kumpulan Brothers yang akan mempersembahkan lagu-lagu terbaik mereka seperti Satu Perjuangan dan Hayya Bil Jihad di samping persembahan ‘Flash Mob Air Mata Syria’ dari rakyat Syria.

“Himpunan juga merupakan kesinambungan daripada siri-siri himpunan serupa yang diadakan secara aman di seluruh dunia dan dalam negara. Mesejnya cukup jelas, bahawa kami rakyat Malaysia sememangnya cintakan kedamaian dan mengutuk sekeras-kerasnya penindasan dan kezaliman yang sedang berlaku. Justeru kita menjemput semua rakyat Selangor untuk hadir beramai-ramai ke Himpunan yang bertemakan simbol ‘R4BIA’ ini sebagai tanda sokongan” jelas pengarah Himpunan Mohamad Raimi Ab Rahim.

Tambah menarik, himpunan ini akan disusuli pula dengan penganjuran seminar “World Conference On Islamic Resurgence: Challenges, Prospects And The Way Forward”, bertempat di Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada keesokan harinya (7 September 2013).

“Konferen ini akan menampilkan pengarang buku yang sensasi ketika ini iaitu ‘Inside Muslim Brotherhood: The Truth About The World’s Most Powerful Political Movement’, Douglas Thompson dari United Kingdom.
 

Beliau dijangka akan membicarakan secara mendalam mengenai kisah dalaman Ikhwan Muslimin dan peranannya di peringkat antarabangsa dalam konteks hubungan Islam-Barat,” jelas Mohamad Raimi yang juga merupakan Setiausaha Agung ABIM.

Program ini turut menampilkan tokoh-tokoh berwibawa untuk membincangkan hala tuju kebangkitan Islam pasca Arab Spring di seluruh dunia pada masa akan datang berdasarkan perkembangan semasa di Mesir, Syria, Tunisia, Palestin dan Bangladesh.

Segala makluman lanjut berhubung program bolehdibuatdengan merujuk pada laman web rasmi seminar (http://iresurgence.webs.com/) serta menghubungi Sekretariat Seminar di talian 03-41084500 ataupun sms kepada 019-3836700 dan emel (seminar@abim.org.my), tambah beliau.


- ABIM Pusat


Posted on Wednesday, August 28, 2013 by ABIM Melaka

Thursday, August 22, 2013


Wahai Tentera ! Berterima Kasihlah Kepada Ikhwan Al-Muslimin Kedudukan Mesir sejak Presiden Mursi digulingkan menjadi semakin teruk dan ganas. Tindakan tentera dan pasukan keselamatan ‘membersihkan’ kawasan penyokong Mursi nampaknya tidak lagi memikirkan pandangan umat Islam yang rata-rata masih lagi dalam ‘mood’ Aidilfitri.

Angka kematian yang dilihat berbeza antara yang dilaporkan di media dengan apa yang dicatat sendiri oleh penyokong di dataran tersebut menunjukkan bahawa pemerintah akan dengan mudah mahu memadamkan apa juga rekod mengenai ‘pembersihan’ tersebut.

Ia akan mengulangi sejarah China yang mahu memadamkan kisah pembunuhan di Dataran Tiananmen pada tahun 1989 di mana tiada angka yang tepat mengenai jumlah yang terbunuh dan rakyat tidak dibenarkan bercakap mengenainya. Inilah yang akan terjadi di dataran Rabaah.

Sejarah pertempuran antara Ikhwan al-Muslimin dengan pemerintah Mesir bukanlah satu sejarah baru. Cuma apa yang mahu diketengahkan di dalam catatan ini ialah agar umat Islam sedar dan tahu bahawa pihak tentera seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Ikhwan al-Muslimin kerana berjaya memerintah Mesir sejak dari tahun 1952 sehinggalah kejatuhan Hosni Mubarak pada 11 Februari 2011.

Pemerintah tentera berakhir apabila Mohammed Mursi berjaya memenangi kerusi Presiden Mesir pada 24 Jun 2012. Malangnya cukup setahun Mesir mempunyai Presiden bukan dari kalangan tentera, beliau telah digulingkan secara paksa oleh jeneralnya sendiri pada 3 Julai 2013 dan akhirnya berlakulah apa yang kita lihat pada hari ini.

Sejarah kaitan Ikhwan al-Muslimin dengan tentera ini bermula pada tahun 1952 apabila sekelompok pegawai-pegawai tentera yang diketuai oleh Muhammad Najib bertindak mengguling dan menjatuhkan Raja Farouk dan menamatkan pemerintahan beraja di Mesir. Ikhwan pada ketika menjadi penyokong dan tulang belakang tindakan pegawai tentera terbabit kerana pada ketika itu tiada pihak yang berani menyokong perjuangan mereka.

Sokongan Ikhwan ini membolehkan penggulingan dan pengusiran Raja Farouk berjalan lancar dan diterima oleh rakyat Mesir. Gamal Abdul Nasser pernah mengatakan bahawa Ikhwan al-Muslimin adalah merupakan pendukung paling kuat terhadap revolusi 1952. Jasa baik Ikhwan ini dibalas dengan tindakan membebaskan semua tahanan Ikhwan yang telah di penjara semasa zaman Farouk.

Selain menziarahi kubur Hassan al-Banna yang dibunuh oleh Farouk, Gamal Abdul Nasser turut membiarkan Ikhwan al-Muslimin bergerak bebas. Namun jangka hayat waktu aman ini sekejap sahaja. Apabila tentera merasakan mereka tidak memerlukan pertolongan dan sokongan Ikhwan, mereka kembali semula menindas dan memenjarakan ahli-ahlinya.

Gamal Abdul Nasser mengharamkan Ikhwan al-Muslimin pada tahun 1954 dan menangkap ratusan pengikut Ikhwan. Ikhwan al-Muslimin tidak melatah dengan mengadakan demonstrasi menentang pemerintah sebaliknya mengambil sikap berdemo untuk menyokong Muhammad Najib selaku pemimpin rasmi revolusi apabila beliau dilucutkan jawatan oleh Gamal Abdul Nasser.

Demonstrasi yang dipimpin oleh Abdul Kadir Audah memaksa Gamal Abdul Nasser membebaskan tahanan yang beliau sumbat di dalam penjara dan mengembalikan jawatan Muhammad Najib. Namun setelah merasa kuat kembali Abdul Kadir Audah telah di hukum gantung pada akhir Disember 1954.

Akibat perebutan kuasa antara Gamal Abdul Nasser dan Muhammad Najib, Ikhwan dijadikan kambing hitam. Gamal Abdul Nasser telah merancang cubaan membunuh dirinya sendiri pada bulan Oktober 1954. Hasilnya Ikhwan al-Muslimin dituduh mendalangi peristiwa tersebut.

Muhammad Najib yang disokong oleh Ikhwan turut dituduh bersubahat bersama Ikhwan. Kedua-dua musuh Gamal berjaya dihapuskan. Ikhwan diharamkan pada bulan yang sama. Pengharaman kali ini membawa kepada penangkapan yang lebih besar termasuk Hassan al-Hudhaibi, Mursyidul Am Ikhwan al-Muslimin.

Beliau bersama Abdul Kadir Audah dan lima yang lain telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati tetapi Hassan al-Hudhaibi diringankan kerana sudah berumur 62 tahun pada ketika itu. Yusuf al-Qaradawi pernah menyaksikan beberapa ahli Ikhwan yang mati dibungkus dengan kain selimut dan di kubur di padang pasir.

Penyeksaan dan penindasan ke atas ahli-ahli Ikhwan berlarutan sehinggalah Anwar Sadat mengambil alih pemerintahan pada tahun 1970. Sadat sekali lagi menggunakan Ikhwan untuk kepentingan politik dan penerusan pemerintahan tentera yang lebih kuat. Ketika Sadat mengambil alih kerajaan, beliau menghadapi masalah daripada dua penjuru.

Pertama ialah daripada puak berhaluan kiri yang terdiri daripada komunis, sosialis dan juga pengikut kuat Gamal Abdul Nasser. Keduanya pula ialah daripada kelompok pelampau Islam yang radikal seperti Hizb at-Tahrir, al-Takfir wa al-Hijrah dan Tanzim al-Jihad. Sadat tiada jalan lain melainkan menunaikan permintaan Ikhwan al-Muslimin yang memohon agar Presiden baru membenarkan Ikhwan beroperasi dan memberi semula lesen menerbitkan majalah Ikhwan.

Sadat percaya bahawa hanya Ikhwan yang boleh mengurangkan tekanan dari kedua musuh politiknya lalu beliau membebaskan semua tahanan Ikhwan yang telah ditahan pada zaman Gamal Abdul Nasser. Walaupun Ikhwan tidak dibenarkan membuka markasnya kembali seperti biasa tetapi Sadat membenarkan majalah Ikhwan diterbitkan semula.

Sebagai membalas jasa Sadat, Ikhwan al-Muslimin telah menghentam komunis dalam terbitan pertama majalah tersebut. Isu-isu yang berkaitan dengan komunis, sosialis dan juga ketaasuban kepada pengikut Gamal Abdul Nasser sentiasa mendapat ulasan setiap keluaran majalah Ikhwan.

Kritikan keras Ikhwan terhadap pelampau Islam pula bermula apabila mereka mengatakan bahawa mereka masih ada hubungan dengan Ikhwan dan masih menerima nasihat daripada pimpinan tertinggi Ikhwan. Jasa Ikhwan dalam berdepan dengan kedua-dua kelompok ini memang memberi kesan yang besar terhadap pemerintahan Sadat.

Namun sebaik sahaja Sadat dan tentera merasa selamat dan kuat maka Ikhwan telah diharamkan semula pada tahun 1981. Begitu jugalah nasib Ikhwan apabila Muhammad Hosni Mubarak mengambil alih kerajaan. Mubarak tidak memberi peluang langsung kepada Ikhwan tetapi sentiasa mengharapkan agar Ikhwan menjadi orang tengah kepada gejala kumpulan radikal Islam yang banyak melakukan letupan berani mati di kawasan-kawasan awam sepanjang pemerintahannya.

Atas daya usaha yang dilakukan oleh Ikhwan al-Muslimin, semua pertubuhan yang dituduh sebagai radikal dan pengganas telah sepakat untuk tidak melakukan sebarang letupan berani mati di tempat-tempat awam sejak tahun 1999.

Ikhwan al-Muslimin ternyata tidak berdendam kepada pihak pemerintah. Dalam erti kata lain Ikhwan masih lagi mengharapkan adanya ruang untuk mereka menyumbang untuk masa depan yang baik kepada negara. Mempertahankan prinsip-prinsip asas, Ikhwan tetap menyokong apa sahaja usaha pihak pemerintah (tentera) untuk memajukan Mesir dan mengkritik dengan keras jika dasar-dasar yang hendak dilaksanakan tidak sesuai dengan kehendak Islam.

Semua pihak termasuk pemerintah tahu bahawa Ikhwan al-Muslimin tidak terlibat dengan sebarang kegiatan keganasan yang berlaku di Mesir. Mereka mengakui bahawa Ikhwan adalah kuasa pengimbang antara keganasan dan toleransi. Perjuangan Ikhwan tidak berdasarkan kepada revolusi dan keganasan.

Atas prinsip tersebut Ikhwan meneruskan perjuangan membaiki negara dan masyarakat melalui proses berparti dan memasuki pilihan raya. Walaupun lambat tetapi mereka percaya bahawa proses ini lebih selamat daripada revolusi. Apabila berlaku bantahan terhadap Mubarak pada tahun 2011, Ikhwan bukanlah kelompok awal yang mencetuskan perhimpunan besar-besaran di dataran Tahrir.

Ikhwan naik memerintah dan menerajui negara melalui proses pilihan raya yang seharusnya diterima oleh semua pihak. Bahkan parti yang ditubuhkan oleh Ikhwan telah berjaya memenangi 47 peratus daripada semua kerusi parlimen berbanding dengan parti lain termasuk parti pemerintah yang lama pimpinan Mubarak hanya memenangi tidak lebih daripada 1 peratus kerusi.

Kesimpulannya, pemerintah tentera seharusnya berterima kasih kepada Ikhwan al-Muslimin kerana tanpa mereka, perjuangan tentera mungkin menghadapi laluan sukar. Sejak tahun 1952, Ikhwan tidak pernah menghasut rakyat atau mengumpulkan rakyat untuk bangkit menentang pemerintah walaupun sudah beribu ahlinya mati dan dibuang negara. Kematian sudah menjadi biasa kepada mereka. Peristiwa di dataran Rabaah ini mungkin laluan yang paling sukar yang akan dihadapi oleh tentera kerana ahli-ahli Ikhwan adalah mereka yang tidak takutkan mati sama seperti yang telah dilalui oleh pimpinan mereka terdahulu. Bagi mereka hanya ada dua iaitu menang atau mati syahid. Mereka tidak dapat dibersihkan dengan jentolak dan peluru dalam dua atau tiga hari operasi tetapi tentera akan berhadapan dengan kebangkitan yang paling hebat abad ini.


Hj Shamsul Azhar Yahya Shamsul Azhar Yahya

Felo Penyelidik/Pensyarah
Institut Islam hadhari
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Posted on Thursday, August 22, 2013 by ABIM Melaka

Wednesday, August 21, 2013

Proses Pematangan Revolusi 25 Januari 2011 dan Kebangkitan Semula Diktator 

Oleh: Mohd Faiz Bin Mohd Yusop , Koresponden ABIM Di Mesir

Pembunuhan penunjuk perasaan Pro-Morsi yang berhimpun secara aman oleh pihak tentera Mesir harus dilihat sebagai suatu pertumpahan darah yang amat kejam. Pemimpin Tertinggi Tentera Mesir, General As Sisi telah menunjukkan kepada dunia wajah sebenar ‘military coup’ (rampasan kuasa) dan ‘illegal interim government’ (kerajaan haram). Dengan pengumuman darurat (state of emergency) selama sebulan di seluruh negara baru baru ini , Mesir telah menjadi satu warisan pemerintahan era Mubarak, yang diwarisi oleh segala bentuk kezaliman.Kita harus terdidik bahawa ‘military coup’ walau di mana ceruk bumi sekalipun, tidak pernah menjanjikan harapan yang cerah buat suasana politik dan kebajikan rakyat.

Maka, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak Barat? Adakah mereka akan merujuk tragedi ini sebagai suatu halangan untuk menyuburkan proses demokrasi? Atau Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) akan mengutuk, dan mambatalkan apa jua bantuan yang pernah dijanjikan sebelum ini kepada kerajaan sekarang?

Sekali lagi, parti - parti politik di Mesir (political players) harus sedar bahawa satu-satunya jalan untuk menyelesaikan krisis keamanan yang berlaku sekarang ialah dengan mengembalikan proses demokrasi, bermula ke tempat asalnya, iaitu ke peti undi (ballot box). Rampasan kuasa yang terjadi benar benar membawa Mesir ke satu zaman yang pernah dialami sebelum ini, iaitu sebuah negara diktator (authoritarian) yang bukan sahaja pernah menipu rakyat dengan memberikan janji palsu untuk penyertaan pilihan raya adil dan telus, malah telah mempraktikkan sistem pemerintahan one party system selama 57 tahun, sejak tahun 1954 hingga 2011.

Sebaik sahaja Hosni Mubarak berjaya ditumbangkan pada 2011, perkara utama yang sepatutnya berlaku ialah penyerahan sepenuhnya proses demokrasi kepada rakyat melalui suruhanjaya perdamaian (reconciliation commission), bukannya kepada kerajaan yang diterajui oleh tentera (SCAF).Kerana, penyerahan kuasa kepada suruhanjaya perdamaian bukan sahaja akan mempercepatkan transisi demokrasi, malah akan menghalang keganasan, cauvinisme, eksploitasi dan authoritarian yang tidak mustahil akan berlaku semula, kerana perkara ini telah lama menguasai kehidupan sosial, ekonomi dan politik rakyat Mesir.Malang sekali perkara ini tidak berlaku.

Masalah utama selepas Revolusi 25 Januari 2011 yang membawa kepada siri siri pertumpahan darah yang berlaku hari ini ialah perbezaan ideologi politik dikalangan parti politik yang bertanding, dan pertarungan siapa paling jaguh dalam mengangkat makna sebenar revolusi.Dalam pada itu, pihak tentera yang sekian lama (hampir 2 tahun) dinafikan hak kuasa, melihat peristiwa perhimpunan bantahan anti-Morsi pada 30 Jun 2013 sebagai masa terbaik untuk kembali berkuasa, melalui military coup. Semboyan anti-Ikhwan yang dimainkan oleh puak Tamarrod (pengkhianat) bukan sahaja berjaya menggabungkan kesemua ideologi politik yang sangat membenci Ikhwan al-Muslimin, malah mempermudahkan proses military coup . Sheikh Rached Ghanoushi , pengasas Parti Nahdah Tunisia, melabel kejadian ini sebagai rampasan kuasa terang terangan. Ini adalah satu pencabulan keatas proses demokrasi.

Daripada ini, sistem politik baru telah dibina daripada dinamik asas yang sama yang bercirikan era Mubarak, dengan benih demokrasi formal tetapi sentiasa dicabar melalui pilihan raya dan referendum. Kurangnya muhasabah terhadap sejarah politik yang menekan rakyat sebenarnya telah melambatkan tempoh peralihan kuasa daripada kerajaan diktator kepada kerajaan rakyat. Jelaslah bahawa, parti politik daripada aliran mana sekalipun, sekiranya mereka tidak mesra tentera, maka mereka bakal digulingkan. Sama ada kumpulan Islamis, Liberal, aktivis wanita, Kristian, Sosialis Revolusi, Sekular, Ateis,pro Syiah, aktivis Palestin,aktivis Syria, malah aktivis hak asasi manusia sekalipun, satu demi satu kumpulan telah dicabuli maruahnya dan dinafikan hak kebebasan bersuara oleh pemerintahan tentera.Perkara ini sebenarnya menuntut satu kajian semula keatas bidang kuasa tentera bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang. Baru baru ini juga, telah diumumkan bahawa 10 daripada 12 orang gabenor yang baru dilantik adalah yang berlatarbelakangkan tentera.Perkara ini turut mengesahkan penguasaan berterusan pihak tentera keatas Mesir, pasca pemerintahan Morsi.

Berdasarkan kebangkitan semula kuasa diktator ini , ia mungkin memperlihatkan bahawa Mesir tidak boleh pergi lebih jauh, malah telah mematikan semangat karamah insaniah yang membawa kepada keberjayaan Revolusi 25 Januari 2011. Proses bantahan selama 6 minggu (sejak dari 3 Julai 2013) oleh kumpulan anti military coup telah menjadi siri bantahan paling lama sejak kejayaan Revolusi 25 Januari 2011. Siri bantahan yang dilakukan oleh Pro Morsi telah memperlihatkan kekuatan yang luar biasa, dan mengetuk pintu hati rakyat Mesir yang leka bahawa, musibah yang lebih besar bakal berlaku sekiranya sisa-sisa bekas rejim Mubarak berjaya merampas kembali tampuk pemerintahan Mesir.Maka, satu perkara yang sangat diragui disini ialah, bagaimana sebuah institusi negara yang langsung tidak bertanding dalam pilihanraya, malah terkenal dengan sejarah pemerintahan diktator, boleh mempromosikan sistem demokrasi yang adil dan telus?

Bagi pendokong asal Revolusi 25 Januari 2011, untuk berjaya bukan sahaja akan mengorbankan Ikhwan al-Muslimin, malah kesemua rakyat Mesir yang mahukan pembinaan negara baru diatas paksi demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. Gerakan anti military coup yang diterajui Ikhwan al-Muslimin tidak menampakkan tanda tanda akan surut, malah mereka sentiasa bersemangat untuk syahid demi mempertahankan sebuah negara yang berdaulat.Ikhwan al-Muslimin telah belajar dari sejarah, bahawa, semboyan ‘Ini Kalilah’ semakin kuat bergema kerana jika mereka berundur dari perjuangan dan ijtihad politik, masa depan yang suram akan menanti mereka, dibawah pemerintahan zalim tentera.




Posted on Wednesday, August 21, 2013 by Unknown