ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) telah menghantar dua delegasi selaku perwakilan NGO negara ini ke sidang Final Adoption Of Malaysia’s UPR (Universal Periodic Review) Report oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC)  yang akan diadakan 20 Mac 2014 ini di Geneva. Kedua-dua delegasi tersebut telah berlepas malam tadi (18 Mac 2013). Sidang  ini merupakan susulan daripada pembentangan UPR yang telah diadakan pada penghujung 2013 yang lalu.

Delegasi tersebut disertai oleh Naib Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim dan Ketua Biro Undang-Undang ABIM, Khairul Anwar Ismail. Kedua-dua mereka telah mewakili pihak NGO Malaysia di 2nd Regional Consultation of ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights with Civil Society Organization on ASEAN Human Rights Declaration di Manila pada September 2012.

Walaupun terdapat tekanan yang kuat dari kumpulan pelobi dan gabungan hak asasi manusia di peringkat ASEAN untuk mengiktiraf hak dan amalan LGBT, tampak jelas bahawa keyakinan majoriti masyarakat beragama di rantau Asia Tenggara ini masih tidak dapat menerima, bahkan dengan tegas menolak usul agar hak dan amalan LGBT dari diiktiraf.

Untuk sidang pada 20 Mac 2014 ini, wakil negara akan mengutarakan respon terhadap pandangan serta tuntutan wakil-wakil negara asing ketika permulaan sidang UPR pada tahun 2013 yang lalu. Sepanjang sidang ini kelak, kedua-dua orang wakil ABIM mendapat hak serta peluang untuk bersuara oleh sekretariat persidangan UNHRC di Geneva.

Penyertaan  ABIM ini dibuat berdasarkan kepada pembabitan ABIM dalam beberapa perbincangan serta wacana berkaitan keseluruhan proses semakan UPR ini dengan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), NGO-NGO Pro Hak Asasi Manusia (PROHAM) serta NGO-NGO Islam serta Civil Society Organisation (CSO) dalam dan luar negara yang lain.

AMIDI DATO’ ABDUL MANAN
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)