> May 2013 ~ ABIM Negeri Melaka

Sunday, May 19, 2013

Masih ada di kalangan masyarakat Islam yang keliru, tentang kes bagaimana yang boleh atau tidak boleh menggunakan video dan gambar sebagai pembuktian. Sebagai contoh, pertarungan semasa kehangatan menjelang Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) dan setelah ianya berlalu, antara pihak parti pemerintah mahu pun parti pembangkang yang menggunakan video dan gambar sebagai bahan bukti dan perang saraf untuk menyerang antara satu sama lain. Ada yang menggunakan video untuk membuktikan penipuan yang didakwa berlaku dalam PRU13. Tidak kurang juga budaya politik longkang dengan membikin video-video lucah untuk menyerang musuh-musuh politik masing-masing.

Lalu, ada pihak menyatakan video dan gambar tidak boleh dijadikan pembuktian untuk kes zina/liwat sebagai untuk membela diri kerana telah diaibkan dengan sebegitu dahsyat sekali. Itulah antara bentuk budaya politik yang tidak sihat, londeh melondehkan dan aib mengaibkan dengan menyerang peribadi musuh-musuh politik. Lantaran itu, timbullah kekeliruan di kalangan segelintir masyarakat yang tersalah anggap bahawa video dan gambar tidak boleh dijadikan bahan bukti untuk semua jenis kes.

Maka, saya ingin mengemukakan serba sedikit penerangan dan pandangan ringkas saya berdasarkan apa yang telah saya amati. Apa yang jelas, tidak semua kes boleh menggunakan video dan gambar sebagai bahan bukti kes. Tidak semua keadaan membenarkan ianya dijadikan sebagai pembuktian yang selayaknya.

KESAKSIAN TERLARANG

Sebagai contoh, kes zina/liwat tidak dibenarkan oleh syarak menggunakan video dan gambar sebagai bahan bukti. Sesungguhnya, Islam amat melarang membuka aib saudara se-Muslim yang lain, termasuklah mengintip dosa peribadi insan dan melakukan ‘ghibah’ (mengumpat). Dan dosa peribadi seseorang insan, adalah antara dirinya dengan Tuhan. Jika ia melakukan taubat nasuha (menyesal dan berikrar untuk tidak mengulanginya), maka dosa-dosanya akan terhapus. Kerana ALLAH itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun.

Maka, kes zina/liwat hanya boleh dibuktikan dengan mengemukakan 4 orang saksi. Saksi-saksi itu pula mestilah terdiri daripada golongan yang tidak fasik, orang yang tidak fasik sudah tentulah mereka yang tidak mengintip-intip dan membuat rekayasa video atau pun gambar lucah, serta menonton bahan-bahan lucah dan melakukan segala dosa-dosa besar. Jika seseorang qazif (penuduh) itu, gagal mengemukakan 4 orang saksi, ia boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu dengan 80 kali sebatan. Berdasarkan dalil,

"Dan orang-orang yang melimparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah An-Nur: 4)

Dalil di atas adalah umum bagi tertuduh di kalangan lelaki juga. Dan ianya adalah mesej jelas daripada ALLAH SWT bagi mereka yang turut sama mengiyakannya. Seandainya kesaksian seseorang itu ditolak, bermakna ia tidak boleh menjadi wali pernikahan untuk anaknya bagi mereka yang bergelar bapa, atau saudara perempuannya bagi seseorang saudara lelaki, melainkan setelah ia bertaubat. Maka berhati-hatilah dalam membicarakan kes-kes sebegini di kedai-kedai kopi dan di mana-mana sahaja.

Sepatutnya, kes-kes sebegini biarlah undang-undang dan mahkamah yang memutuskannya. Bukannya pihak media dan masyarakat awam yang menjadi hakim serta mendahului undang-undang dan mahkamah, apatah lagi semasa kes sedang dibicarakan. Sebagai Muslim yang benar-benar beriman kepada Al-Quran dan hukum hakam yang telah termaktub di dalamnya, pasti kita yakin dan percaya bahawa pengadilan yang tepat dan terbaik adalah dibicarakan di mahkamah syari'ah bagi kes-kes yang melibatkan orang Muslim sendiri.

Namun, sekali pun ianya benar, ia menjadi ghibah (mengumpat) dengan menyebarkan keaiban sesama Muslim. Sesungguhnya, ghibah itu ibarat memakan daging saudara sendiri. Firman ALLAH SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah Al-Hujuraat: 12)

Jika tidak benar pula, maka ia akan menjadi fitnah yang dusta semata-mata. Fitnah boleh mengakibatkan negara huru hara dan kacau bilau. Kecuali yang dibenarkan, adalah menyebarkan kesalahan-kesalahan golongan tertentu berkaitan kepentingan ramai pihak (bukan berkaitan peribadi), yang berkaitan kepentingan rakyat, harta rakyat dan sebagainya.

Maka, perlulah faham dan tahu bezakan, situasi dan kes bagaimana yang boleh menggunakan video dan gambar sebagai pembuktian

MENJAWAB PERSOALAN BERKAITAN

1. Ada teman-teman yang bertanya kepada saya, “Bagaimana pula jika seseorang suami memasang CCTV di dalam bilik di rumahnya. Tiba-tiba, ada terakam video isterinya sedang melakukan perbuatan zina yang terkutuk? Namun, tiada 4 orang saksi yang menyaksikannya?” Maka jawapannya, ia boleh membuat sumpah 'lian’, berdasarkan dalil,

"Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar." (Surah An-Nur: 6-9)

Manakala, untuk tuduhan zina kepada mereka yang selain suami/isteri, maka tetap kena mengemukakan 4 orang saksi.

2. Kemudian timbullah persoalan, apakah sebabnya Islam melarang menggunakan video dan gambar sebagai bahan bukti untuk kes zina/liwat?

2.1. Kerana, ianya termasuk dalam kategori mengintip-intip dosa peribadi insan. Dan ianya adalah sebuah isyarat jelas yang membuktikan, bahawa semenjak 1400 tahun lalu lagi ALLAH SWT sudah tahu akan wujudnya video dan gambar, maka Ia tahu bahawa video boleh disunting, boleh direka-reka dan boleh dimanipulasi. Ternyata, bahawa ALLAH itu Maha Mengetahui, dan jelaslah bahawa hukum hakam Islam itu adalah futuristik, sentiasa relevan, tidak ketinggalan zaman dan sesuai untuk semua zaman.

2.2. Kerana, Islam melarang menyebarkan keaiban sesama Muslim. Islam memelihara keaiban pihak yang menuduh dan yang dituduh. Sebab itu sebaik-baiknya kes-kes sebegini hanya dibicarakan di mahkamah secara tertutup (tanpa dihebahkan di media-media). Sabda Nabi SAW,
"Sesiapa yang menutup keaiban Muslim yang lain, maka ALLAH akan menutup keaibannya di akhirat kelak." (Riwayat Muslim)

Oleh itu, tatkala timbul kes-kes sebegini, kita sebagai masyarakat awam adalah lebih baik memilih jalan yang paling selamat dengan berlepas diri dari mengiyakan mahu pun was-was dengan mempersoalkan benar atau tidak ianya berlaku. Kerana dikhuatiri, kita akan termasuk dalam golongan yang fasik. Sabda Nabi SAW,

“Tinggalkanlah apa yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau.” (Hadis Hasan sahih riwayat At-Tirmizi dan An-Nasaai)
 

Walau bagaimana pun, saya hanya memberikan penerangan dan penjelasan secara ringkas sahaja. Untuk mendapatkan jawapan yang lebih konkrit dan terperinci, bolehlah mendapat buku ‘Qazaf’, terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sekian,

Wallahu’alam.

DISEDIAKAN OLEH: Adli Abdullah - Exco Penerangan ABIM Melaka


 

Posted on Sunday, May 19, 2013 by Unknown

Saturday, May 18, 2013

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين

صلى الله على محمد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 



Tatkala melihat ragam dan gelagat insan, ianya boleh menjadi iktibar dalam kehidupan. Ada yang melakukan kebaikan kerana Tuhan, ada juga yang melakukan kebaikan kerana insan. Ada yang mengejar dunia hingga lupa suruhan Tuhan, ada yang mengejar akhirat kerana taat akan perintah Tuhan. Lalu, muncullah persoalan tentang niat? Segala amalan bermula daripada niat, dan setiap insan beroleh apa yang diniat. Sabda Nabi SAW,
 

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)



Dalam soal perasaan pun ada insan boleh tersasar niat dan tujuan. Misalnya, ada jenis lelaki, apabila dia meminati seseorang gadis dan berhasrat untuk menjadikannya isteri, dia akan menghadiahkannya macam-macam perkara dan material untuk memikat hati dan meluahkan rasa cinta. Dihadiahkan iPad, iPod, iPhone, Galaxy. Note dan segala bagai kebendaan dan material. Namun, setelah cintanya tidak berbalas dan peminangannya ditolak bulat-bulat, maka dimaki, dikeji, dicaci dan dihamburkan segala kata nista ke atas si gadis itu semata-mata kerana kecewa dan patah hati. Dari situ boleh dinilai keikhlasan niat dan tujuannya.



Begitulah juga, tatkala ada pemimpin yang menabur wang dan pelbagai material bernilai berbillion-billion ringgit demi memikat hati rakyat jelata terutamanya semasa menjelang pilihanraya hanya atas dasar meraih undi. Bukan atas dasar tanggungjawabnya sebagai khadam kepada rakyat. Tiba pada akhirnya, ada di kalangan rakyat tidak memilih dan mengundinya, maka dibuatnya pelbagai andaian dan kesimpulan yang pelik-pelik dan tidak masuk akal. Kemarahan dilemparkan dengan pelbagai kata-kata kecaman ke atas rakyat semata-mata kerana kecewa dan merajuk hati. Walhal, segala wang yang ditabur itu adalah sumber daripada wang pembayar cukai, atau dengan erti kata mudah wang rakyat.



Oleh itu, menurut konteks negara demokrasi, adalah tidak wajar apabila ada segelintir pemimpin memarahi rakyat kerana tidak memilih dan mengundinya setelah ditabur wang dan pelbagai bantuan. Seolah-olah mereka menafikan hak rakyat untuk memilih dan mengundi wakil rakyat yang dirasakan layak berbakti untuk rakyat.



Setiap pemimpin politik haruslah meluruskan dan sentiasa memperbaharui niat mereka dalam berbakti untuk rakyat, terutamanya golongan marhaen dan mustad’afin. Sesungguhnya, hamba Tuhan yang ikhlas dan sejati, berbakti dan berbudi hanyalah kerana mengharap balasan semata-mata dari Tuhan, bukanlah mengharap balasan dari insan.



Ianya juga adalah suatu petunjuk jelas, bahawasanya wang ringgit dan material tidak boleh membeli segala-galanya, termasuklah jantung hati insan yang benar-benar bermaruah dan faham hak mereka menurut sistem negara demokrasi untuk memilih sesiapa sahaja wakil rakyat yang dikehendaki. Namun, hanya kejujuran, ketulusan dan keikhlasan hati sahaja yang mampu memikat hati-hati insan di muka bumi dengan izin Tuhan.



Sekian,



Wallahu’alam.



Adli Abdullah

Exco Penerangan ABIM Melaka

18hb Mei 2013

Posted on Saturday, May 18, 2013 by Unknown

Monday, May 13, 2013


Melihat kepada penyebaran maklumat-maklumat yang boleh mencetuskan ketegangan kaum yang semakin berleluasa di media-media sosial, ABIM Melaka merasa bertanggungjawab untuk menyeru masyarakat agar berhati-hati dan tidak terima bulat-bulat. Segala yang beredar di media-media sosial dan arus perdana, boleh jadi benar boleh jadi salah. Sebagai masyarakat madani yang bijaksana, haruslah kritis dalam menilai sebarang maklumat yang tersebar luas di media-media. Firman ALLAH SWT,

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik yang membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Surah Al-Hujurat: 6)

Di zaman penyebaran maklumat yang terlalu pantas ini, perlulah berhati-hati dan menilai segala maklumat secara adil tanpa bias. Kami memberi sebuah contoh, sebagaimana timbulnya dakwaan bahawa wujudnya faktor kaum Cina bersatu padu hanya untuk undi DAP. Namun, dakwaan tersebut adalah benar-benar tidak berasas. Adalah tidak benar berlakunya seperti dakwaan tersebut pada PRU 13. 

Sedangkan, di kawasan majoriti Cina, Cina undi calon Melayu. Manakala di kawasan majoriti Melayu, Melayu undi calon Cina. Kemudian telah terbukti ada calon Melayu yang menang di kawasan majoriti Cina. Dan terbukti ada calon Cina yang menang di kawasan majoriti Melayu. Bermakna seluruh masyarakat majmuk di Malaysia, Melayu, Cina, India dan lain-lain menolak sifat perkauman dengan memilih parti berdasarkan manifesto yang mana dirasakan terbaik dengan tidak mengundi berdasarkan sentimen, bangsa, kaum dan agama semata-mata.

Itu adalah salah satu bukti, bahawa segala maklumat yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum ini, perlu diselidiki dan dikaji kesahihannya terlebih dahulu. Kerana sifat perkauman tidak seharusnya dijadikan budaya politik yang membarah dalam masyarakat.

Walau bagaimana pun, Islam tidak melarang untuk berbangga-bangga dan menyayangi bangsa sendiri. Namun ia melarang sifat perkauman, hingga menganggap bangsa sendiri lebih mulia daripada bangsa-bangsa lain, sepertimana bangsa Yahudi yang merasakan bangsa mereka adalah ‘the choosen people’ dan bangsa lain sebagai ‘goyim’ (lembu). Sedangkan Islam tidak mengajar bahawa setiap insan itu mulia kerana bangsa, darjat dan darah keturunan. Setiap insan itu boleh menjadi mulia hanya dengan iman dan taqwa. Firman ALLAH SWT,

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al-Hujurat: 13)

Kerana Islam adalah rahmat untuk sekalian alam, dan Islam adalah agama yang merentasi semua bangsa dan warna kulit. Hanyalah nikmat Islam yang boleh menyatu padukan insan-insan di muka bumi ini di atas kalimah tauhid.

Oleh itu, setiap kali membaca/menerima sebarang maklumat di media-media sosial dan arus perdana, pastikan kesahihannya terlebih dahulu sebelum menyebarkannya agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

ABIM Melaka



Posted on Monday, May 13, 2013 by Unknown