> June 2014 ~ ABIM Negeri Melaka

Tuesday, June 24, 2014


Selaku OKU, hati dan lidah saya kelu tidak terkata dikala membaca kisah nasib malang menimpa adik Muhammad Firdaus, remaja OKU, menghidap penyakit Celebral Palsy. (Klik untuk laporannya). Cerebral Palsy secara mudah dinyatakan, menyebabkan pertumbuhan tubuh badan yang bantut serta tidak normal dan mengalami masalah pergerakan anggota tubuh. Ada yang masih boleh melakukan pergerakan sungguh pun terbatas dan lemah. Ada yang langsung tidak boleh melakukan sebarang pergerakan terlantar. Manakala dari segi perkembangan minda ada yang tiada masalah. Namun, lazimnya mereka yang ditimpa penyakit Celebral Palsy, mengalami masalah perkembangan minda.

Apa pun, kisah adik Firdaus yang menyayat hati ini, bikin saya tersentak menjentik minda tentang erti Qana'ah (merasai cukup dengan apa yang ada). Merasai cukup dan syukur dengan rahmat dan nikmat dari Allah SWT melimpah ruah tiada bertepian. Merasai cukup dan syukur dengan kasih sayang, perhatian serta didikan emak, ayah dan seluruh ahli keluarga yang melimpah ruah. Namun, adik Firdaus ini belum selayaknya menerima hakikat Qana'ah itu sendiri. Kerana dia tidak menerima kasih sayang, layanan, perhatian dan didikan yang sewajarnya bersesuaian dengan keadaan kesihatannya.

Malahan, paling dikesali adik Firdaus terbiar melarat tidak berbela oleh ibu-bapanya sendiri. Dan mungkin tidak diasah bakat unik dikurniaNya kepada setiap golongan OKU. Kerana setiap insan di muka bumi ini tidak kira sama ada OKU atau pun tidak, Telah dinyatakan Allah SWT, "Telah Kami (Allah) ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian." (At-Tin: 7). 

Maka, ibu-bapanya patut dipertanggungjawabkan di atas apa yang menimpa adik Firdaus. Sekiranya setelah siasatan dilakukan membuktikan mereka cuai serta tidak bertanggungjawab atas amanah kuniaan Allah SWT ini. Mereka patut dihukum dengan hukuman selayaknya.

والله أعلمُ بالـصـواب

'Dan Allah lebih mengetahui yang sebenar-benarnya.'

Adli Abdullah Abdullah
Exco Penerangan ABIM Melaka

Posted on Tuesday, June 24, 2014 by Unknown

Friday, June 20, 2014

TANGGAL 20 Jun diraikan pada setiap tahun sebagai Hari Pelarian Sedunia. Sebagai sebuah organisasi yang terlibat langsung dalam misi kemanusiaan membantu pelarian di seluruh dunia sejak awal penubuhannya, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menzahirkan keprihatinan dan kebimbangan terhadap perkembangan trend sejagat berkaitan pelarian di peringkat global dan kesan-kesan langsung yang terkait dengannya.

Pelarian merujuk kepada sesiapa yang berada di luar negara asal mereka dan mereka yang mempunyai “kebimbangan berasas akan diseksa atas alasan ras, agama, kerakyatan, anggota kumpulan sisual atau fahaman politik tertentu dan kerana itu, tidak berupaya atau sanggup lagi untuk pulang ke negara tersebut”. 

Berasaskan definisi khusus perundangan antarabangsa yang termaktub di dalam Konvensyen 1951 berkaitan Status Pelarian (Konvensyen Pelarian) dan Protokol 1967-nya, jumlah pelarian yang dianggarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sehingga penghujung 2013 secara global ialah seramai 16 juta orang.

Namun agensi tersebut menyatakan bahawa jumlah keseluruhan populasi dunia yang terjejas akibat krisis kemanusiaan adalah jauh lebih tinggi, iaitu seramai 40 juta orang dengan mengambilkira pelbagai kategori lain seperti pencari suaka (asylum seeker), pelarian dalam negara (Internally Displaced Person, IDP) dan warga tanpa negara (stateless person). 

Inilah sebenarnya jumlah yang lebih tepat untuk menggambarkan kadar dan skala pelarian sejagat hari ini. Untuk rekod, ini merupakan angka tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah krisis pelarian global sejak penubuhan UNHCR pada tahun 1951. 

Peperangan dan konflik khususnya di Syria, Republik Afrika Tengah, Congo dan Mali telah menyumbang sekitar 4 juta pelarian global diantara tahun 2011-2013. Di rantau ini, Myanmar sahaja misalnya telah menyumbang sekurang-kurangnya 1.1 juta populasi pelarian dalam rantaian krisis kemanusiaan yang disifatkan UNHCR sebagai terburuk abad ini.

Sesungguhnya masalah melibatkan pelarian tidak boleh dipandang enteng. Masalah pelarian ialah refleksi terhadap keamanan dunia yang kita diami hari ini. Dalam situasi dunia yang diwarnai oleh konflik berpanjangan merentas benua, hampir setiap negara akan merasai dampak krisis pelarian, khususnya negara-negara yang berjiran dengan zon dilanda konflik. Malaysia tidak terkecuali.

Sehingga akhir Mei 2014, terdapat sejumlah 145,025 orang pelarian dan pencari suaka telah didaftarkan di bawah pejabat UNHCR Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 134,430 adalah dari Myanmar dengan jumlah terbesar dari etnik Chin (51,620), Rohingya (37,100), Muslim Myanmar (11,840), Rakhine (7735 ) dan selebihnya lain-lain etnik. Dari sejumlah 10,590 pelarian dari negara-negara lain, Sri Lanka kekal sebagai penyumbang terbesar (4,280) dan konflik di Syria pula telah menyumbang seramai 920 pelarian. 

Perlu diingat bahawa jumlah di atas hanyalah mengambil kira pelarian yang didaftarkan melalui UNHCR. Jumlah mereka yang tidak berdaftar atau diuruskan langsung oleh agensi penguatkuasa kerajaan dan melalui NGO pastinya lebih tinggi. 

Pada masa yang sama, Malaysia bukan merupakan penandatangan Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951. Dalam erti kata lain, perundangan Malaysia tidak mengiktiraf hak-hak berkaitan pelarian seperti yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa. 

Justeru istilah ‘pelarian’ itu sendiri secara teknikal tidak diiktiraf dalam undang-undang negara; yang ada hanyalah pendatang tanpa izin bagi mereka masuk tanpa dokumen pengenalan dan permit yang sah, ataupun tinggal lebih masa dari tempoh yang dibenarkan. 

Pelarian yang berada di Malaysia termasuk dalam kategori ini. Justeru antara masalah utama yang dihadapi oleh ‘pelarian’ ini ialah isu penguatkuasaan dan hukuman undang-undang, kebajikan,kesihatan, pendidikan kanak-kanak dan pekerjaan. 

Di sebalik kesulitan tersebut, Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pendatang kerana pendirian kerajaan yang membantu atas dasar kemanusiaan dan sikap rakyat kita yang terkenal pemurah dalam membantu mereka yang lebih memerlukan.

Justeru bersempena Hari Pelarian Sedunia tahun ini, ABIM ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menjunjung tinggi kemuliaan insani (karamah insaniah) agar terus membantu pelarian yang tertindas dan berdepan kebuluran, penyeksaan dan kematian di negara mereka sendiri. 

Sesungguhnya nilai kemanusian dan kasih sayang sesama insan - seperti yang dianjurkan oleh seluruh agama-agama besar dunia - merentas batas sempadan kenegaraan, warna kulit, ras dan agama. ABIM menyeru agar nilai-nilai murni kemanusian inilah, dan bukannya kebencian dan diskriminasi yang harus menjadi pertimbangan utama dalam menilai sikap dan pendirian kita terhadap mereka. 

Pada masa yang sama , ABIM menyeru agar kita tidak sama sekali akan berkompromi terhadap sebarang unsur jenayah dan elemen keganasan yang secara cuba menyelusup masuk ke negara ini melalui manupulasi pelarian dan pencari suaka; sebagaimana juga kita tidak akan berkompromi terhadap sindiket penyeludupan manusia serta korupsi dan salah guna kuasa pegawai penguatkuasa yang mengaut keuntungan lumayan atas nama pelarian.

Bahkan sebaliknya, ABIM menyeru agar warga Malaysia membantu pelarian yang berada di negara ini melalui kempen kesedaran terhadap kemelaratan mereka, mendaftarkan diri sebagai sukarelawan dan melalui bantuan kewangan khususnya dalam memenuhi keperluan kesihatan dan pendidikan kanak-kanak dan wanita. 

Semoga sumbangan kecil dari individu, organisasi dan pertubuhan ini akan menjanjikan masa depan yang lebih cerah dan dunia yang lebih aman buat pelarian dan umat manusia seluruhnya. 

Selamat Mengenang Hari Pelarian Sedunia 2014! 

Penulis ialah Naib Presiden ABIM.

- Harakah Daily


Posted on Friday, June 20, 2014 by Unknown