بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين

صلى الله على محمد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 



Tatkala melihat ragam dan gelagat insan, ianya boleh menjadi iktibar dalam kehidupan. Ada yang melakukan kebaikan kerana Tuhan, ada juga yang melakukan kebaikan kerana insan. Ada yang mengejar dunia hingga lupa suruhan Tuhan, ada yang mengejar akhirat kerana taat akan perintah Tuhan. Lalu, muncullah persoalan tentang niat? Segala amalan bermula daripada niat, dan setiap insan beroleh apa yang diniat. Sabda Nabi SAW,
 

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)



Dalam soal perasaan pun ada insan boleh tersasar niat dan tujuan. Misalnya, ada jenis lelaki, apabila dia meminati seseorang gadis dan berhasrat untuk menjadikannya isteri, dia akan menghadiahkannya macam-macam perkara dan material untuk memikat hati dan meluahkan rasa cinta. Dihadiahkan iPad, iPod, iPhone, Galaxy. Note dan segala bagai kebendaan dan material. Namun, setelah cintanya tidak berbalas dan peminangannya ditolak bulat-bulat, maka dimaki, dikeji, dicaci dan dihamburkan segala kata nista ke atas si gadis itu semata-mata kerana kecewa dan patah hati. Dari situ boleh dinilai keikhlasan niat dan tujuannya.



Begitulah juga, tatkala ada pemimpin yang menabur wang dan pelbagai material bernilai berbillion-billion ringgit demi memikat hati rakyat jelata terutamanya semasa menjelang pilihanraya hanya atas dasar meraih undi. Bukan atas dasar tanggungjawabnya sebagai khadam kepada rakyat. Tiba pada akhirnya, ada di kalangan rakyat tidak memilih dan mengundinya, maka dibuatnya pelbagai andaian dan kesimpulan yang pelik-pelik dan tidak masuk akal. Kemarahan dilemparkan dengan pelbagai kata-kata kecaman ke atas rakyat semata-mata kerana kecewa dan merajuk hati. Walhal, segala wang yang ditabur itu adalah sumber daripada wang pembayar cukai, atau dengan erti kata mudah wang rakyat.



Oleh itu, menurut konteks negara demokrasi, adalah tidak wajar apabila ada segelintir pemimpin memarahi rakyat kerana tidak memilih dan mengundinya setelah ditabur wang dan pelbagai bantuan. Seolah-olah mereka menafikan hak rakyat untuk memilih dan mengundi wakil rakyat yang dirasakan layak berbakti untuk rakyat.



Setiap pemimpin politik haruslah meluruskan dan sentiasa memperbaharui niat mereka dalam berbakti untuk rakyat, terutamanya golongan marhaen dan mustad’afin. Sesungguhnya, hamba Tuhan yang ikhlas dan sejati, berbakti dan berbudi hanyalah kerana mengharap balasan semata-mata dari Tuhan, bukanlah mengharap balasan dari insan.



Ianya juga adalah suatu petunjuk jelas, bahawasanya wang ringgit dan material tidak boleh membeli segala-galanya, termasuklah jantung hati insan yang benar-benar bermaruah dan faham hak mereka menurut sistem negara demokrasi untuk memilih sesiapa sahaja wakil rakyat yang dikehendaki. Namun, hanya kejujuran, ketulusan dan keikhlasan hati sahaja yang mampu memikat hati-hati insan di muka bumi dengan izin Tuhan.



Sekian,



Wallahu’alam.



Adli Abdullah

Exco Penerangan ABIM Melaka

18hb Mei 2013