Melihat kepada penyebaran maklumat-maklumat yang boleh mencetuskan ketegangan kaum yang semakin berleluasa di media-media sosial, ABIM Melaka merasa bertanggungjawab untuk menyeru masyarakat agar berhati-hati dan tidak terima bulat-bulat. Segala yang beredar di media-media sosial dan arus perdana, boleh jadi benar boleh jadi salah. Sebagai masyarakat madani yang bijaksana, haruslah kritis dalam menilai sebarang maklumat yang tersebar luas di media-media. Firman ALLAH SWT,

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik yang membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Surah Al-Hujurat: 6)

Di zaman penyebaran maklumat yang terlalu pantas ini, perlulah berhati-hati dan menilai segala maklumat secara adil tanpa bias. Kami memberi sebuah contoh, sebagaimana timbulnya dakwaan bahawa wujudnya faktor kaum Cina bersatu padu hanya untuk undi DAP. Namun, dakwaan tersebut adalah benar-benar tidak berasas. Adalah tidak benar berlakunya seperti dakwaan tersebut pada PRU 13. 

Sedangkan, di kawasan majoriti Cina, Cina undi calon Melayu. Manakala di kawasan majoriti Melayu, Melayu undi calon Cina. Kemudian telah terbukti ada calon Melayu yang menang di kawasan majoriti Cina. Dan terbukti ada calon Cina yang menang di kawasan majoriti Melayu. Bermakna seluruh masyarakat majmuk di Malaysia, Melayu, Cina, India dan lain-lain menolak sifat perkauman dengan memilih parti berdasarkan manifesto yang mana dirasakan terbaik dengan tidak mengundi berdasarkan sentimen, bangsa, kaum dan agama semata-mata.

Itu adalah salah satu bukti, bahawa segala maklumat yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum ini, perlu diselidiki dan dikaji kesahihannya terlebih dahulu. Kerana sifat perkauman tidak seharusnya dijadikan budaya politik yang membarah dalam masyarakat.

Walau bagaimana pun, Islam tidak melarang untuk berbangga-bangga dan menyayangi bangsa sendiri. Namun ia melarang sifat perkauman, hingga menganggap bangsa sendiri lebih mulia daripada bangsa-bangsa lain, sepertimana bangsa Yahudi yang merasakan bangsa mereka adalah ‘the choosen people’ dan bangsa lain sebagai ‘goyim’ (lembu). Sedangkan Islam tidak mengajar bahawa setiap insan itu mulia kerana bangsa, darjat dan darah keturunan. Setiap insan itu boleh menjadi mulia hanya dengan iman dan taqwa. Firman ALLAH SWT,

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al-Hujurat: 13)

Kerana Islam adalah rahmat untuk sekalian alam, dan Islam adalah agama yang merentasi semua bangsa dan warna kulit. Hanyalah nikmat Islam yang boleh menyatu padukan insan-insan di muka bumi ini di atas kalimah tauhid.

Oleh itu, setiap kali membaca/menerima sebarang maklumat di media-media sosial dan arus perdana, pastikan kesahihannya terlebih dahulu sebelum menyebarkannya agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

ABIM Melaka