Wahai Tentera ! Berterima Kasihlah Kepada Ikhwan Al-Muslimin Kedudukan Mesir sejak Presiden Mursi digulingkan menjadi semakin teruk dan ganas. Tindakan tentera dan pasukan keselamatan ‘membersihkan’ kawasan penyokong Mursi nampaknya tidak lagi memikirkan pandangan umat Islam yang rata-rata masih lagi dalam ‘mood’ Aidilfitri.

Angka kematian yang dilihat berbeza antara yang dilaporkan di media dengan apa yang dicatat sendiri oleh penyokong di dataran tersebut menunjukkan bahawa pemerintah akan dengan mudah mahu memadamkan apa juga rekod mengenai ‘pembersihan’ tersebut.

Ia akan mengulangi sejarah China yang mahu memadamkan kisah pembunuhan di Dataran Tiananmen pada tahun 1989 di mana tiada angka yang tepat mengenai jumlah yang terbunuh dan rakyat tidak dibenarkan bercakap mengenainya. Inilah yang akan terjadi di dataran Rabaah.

Sejarah pertempuran antara Ikhwan al-Muslimin dengan pemerintah Mesir bukanlah satu sejarah baru. Cuma apa yang mahu diketengahkan di dalam catatan ini ialah agar umat Islam sedar dan tahu bahawa pihak tentera seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Ikhwan al-Muslimin kerana berjaya memerintah Mesir sejak dari tahun 1952 sehinggalah kejatuhan Hosni Mubarak pada 11 Februari 2011.

Pemerintah tentera berakhir apabila Mohammed Mursi berjaya memenangi kerusi Presiden Mesir pada 24 Jun 2012. Malangnya cukup setahun Mesir mempunyai Presiden bukan dari kalangan tentera, beliau telah digulingkan secara paksa oleh jeneralnya sendiri pada 3 Julai 2013 dan akhirnya berlakulah apa yang kita lihat pada hari ini.

Sejarah kaitan Ikhwan al-Muslimin dengan tentera ini bermula pada tahun 1952 apabila sekelompok pegawai-pegawai tentera yang diketuai oleh Muhammad Najib bertindak mengguling dan menjatuhkan Raja Farouk dan menamatkan pemerintahan beraja di Mesir. Ikhwan pada ketika menjadi penyokong dan tulang belakang tindakan pegawai tentera terbabit kerana pada ketika itu tiada pihak yang berani menyokong perjuangan mereka.

Sokongan Ikhwan ini membolehkan penggulingan dan pengusiran Raja Farouk berjalan lancar dan diterima oleh rakyat Mesir. Gamal Abdul Nasser pernah mengatakan bahawa Ikhwan al-Muslimin adalah merupakan pendukung paling kuat terhadap revolusi 1952. Jasa baik Ikhwan ini dibalas dengan tindakan membebaskan semua tahanan Ikhwan yang telah di penjara semasa zaman Farouk.

Selain menziarahi kubur Hassan al-Banna yang dibunuh oleh Farouk, Gamal Abdul Nasser turut membiarkan Ikhwan al-Muslimin bergerak bebas. Namun jangka hayat waktu aman ini sekejap sahaja. Apabila tentera merasakan mereka tidak memerlukan pertolongan dan sokongan Ikhwan, mereka kembali semula menindas dan memenjarakan ahli-ahlinya.

Gamal Abdul Nasser mengharamkan Ikhwan al-Muslimin pada tahun 1954 dan menangkap ratusan pengikut Ikhwan. Ikhwan al-Muslimin tidak melatah dengan mengadakan demonstrasi menentang pemerintah sebaliknya mengambil sikap berdemo untuk menyokong Muhammad Najib selaku pemimpin rasmi revolusi apabila beliau dilucutkan jawatan oleh Gamal Abdul Nasser.

Demonstrasi yang dipimpin oleh Abdul Kadir Audah memaksa Gamal Abdul Nasser membebaskan tahanan yang beliau sumbat di dalam penjara dan mengembalikan jawatan Muhammad Najib. Namun setelah merasa kuat kembali Abdul Kadir Audah telah di hukum gantung pada akhir Disember 1954.

Akibat perebutan kuasa antara Gamal Abdul Nasser dan Muhammad Najib, Ikhwan dijadikan kambing hitam. Gamal Abdul Nasser telah merancang cubaan membunuh dirinya sendiri pada bulan Oktober 1954. Hasilnya Ikhwan al-Muslimin dituduh mendalangi peristiwa tersebut.

Muhammad Najib yang disokong oleh Ikhwan turut dituduh bersubahat bersama Ikhwan. Kedua-dua musuh Gamal berjaya dihapuskan. Ikhwan diharamkan pada bulan yang sama. Pengharaman kali ini membawa kepada penangkapan yang lebih besar termasuk Hassan al-Hudhaibi, Mursyidul Am Ikhwan al-Muslimin.

Beliau bersama Abdul Kadir Audah dan lima yang lain telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati tetapi Hassan al-Hudhaibi diringankan kerana sudah berumur 62 tahun pada ketika itu. Yusuf al-Qaradawi pernah menyaksikan beberapa ahli Ikhwan yang mati dibungkus dengan kain selimut dan di kubur di padang pasir.

Penyeksaan dan penindasan ke atas ahli-ahli Ikhwan berlarutan sehinggalah Anwar Sadat mengambil alih pemerintahan pada tahun 1970. Sadat sekali lagi menggunakan Ikhwan untuk kepentingan politik dan penerusan pemerintahan tentera yang lebih kuat. Ketika Sadat mengambil alih kerajaan, beliau menghadapi masalah daripada dua penjuru.

Pertama ialah daripada puak berhaluan kiri yang terdiri daripada komunis, sosialis dan juga pengikut kuat Gamal Abdul Nasser. Keduanya pula ialah daripada kelompok pelampau Islam yang radikal seperti Hizb at-Tahrir, al-Takfir wa al-Hijrah dan Tanzim al-Jihad. Sadat tiada jalan lain melainkan menunaikan permintaan Ikhwan al-Muslimin yang memohon agar Presiden baru membenarkan Ikhwan beroperasi dan memberi semula lesen menerbitkan majalah Ikhwan.

Sadat percaya bahawa hanya Ikhwan yang boleh mengurangkan tekanan dari kedua musuh politiknya lalu beliau membebaskan semua tahanan Ikhwan yang telah ditahan pada zaman Gamal Abdul Nasser. Walaupun Ikhwan tidak dibenarkan membuka markasnya kembali seperti biasa tetapi Sadat membenarkan majalah Ikhwan diterbitkan semula.

Sebagai membalas jasa Sadat, Ikhwan al-Muslimin telah menghentam komunis dalam terbitan pertama majalah tersebut. Isu-isu yang berkaitan dengan komunis, sosialis dan juga ketaasuban kepada pengikut Gamal Abdul Nasser sentiasa mendapat ulasan setiap keluaran majalah Ikhwan.

Kritikan keras Ikhwan terhadap pelampau Islam pula bermula apabila mereka mengatakan bahawa mereka masih ada hubungan dengan Ikhwan dan masih menerima nasihat daripada pimpinan tertinggi Ikhwan. Jasa Ikhwan dalam berdepan dengan kedua-dua kelompok ini memang memberi kesan yang besar terhadap pemerintahan Sadat.

Namun sebaik sahaja Sadat dan tentera merasa selamat dan kuat maka Ikhwan telah diharamkan semula pada tahun 1981. Begitu jugalah nasib Ikhwan apabila Muhammad Hosni Mubarak mengambil alih kerajaan. Mubarak tidak memberi peluang langsung kepada Ikhwan tetapi sentiasa mengharapkan agar Ikhwan menjadi orang tengah kepada gejala kumpulan radikal Islam yang banyak melakukan letupan berani mati di kawasan-kawasan awam sepanjang pemerintahannya.

Atas daya usaha yang dilakukan oleh Ikhwan al-Muslimin, semua pertubuhan yang dituduh sebagai radikal dan pengganas telah sepakat untuk tidak melakukan sebarang letupan berani mati di tempat-tempat awam sejak tahun 1999.

Ikhwan al-Muslimin ternyata tidak berdendam kepada pihak pemerintah. Dalam erti kata lain Ikhwan masih lagi mengharapkan adanya ruang untuk mereka menyumbang untuk masa depan yang baik kepada negara. Mempertahankan prinsip-prinsip asas, Ikhwan tetap menyokong apa sahaja usaha pihak pemerintah (tentera) untuk memajukan Mesir dan mengkritik dengan keras jika dasar-dasar yang hendak dilaksanakan tidak sesuai dengan kehendak Islam.

Semua pihak termasuk pemerintah tahu bahawa Ikhwan al-Muslimin tidak terlibat dengan sebarang kegiatan keganasan yang berlaku di Mesir. Mereka mengakui bahawa Ikhwan adalah kuasa pengimbang antara keganasan dan toleransi. Perjuangan Ikhwan tidak berdasarkan kepada revolusi dan keganasan.

Atas prinsip tersebut Ikhwan meneruskan perjuangan membaiki negara dan masyarakat melalui proses berparti dan memasuki pilihan raya. Walaupun lambat tetapi mereka percaya bahawa proses ini lebih selamat daripada revolusi. Apabila berlaku bantahan terhadap Mubarak pada tahun 2011, Ikhwan bukanlah kelompok awal yang mencetuskan perhimpunan besar-besaran di dataran Tahrir.

Ikhwan naik memerintah dan menerajui negara melalui proses pilihan raya yang seharusnya diterima oleh semua pihak. Bahkan parti yang ditubuhkan oleh Ikhwan telah berjaya memenangi 47 peratus daripada semua kerusi parlimen berbanding dengan parti lain termasuk parti pemerintah yang lama pimpinan Mubarak hanya memenangi tidak lebih daripada 1 peratus kerusi.

Kesimpulannya, pemerintah tentera seharusnya berterima kasih kepada Ikhwan al-Muslimin kerana tanpa mereka, perjuangan tentera mungkin menghadapi laluan sukar. Sejak tahun 1952, Ikhwan tidak pernah menghasut rakyat atau mengumpulkan rakyat untuk bangkit menentang pemerintah walaupun sudah beribu ahlinya mati dan dibuang negara. Kematian sudah menjadi biasa kepada mereka. Peristiwa di dataran Rabaah ini mungkin laluan yang paling sukar yang akan dihadapi oleh tentera kerana ahli-ahli Ikhwan adalah mereka yang tidak takutkan mati sama seperti yang telah dilalui oleh pimpinan mereka terdahulu. Bagi mereka hanya ada dua iaitu menang atau mati syahid. Mereka tidak dapat dibersihkan dengan jentolak dan peluru dalam dua atau tiga hari operasi tetapi tentera akan berhadapan dengan kebangkitan yang paling hebat abad ini.


Hj Shamsul Azhar Yahya Shamsul Azhar Yahya

Felo Penyelidik/Pensyarah
Institut Islam hadhari
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA