> July 2013 ~ ABIM Negeri Melaka

Tuesday, July 23, 2013

13 Julai 2013:- Genap setahun Mohamad Morsi dilantik, rakyat Mesir sekali lagi berhimpun di Dataran Tahrir. 30 Jun 2013 bukan himpunan ulang tahun perlantikan tetapi perhimpunan bagi menuntut perletakan jawatan Presiden Mesir itu. Mohamad Morsi mencatat sejarah apabila menjadi Presiden Mesir yang pertama diangkat menerusi sistem demokrasi berpilihanraya dalam tempoh 30 tahun sejarah Mesir moden. Beliau juga merupakan tokoh gerakan Islam paling berpengaruh di Mesir iaitu Ikhwan al-Muslimun.
Apabila beliau digulingkan pelbagai reaksi terjelma. Tambahan pula presiden Mesir sebelum itu Hosni Mubarak merupakan seorang Jenderal Tentera Mesir yang cukup rapat dan disenangi oleh Amerika dan sekutunya Israel. Kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung, apatah lagi disokong ulama tersohor dunia Profesor Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi. Tiada orang menyangka seorang diktator yang telah memerintah selama 30 tahun mampu ditumbangkan dengan perhimpunan rakyat selama kira-kira 10 hari.
Namun semua ini tidak menarik perhatian Profesor Tariq Ramadhan, cucu kepada pengasas Ikhwan al-Muslimun, al-Syahid Hasan al-Banna. Beliau dari awal mengkritik kebangkitan rakyat Mesir dengan menyatakan bahawa kebangkitan ini merupakan kebangkitan yang kosong kerana rakyat Mesir masih asing dan belum benar-benar memahami erti sebuah perubahan.
Beliau menyatakan dengan tegas dalam tulisan terkini di laman sesawangnya, tentang beberapa kecacatan dalam perubahan yang diusahakan oleh rakyat Mesir pasca Hosni Mubarak. Antaranya adalah mempercayai tentera Mesir benar-benar tidak terlibat lagi dengan politik negara. Pada pandangan beliau, kejatuhan Hosni Mubarak membentuk satu laluan bagi generasi baru kepimpinan tentera untuk terlibat dalam ehwal pentadbiran negara bertopengkan kerajaan rakyat. Beliau menyatakan, ‘I noted an Army high command declaration that the presidential election was temporary, for a six-month to one year period”. Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Amerika sebenarnya tidak berminat dengan kerajaan Morsi walaupun diangkat menerusi demokrasi, tetapi lebih berminat untuk menjalinkan hubungan dengan tentera Mesir. Lakonan pihak tentera ini diperindahkan lagi atas nama rakyat apabila mendapat kerjasama dari pembangkang lalu diwar-warkan sebagai kehendak rakyat.
Perkara ini tidak sukar untuk difahami kerana Amerika yang sentiasa menjadi budak suruhan Zionis berasa terancam dengan kemenangan Morsi. Tambahan pula rakyat Palestin terutamanya di Gaza mendapat nafas baru dan semakin bersemangat untuk menentang kezaliman Zionis dengan terlantiknya Morsi.
Perkara yang lebih penting pada pandangan Tariq Ramadhan adalah kemampuan dan kebolehan pimpinan Ikhwan al-Muslimun memahami keadaan dan situasi semasa. Beliau masih berpandangan bahawa penglibatan Ikhwan al-Muslimun dalam pemerintahan atau lebih tepat lagi pilihanraya merupakan satu perangkap. Ia dapat dilihat apabila berlaku penolakan terhadap semua usaha Morsi untuk menjalinkan hubungan yang lebih akrab dengan pembangkang. Dia ditentang dari segenap penjuru dan terus terjerumus apabila membuat kesilapan demi kesilapan sehingga membangkitkan kemarahan rakyat awam terhadap pemerintahannya. Akhirnya dia dilihat tidak berbuat apa-apa untuk membantu rakyat Mesir. Ini ditambah apabila beliau berhadapan dengan kesukaran untuk mendapat bantuan dari luar bagi membangunkan ekonomi Mesir.
Tingkah laku yang amat mencolok mata lebih jelas apabila IMF yang selama ini mengenakan pelbagai syarat yang mungkin tidak terpenuh oleh kerajaan Morsi di Mesir, kini mempertimbang untuk menghapuskan syarat tersebut bagi membangunkan ekonomi Mesir.
Jelas disini permainan yang licik dimainkan oleh Amerika. Walaupun pada mulanya dilihat sebagai enggan mengiktiraf rampasan kuasa tetapi bermain kayu tiga dengan menyokong dilakukan pilihanraya bagi memilih presiden yang baru. Rakyat Mesir sekali lagi tertipu dengan janji manis Presiden Obama ketika berucap di Universiti al-Azhar yang menyatakan keperluan untuk membuka lembaran baru hubungan antara Islam dan Barat.
Pada pandangan penulis gerakan Islam perlu menilai kembali penglibatan dalam demokrasi ala barat yang ditaja Amerika Syarikat. Demokrasi sebegini jelas mempunyai kecenderungan untuk menaikkan individu yang berselera Barat walau setruk mana pun moral dan akhlaknya.
Kini kita sedang menanti sejauh mana kesabaran rakyat Mesir untuk berhadapan dengan provokasi tentera yang membunuh sewenang-wenangnya. Kerana kesabaran ini bakal mengelakkan terjerumusnya Mesir ke dalam kancah perang saudara kerana jika ia berlaku, maka Israel akan lena dalam dakapan Bashar dan mimpi ngeri Morsi.
AMIDI BIN ABDUL MANAN
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia

Posted on Tuesday, July 23, 2013 by ABIM Melaka


Timbul persoalan mengapa Ramadhan amat penting sebagai institusi mendidik diri. Jawapannya sudah pastilah kerana ianya arahan Allah kepada hambanya agar dapat membina kekuatan jiwa dan iman melalui proses pentaqwaan diri. Kenapa pula Ramadhan dipilih sebagai institusi latihan dan ujian? Ini berkemungkinan amat berkait rapat dengan hadith Nabi Sallallahualaihiwasallam yang menyebut bahawa apabila Ramadhan menjelang tiba maka pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Al-Bukhari dan Muslim).

Bertepatan dengan makna Ramadhan yang bermaksud panas iaitu bulan menghanguskan dosa, Allah telah memberikan peluang kepada umat Islam untuk beramal dan beribadah tanpa gangguan hasutan syaitan. Segala kelakuan dan perbuatan di bulan Ramadhan menjadi cermin sebenar tatkala syaitan dirantai daripada menghasut dan membisik. Allah telah memberikan peluang yang sangat tinggi nilainya ini untuk umat Islam membentuk dan membina syahsiah diri dengan hanya perlu berhadapan dengan hawa nafsu tanpa dipengaruhi oleh bisikan syaitan.

Taqwa Sebagai Objektif Ramadhan
 
Tidak dapat dinafikan pelbagai hikmah Ramadhan dan puasa yang dapat dibuktikan melalui kajian saintifik sehinggakan terdapat di Amerika, ‘Fasting Centre International Incorporation’ sebuah institusi yang mempromosikan puasa sebagai cara untuk mencegah dan memulihkan penyakit. Namun begitu, kelebihan berpuasa sama ada dari sudut kesihatan mahupun dari aspek yang lain bukanlah merupakan matlamat utama Ramadhan. Objektif utama Ramadhan dirakamkan oleh Allah dengan jelas di dalam al Quran iaitu untuk mencapai darjah ketaqwaan.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Al-Baqarah: 183)

Melalui ayat di atas tersangatlah jelas bahawa melalui kalimah ‘la’alla’ itu yang bermaksud, ‘agar’ atau ‘semoga’ atau ‘mudah-mudahan’ menunjukkan matlamat sebenar puasa Ramadhan iaitu tidak lain dan tidak bukan mencapai makam taqwa. Kelebihan taqwa ini dinukilkan Allah di dalam surah al A’raf ayat 26 yang bermaksud “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian Taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”.

Sekiranya dirujuk kembali, pengertian taqwa bukan sahaja bererti takut namun ianya juga membawa maksud yang lebih luas. Ibn Kathir menyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini. Imam Ibn Kathir menerangkan Taqwa di dalam tafsirnya dengan merujuk kisah dialog Umar al Khattab dan Ubay bin Kaab. Dalam kisah ini Ubay memberikan analogi Taqwa dengan perumpamaan orang melalui jalan berduri di mana sudah pastinya seseorang itu berhati-hati bagi mengelakkan terpijak duri.

Bagi merumuskan makna taqwa, kata-kata daripada Ali Bin Abi Talib sangat relevan untuk dirujuk. Beliau merumuskan ciri taqwa itu kepada empat iaitu takut kepada azab dan murka Allah, yakin dengan al Quran, redha dengan sedikit nikmat dan sedia menghadapi hari kematian. Keempat-empat ciri inilah yang menjadikan seorang yang bertaqwa itu mempunyai peribadi unggul dan jiwa yang merdeka.

Di samping memahami taqwa sebagai matlamat Ramadhan, ianya juga membuktikan keadilan Allah. Sesungguhnya Allah menilai seseorang itu melalui kaca mata taqwa dan bukan dari kualiti yang lain. Taqwa itu boleh dicapai oleh sesiapa sahaja sama ada individu itu kaya, miskin, gemuk, kurus, cantik, kurang upaya, ternama dan sebagainya. Melalui penilaian taqwa ini Allah jelas menunjukkan keadilannya di mana semua manusi berpotensi untuk mencapai makam taqwa dan seterusnya mendapat kasih dan rahmat Allah.

Taqwa Sebagai Asas Penghayatan Ramadhan

Ketaqwaan merupakan satu bentuk penghambaan diri hanya kepada Allah iaitu membebaskan diri secara total dari perhambaan dengan manusia. Dalam konteks Malaysia, walaupun tidak dinafikan negara telah mencapai kemajuan namun begitu, masih terdapat banyak permasalahan dan krisis sosial yang berlaku pada umat Islam. Berdasarkan fakta yang tersebut di atas, jelas menunjukkan umat Islam di Malaysia masih lagi dibelenggu masalah sosial, ekonomi dan lain-lain. Permasalahan penagihan dadah, jenayah, kemiskinan, pendidikan dan sebagainya masih menghantui dan membelenggu umat Islam. Penulis berpandangan di antara punca permasalahan ini ialah kerana kegagalan menghayati ruh Ramadhan dan juga umat Islam menghadapi krisis taqwa. Sekiranya taqwa itu dijadikan sebagai dasar pembangunan diri, bangsa dan negara sudah pasti umat Islam akan kembali dihormati dan mendapat kedudukan yang sewajarnya.

Islah Al Nafs ’Reformasi Diri’ Ke arah Ketaqwaan?

Secara umumnya amalan umat Islam dalam bulan Ramadhan selama ini tidak akan berjaya merealisasikan aspirasi untuk mencapai darjah ketaqwaan. Amalan Ramadhan umat Islam hari ini adalah tidak sama dengan amalan para salaf al-salih. Dahulu, para sahabat Rasulullah menanti-nantikan dan merindui Ramadhan. Mereka bergembira menghidupkan Ramadhan dengan tarawih, tadarus, tahajud, qiyamullail dan sebagainya. Laungan selawat dan tasbih menguasai suasana. Amalan bersedekah menjadi lumrah dan kebajikan golongan tidak berkemampuan diambil berat dan dibela. Di kala Ramadhan meninggalkan mereka, para sahabat menangis dan bersedih kerana takut tidak ketemu lagi Ramadhan yang mulia. Alangkah indahnya suasana Ramadhan ketika itu.

Kini, syawal lebih dinantikan berbanding Ramadhan. Suasana Ramadhan hanya meriah tatkala di permulaannya. Masjid dan surau hanya penuh di awal Ramadhan dan hampir lengang diakhirnya. Di sepanjang jalan kelihatan bazaar Ramadhan yang dihadiri ribuan umat Islam membeli juadah berbuka walaupun waktu Maghrib hampir menjelang tiba. Lagu-lagu raya dimainkan di mana-mana tatkala selawat dan salam lebih utama. Paling menyedihkan jumlah kehilangan nyawa akibat kemalangan jalanraya terus berleluasa dan tidak kurang angka statistiknya.

Setelah melihat kepada situasi dan amalan Ramadhan umat Islam pada hari ini secara umumnya, dapatlah disimpulkan bahawa Ramadhan yang disambut setiap tahun itu tidak akan dapat mengubah diri, masyarakat negara dan umat. Ini memandangkan amalan Ramadhan itu tidak dimanifestasikan dengan matlamat ketaqwaan. Di dalam berbicara mengenai matlamat ketaqwaan, persoalan yang besar diajukan ialah bagaimana atau apakah formula untuk mencapai darjat ketaqwaan.
 

Umat Islam pada hari ini perlu melakukan transformasi diri atau dalam erti kata lain melaksanakan proses ’Islah al Nafs’ atau reformasi diri. Sepertimana perkara yang lain, usaha untuk mencapai taqwa perlu melalui proses ’reformasi diri’. ’Islah al Nafs’ ini perlu dilaksanakan satu persatu secara konsisten, ikhlas dan itqan. Penulis membahagikan proses mencapai makam ketaqwaan ini kepada empat fasa seperti berikut: -

(a) Berilmu

Ketaqwaan tidak akan dapat dicapai melainkan dengan ilmu. Hanya dengan ilmu yang sahih dapat memberi petunjuk kepada kita mengenai cara dan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Hanya dengan ilmu yang benar bersumberkan nas-nas yang sahih akan memastikan amalan yang dilakukan diterima Allah. Amalan dan ibadah yang bertentangan dengan amalan Rasulullah dan berunsurkan bidaah dhalalah bukan sahaja tidak diterima oleh Allah bahkan ianya boleh menjadi faktor kemurkaan Allah.

(b) Beramal

Taqwa itu sangat berkait rapat dengan amalan. Tanpa amalan walaupun berilmu tidak akan dapat membuatkan seseorang mencapai darjat ketaqwaan. Begitu juga amalan yang dibuat sambil lewa juga tidak mendapat perhatian daripada Allah. Amalan Ramadhan Rasulullah sesungguhnya perlu dijadikan panduan dan rujukan dalam segenap aspek. Dalam hal ini setiap amalan itu juga perlu mempunyai ciri-ciri Itqan, Istiqamah dan Ikhlas.

(i) Itqan: Rasulullah bersabda: Allah mengasihi seorang hamba kalau ia melakukan sesuatupekerjaan ia melakukannya dengan sempurna (Al-Tabarani).
(ii) Istiqamah: Dan sesungguhnya amal yang paling dicintai Allah adalah yang terus menerus meskipun sedikit.(Muttafaq ‘alaih)
(iii) Ikhlas: Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar Al Khattab, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang dikehendakinya atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan (Bukhari dan Muslim).

(c) Berdoa dan Bertawakkal
 
Berdoa merupakan senjata orang mukmin. Sebagai hamba kepada Allah, amalan berdoa dengan sepenuh hati tanpa jemu akan menjadikan diri merasa sangat kecil di hadapan Allah. Doa ini pula mesti diikuti dengan tawakkal iaitu konsep berserah pada ketentuan Allah. Konsep doa dan tawakkal ini yang akan menambahkan ciri ketaqwaan kepada Allah di mana ianya memperlihatkan peranan kita sebagai hamba Allah yang menyerahkan sepenuh jiwa raga kepadaNya.

(d) Syukur dan Redha
Setelah melalui ketiga-tiga fasa di atas, setiap individu yang ingin mencapai darjat ketaqwaan perlu memenuhi ciri-ciri fasa terakhir iaitu syukur dengan nikmat dan anugerah Allah dan redha dengan apa sahaja ujian, pemberian dan penentuan Allah. Konsep syukur dan redha ini merupakan natijah dari ilmu, amal, doa dan tawakkal. Melalui institusi Ramadhan yang menguji keimanan melalui pembentukan jiwa menerusi amalan ibadah yang disyariatkan akan dapat mendidik diri ke arah pembinaan insan yang bertaqwa.

Kesimpulan

Ruh dan intipati Ramadhan perlu diberi penghayatan dan diterjemahkan ke dalam hidup umat Islam sepertimana hidupnya Ramadhan sewaktu zaman Rasulullah. Penghayatan Ramadhan melalui penterjemahan ruh dan intipatinya merupakan pencetus kepada matlamat ketaqwaan. Makam Taqwa itu pula penentu kepada harga diri kita di mata Allah. Hanya dengan pakaian taqwa kita akan mendapat rahmat dan berkat Allah serta mempunyai harga di mata Allah. Apabila kita mendapat rahmat Allah ini, maka dengan itu jugalah segala usaha ke arah pembangunan diri, negara, bangsa dan umat akan mendapat keberkatan dan tidak akan menjadi sia-sia.
 

Sesuai dengan sambutan Ramadhan tahun ini, marilah kita jadikan Ramadhan sebagai titik tolak dan asas pengukuhan Taqwa demi kesejahteraan umat Islam. Hayatilah roh Ramadhan al-Mubarak hanya untuk mendapat keredhaan Allah dan hidupkanlah semarak semangat kemerdekaan melalui penghayatan Ramadhan serta jadikan taqwa sebagai dasar pembangunan ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.
 

Artikel disediakan oleh Dr Zulkifli Hasan 
(Exco Shariah & Kewangan Islam Angkatan Belia Islam Malaysia)

Posted on Tuesday, July 23, 2013 by ABIM Melaka

Friday, July 5, 2013


Oleh: Ahmad Azam Abdul Rahman (Presiden ABIM, 1997-2005)

Pengajaran Pertama: Perjuangan Islam Menuntut Pengorbanan. Memang menjadi Sunnatullah, perjuangan untuk menegakkan Islam sebagai dasar kehidupan bernegara bakal menghadapi fitnah dan mehnah. Perjuangan ini menuntut pengorbanan yang sangat tinggi, hatta nyawa sekalipun. Youssef Nada telah menceritakan sebahagian dari pengorbanan dan pahit getir perjuangan yang dilalui oleh pendukung Ikhwan Muslimin. Sejak Ikhwan Muslimin ditubuhkan pada tahun 1928 oleh Al-Syahid Imam Hassan al-Banna, sebagai reaksi kepada keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah Turki pada 1924 dan era Penjajahan Barat terhadap Dunia Islam, perjuangan Ikhwan Muslimin tidak pernah ‘disambut dengan permaidani merah’. Ikhwan Muslimin merupakan gerakan kerakyatan yang sangat berpengaruh dalam menuntut kemerdekaan dari Penjajah British. 


Atas nasihat Penjajah British, kerajaan boneka pimpinan Perdana Menteri Mahmoud Fahmy Nokrashy Pasha telah mengharamkan Ikhwan Muslimin pada November 1948. 20 hari kemudiannya beliau mati dibunuh dan Ikhwan dituduh menjadi dalangnya. Sebagai tindak balas terhadap pembunuhan tersebut, pada 12 Februari 1949, Hassan al-Banna mati syahid ditembak oleh agen Kerajaan Mesir ketika itu yang sebenarnya sebagai langkah untuk mengekang pengaruh Ikhwan dari berkembang dan menggugat kerajaan. Kemudian akibat daripada kononnya percubaan untuk membunuh Presiden Gamal Abdel Nasser pada pada 26 Oktober 1954, lebih daripada 300,000 ahli Ikhwan telah ditangkap. Youssef Nada turut ditahan dan dipenjarakan selama 2 tahun. Ketika itu beliau baru berumur 23 tahun. Ramai tokoh Ikhwan dipenjarakan bersamanya termasuklah Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Muhammad al-Ghazali dan Sayyid Qutub (yang kemudiannya mati syahid di tali gantung). Malah hampir kesemua pemimpin Ikhwan Muslimin termasuk Presiden Morsi pernah dipenjarakan. Berkat pengorbanan mereka maka Ikhwan Muslimin akhirnya ditakdirkan menjadi peneraju utama pemerintahan Mesir pada hari ini.
 

As-Syahid Imam Hassan al-Banna telah mengungkapkan hal pengorbanan dengan ungkapan yang sangat cantik dan makna yang mendalam, “Kehancuran dalam membela kebenaran bererti keabadian yang hakiki. Tidak ada dakwah tanpa jihad dan tidak ada jihad tanpa pengorbanan”
 

Pengajaran Kedua: Berhati-hati Dengan Golongan Opportunis Dalam Gerakan. Golongan Opportunis ialah golongan yang pura-pura berjuang di dalam gerakan, tetapi sebenarnya mereka hanya mementingkan diri sendiri. Golongan seperti ini memang wujud dalam mana-mana perjuangan Islam. Mereka pandai mencium peluang ketika berada dalam gerakan, dan sering memanfaatkan peluang tersebut untuk kepentingan peribadi. Mereka akan mendiamkan diri atau menjauhkan diri dari gerakan ketika risiko mendatang. Malah dalam keadaan tertentu, samada kerana untuk mengejar kuasa atau membalas dendam atau memburu cita-cita peribadi, mereka sanggup menjadi musuh utama atau menjadi talibarut untuk menghancurkan gerakan. Dalam hal ini, Ikhwan Muslimin tidak terkecuali. 

Ketika gerakan menentang penjajah Inggeris sedang memuncak, Gamal Abdel Nasser dianggap sebagai ahli Ikhwan yang setia dan boleh dipercayai. Gamal Abdel Nasser telah menyertai Free Officers Movementyang diketuai oleh seorang ahli Ikhwan, Mahmoud Labib. Beliau menggantikan Labib apabila dia meninggal dunia. Free Officers Movement yang baru diketuainya telah meminta dokongan Ikhwan Muslimin dengan berjanji bahawa beliau akan menjadikan Ikhwan sebagai rakan di dalam pembinaan negara Mesir baru yang merdeka. Namun sebaik saja beliau berkuasa, Ikhwan Muslimin menjadi musuh utamanya yang mengakibatkan penangkapan ratusan ribu ahlinya serta ramai dari mereka yang mati akibat siksaan tidak berperikemanusiaan di dalam penjara.

Suatu hal yang menarik ketika Presiden Morsi telah disahkan menjadi Presiden Mesir pada 24 Jun 2012, begitu ramai sekali bermunculan ‘ahli Ikhwan’ yang menawarkan diri untuk menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Mereka ini mungkin pernah menyertai Ikhwan suatu masa dulu, tetapi akibat tekanan yang kuat dari pihak Kerajaan Mesir, mereka telah menjauhkan diri dari Ikhwan atau telah mengisytiharkan dirinya keluar dari Ikhwan. Ahli-ahli Ikhwan yang istiqamah dalam perjuangan kehairanan kerana mereka ini tidak kelihatan ketika Ikhwan Muslimin menghadapi mehnah dan fitnah perjuangan. Golongan opportunis begini sebenarnya sentiasa menimbulkan masalah kepada perjuangan Islam. Komitmen mereka hanyalah untuk kepentingan peribadi. Sekiranya Presiden Morsi memilih mereka untuk menjawat jawatan penting dalam Kerajaan akan timbul persoalan, apakah mereka akan tetap setia dengan beliau sekiranya iklim politik berubah arah?
 

Pengajaran Ketiga: Hijrah sebagai strategi perjuangan jangka panjang. Perintah Hijrah dari Mekah ke Madinah oleh Allah ta’ala kepada Rasulullah s.a.w. bukanlah suatu langkah lari dari perjuangan, tetapi ianya adalah langkah strategik perjuangan jangka panjang. Seringkali para pejuang Islam terpaksa membuat keputusan strategik jangka panjang bila berhadapan dengan suasana ruang dakwah semakin sempit di negara sendiri.
Begitulah dilema yang perlu dihadapi oleh Youssef Nada. Apabila beliau dibebaskan dari penjaradan merana selama 2 tahun di dalamnya, beliau menyambung pelajarannya yang tergendala di Alexandria University di bidang pertanian. Setelah tamat pengajian, beliau telah membantu menguruskan syarikat tenusu milik ayahnya yang ketika itu memasarkan satu pertiga dari pasaran susu segar di Iskandariah. Ketika itu beliau telahpun berumur 28 tahun. Namun demikian, sebagai seorang bekas banduan dan masih merupakan ahli Ikhwan Muslimin, kehidupannya sentiasa di dalam pengawasan polis dan bila-bila masa boleh ditangkap semula. Walaupun bebas dari penjara, tetapi kehidupannya sentiasa tertekan kerana sentiasa diawasi.
 

Justeru itu, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah dari Mesir dengan tujuan untuk membantu Ikhwan Muslimin dari luar. Memandangkan kepakaran beliau adalah dalam bidang bisnes, beliau bertekad membantu kegiatan dakwah Ikhwan hasil dari keuntungan perniagaannya.
Berbekalkan nawaitu yang suci, beliau telah berhijrah ke Vienna, Austria pada tahun 1960. Sejak itu, beliau tidak lagi memandang ke belakang, malah terus memajukan perniagaannya sebagai International Trader yang disegani oleh banyak pihak. Pada tahun 1968, ketika berumur 38 tahun dan masih bujang, beliau telah bergelar sebagai The King of Cement in the Mediterranean – Raja Simen Mediterranean dengan memiliki 38 buah kapal dagang dan memiliki US$45 juta nilaian besi keluli untuk bahan binaan di negara persekitaran Mediterranean.
 

Strategi berhijrah dari Mesir bagi mengelakkan diri dari terus dianiaya oleh pemerintah Mesir turut diikuti oleh ramai lagi pemimpin Ikhwan Muslimin yang bertebaran ke negara Arab lain dan diseluruh Eropah dan juga Amerika Syarikat. Antaranya termasuklah Sheikh Yusuf Qaradawi yang berhijrah ke Qatar, Said Ramadan (ayah Tariq Ramadan, tokoh pemikir Islam mutakhir) ke Switzerland, Kamal Helbawi ke United Kingdom, Mahmoud Abu Saud (tokoh Ekonomi Islam) dan menantunya, Dr.Ahmed el-Kadi ke Amerika Syarikat. Kesan semerta dari strategi hijrah ini ialah berkembangnya manhaj harakah Islamiyyah model Ikhwan Muslimin ke seluruh dunia.
 

Pengajaran Keempat : Gerakan Islam harus menumpu soal Dakwah dan Tarbiyyah dan tidak terlibat terlibat dengan perniagaan. Biar ahli secara individu yang terlibat. Ketika Youssef Nada memohon keizinan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, ketika itu Hassan al-Hudaybi, untuk berhijrah ke luar negara, beliau telah diberikan amanah untuk mencari dana untuk dakwah Ikhwan melalui perniagaan. Ini disebabkan beliau mewaris bakat perniagaan beliau mengalir dari ayahnya, seorang usahawan tenusu di Iskandariah.
 

Amanah Mursyidul Am ini dipegang hingga sekarang. Setiap keuntungan dari bisnes disalurkan untuk memperhebat aktiviti dakwah Ikhwan di Mesir dan juga di serata dunia. Beliau telah memilih Vienna, Austria sebagai tapak untuk memulakan perniagaannya sebagai ‘international trader’atau pedagang antarabangsa. Kemudian pada tahun 1969, beliau berpindah ke Lugano, Switzerland dan tinggal di sana hingga sekarang. Dari Lugano, beliau telah membuka pejabat dagangnya di Indianapolis di Amerika Syarikat, Glasgow di Scotland, Riyadh di Arab Saudi, Liechtenstein dan Lagos di Nigeria. Beliau terlibat di dalam perniagaan impot/ekspot bahan binaan seperti simen, besi keluli, dan bahan komoditi seperti gandum, minyak masak, barli dan baja.
 

Pada tahun 1974, untuk memperkemaskan lagi bisnes impot/ekspotnya, beliau telah menubuhkan Nada International di Riyadh, Arab Saudi dengan melibatkan Dr. Hisham Al Talib, Dr. Jamal Barzinji dan Mohamed Shamma sebagai ahli lembaga pengarah. 


Kemudian pada tahun 1988, Youssef Nada mencebur diri di dalam Perbankan Islam dengan menubuhkan Bank of Taqwa di Pulau Bahamas dan At Taqwa Management Organisation (ATMO) di Lugano, Switzerland. Penglibatan beliau di dalam perbankan Islam dan operasinya di Switzerland, pusat kewangan kapitalis dunia telah membuka mata banyak pihak mengenai sistem kewangan Islam yang menjadi alternatif saingan kepada sistem kewangan konvensional. Ianya juga telah membuka mata musuh nombor satu Ikhwan Muslimin, iaitu Gerakan Zionis Antarabangsa. Gerakan Zionis telah merencana muslihat mereka hingga akhirnya Bank of Taqwa, yang berjaya meraih keuntungan 10-13 peratus setiap tahun itu, terpaksa ditutup pada tahun 2002, atas tuduhan dan fitnah yang direkacipta oleh Zionis. Beliau dituduh menjadi pendana utama gerakan teroris antarabangsa, walaupun tuduhan itu tidak pernah dapat dibuktikan. Youssef Nada secara peribadi kerugian US$350 juta akibat penutupan Bank of Taqwa itu.
 

Pengajaran penting dari pengalaman pahit ini ialah gerakan Islam seharusnya tidak terlibat di dalam perniagaan secara langsung kerana ianya membabitkan proses untung/rugi perniagaan yang boleh menjejaskan citra gerakan Islam. Sebaliknya ahli-ahli perlu digalakkan untuk terlibat. Dengan demikian sebarang risiko yang terjadi tidak akan menjejaskan gerakan. Sekiranya Bank of Taqwa itu milik Ikhwan Muslimin kerugian US$350 juta, tentunya ia bakal mencetuskan krisis di dalam Ikhwan. Oleh kerana bank tersebut milik individu, maka kerugiannya adalah kerugian individu tersebut tanpa membabitkan Ikhwan. Apa yang penting ialah nilai-nilai infaq dan sadaqah harus menyebati didalam diri setiap ahli gerakan agar mereka menjadi penyumbang utama kepada setiap kegiatan dakwah yang dianjurkan.
 

Pengajaran Kelima : Wala’ kepada Jamaah, Qiyadah danSirriyah al- Tanzim. Sejak menyertai Ikhwan Muslimin pada 1948, ketika berumur 17 tahun, prinsip yang dipegang oleh Youssef Nada sehingga hari ini ialah memberi wala’ kepada perjuangan Ikhwan Muslimin, para pemimpin khususnya Mursyidul ’Am serta menjaga kerahsiaan organisasi. Prinsip yang menjadi pegangan semua ahli ini membolehkan Ikhwan bertahan selama lebih 80 tahun walaupun menghadapi penindasan yang kejam dari pemerintah Mesir.
 

Setelah perniagaannya stabil dan berkembang luas, beliau mulai menggorak langkah untuk melebarkan usaha dakwah secara global. Amanah Hassan al-Hudaybi supaya dia membantu Ikhwan dengan keuntungan bisnesnya masih kekal dalam ingatannya. Pada tahun 1977, beliau telah menjemput beberapa tokoh pemikir Islam sedunia ke rumahnya, Villa Nada, Campione untuk berbincang mengenai usaha dakwah peringkat global. Jemputan Youssef Nada ke rumahnya yang baru siap dibina itu adalah agak istimewa kerana beliau baru saja melangsungkan perkahwinan dengan Amal Chichakli, anak seorang tokoh ternama di Syria. Beliau berumur 46 tahun ketika itu.
 

Di antara tokoh yang hadir pada pertemuan tersebut ialah Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Dr. Ismail Faruqi, Dr. Mahmoud Abu Saud, Mohamed al-Mubarak, Khurshid Ahmad, Ahmad al-Asal, Dr. Abdelhamid Abu Sulayman, Dr. Hisham al-Talib dan Dr.Jamal Barzinji. Pertemuan tersebut bersetuju untuk menyebarkan kesedaran Islam secara global dan berusaha ke arah perpaduan sesama umat Islam. Pada tahun 1981,International Institute of Islamic Thought (IIIT) telah ditubuhkan di Virginia, Amerika Syarikat. Dr. Hisham al-Talib, Dr. Jamal Barzinji dan Dr. Abdelhamid Abu Sulayman telah dilantik menjadi peneraju utamanya.
 

Sejak 1977, Youssef Nada bertindak sebagai ’Menteri Luar’ bagi Ikhwan Muslimin dan Tanzim ‘Alamiy (Ikhwan Muslimin peringkat global yang berperanan bagi memupuk perpaduan sesama Gerakan Islam di peringkat antarabangsa). Selepas kejatuhan Rejim Shah Iran akibat tercetusnya Revolusi Iran, beliau telah menganjurkan pertemuan solidariti umat Islam dengan Pemimpin Revolusi, Ayatullah Khomeini di Tehran pada 1979. Pemimpin Gerakan Islam dari Indonesia, Malaysia, Pakistan, Mesir, Jordan, Arab Saudi, Iraq dan Turki telah hadir di dalam pertemuan bagi meraikan kemenangan tersebut serta untuk merapatkan jurang perbezaan antara Sunni dan Syiah. Malaysia diwakili oleh Presiden ABIM ketika itu, Anwar Ibrahim.
 

Pada tahun 1979 itu juga berlakunya peristiwa tebusan rakyat Amerika Syarikat apabila sekumpulan pelajar Iran menguasai Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran dan menahan 52 orang pekerja kedutaan sebagai tebusan selama 444 hari. Omar Telmissany, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin telah mengarahkan Youssef Nada untuk menjadi perunding antara Kerajaan Iran dan Amerika Syarikat untuk menyelesaikan krisis tersebut secara diplomatik. Namun demikian, misi tersebut gagal kerana Amerika Syarikat menarik diri di saat-saat akhir.
 

Youssef Nada tidak akan melakukan sebarang tindakan bagi mewakili Ikhwan Muslimin tanpa keizinan dari Mursyidul Am. Beliau amat menjaga prinsip sirriyah al-tanzim iaitu kerahsiaan organisasi kerana banyak misi-misi yang beliau jalankan adalah sangat dan berbahaya. Pada tahun 1988, beliau terlibat di dalam mengelakkan krisis antara Iran dan Arab Saudi. Pada tahun 1987, para jemaah haji dari Iran telah melakukan demonstrasi di Masjidil Haram yang mengakibatkan seramai 275 para jemaah haji Iran, 85 warga Arab Saudi dan 42 warga dari negara terkorban. Beliau berperanan mendamaikan kedua belah pihak dalam perundingan yang diadakan di Villa Nada, Campione. Perundingan tersebut menghasilkan formula kuota Haji dan Umrah yang dipersetujui oleh Iran dan Arab Saudi.
 

Dalam Perang Iraq dan Kuwait pada tahun 1990, beliau telah bertemu Presiden Saddam Hussein di Baghdad bagi meyakinkan beliau supaya berundur dari Kuwait sebelum Barat menyerang Iraq. Malangnya Saddam berdegil sehingga tercetusnya Perang Teluk yang berakhir dengan kematian Saddam di tali gantung.
 

Selama ini sering disebut mengenai Tanzim ’Alamiy sebagai penggerak utama kepada penyatuan gerakan Islam seluruh dunia. Tidak ramai yang mengetahui siapa yang berada dalam organisasi ini dan bagaimana organisasi berfungsi. Namun setelah membaca buku ini, jelas bahawa penggerak utama dibelakangnya ialah Youssef Nada. Beliau bergerak penuh dengan kerahsiaan bagi menjayakan misi-misi penting Ikhwan Muslimin. Malah sehingga kini, tidak ramai yang menggenali Youssef Nada, apalagi mereka yang mengenalinya secara dekat.
 

Pengajaran Keenam: Permusuhan Barat terhadap Islam tidak mengenal batas kemanusiaan dan undang-undang. Boneka Barat dari kalangan anak tempatan sentiasa menjadi dalang. Kenyataan Allah ta’ala di dalam al-Quran adalah sentiasa benar.Al-Quran mengajar kita untuk sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan di dalam menjalani kehidupan dan perjuangan sebagaimana yang terdapat dalam Surah al Baqarah ayat 120, “Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu (Muhammad) selagi engkau tidak mengikut agama mereka.”

Hakikat inilah yang berlaku kepada Youssef Nada. Beliau seorang yang sangat teliti di dalam sebarang urusan perniagaan maupun urusan dakwah global. Beliau akan mendapatkan nasihat dari peguam yang terbaik sebelum membuat sesuatu keputusan perniagaan. Malah ketika beliau menubuhkan Bank al Taqwa di Bahamas, beliau memastikan ianya mengikut saluran undang-undang. Ini adalah kerana beliau tahu Sistem Perbankan Islam yang akan digunapakai bakal mencetus kontroversi di Barat akibat fenomena Islamophobia yang masih lagi menebal. Begitu juga di dalam hal menyalurkan bantuan dana untuk aktiviti dakwah. Beliau amat berhati-hati agar ianya tidak melibatkan aktiviti yang melanggar undang-undang. Namun demikian, bila tiada bukti, maka bukti palsu akan direkacipta. Itulah yang berlaku hingga perniagaan global Youssef Nada dan Bank al Taqwa ditutup buat selama-lamanya. Hasrat sebenar Zionis dan Barat ialah untuk melumpuhkan Ikhwan Muslimin di peringkat global dengan cara melumpuhkan bisnes Youssef Nada. Mereka tahu bahawa Youssef Nada adalah penggerak utama kepada gerakan Ikhwan di seluruh dunia khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat.
 

Serangan terhadap beliau bermula pada 11 November 1997, apabila seorang wartawan pro Zionis, Guido Olimpiomenuduh beliau sebagai penyumbang dana berjumlah US$70 juta kepada HAMAS di Palestin dan juga aktiviti teroris menentang Barat di dalam akhbar Corriere della Sera, Switzerland. Serangan ini disusuli pula pada tahun yang sama oleh Richard Labeviere dari Television SuisseRomande menerbitkan satu dokumentari yang menuduh Youssef Nada sebagai agen Nazi ketika Perang Dunia Kedua. Pada tahun 2002, Kevin Coogan menulis sebuah buku yang kandungannya juga menuduh Youssef Nada sebagai agen Nazi pada tahun 1930, suatu tuduhan yang palsu dan berniat jahat kerana Youssef Nada lahir pada tahun 1931.
 

Umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, Youssef Nada dikaitkan pula dengan aktiviti pengganas. Kali ini dalangnya ialah Presiden Hosni Mubarak. Pada Disember 1997 seramai 62 pelancong asing kebanyakannya warga Switzerland telah mati dibunuh oleh pengganas di pusat tarikan pelancong Deir al-Bahir, Luxor, Mesir. Pendakwa Raya Persekutuan Switzerland, Carla Del Ponte telah membuat siasatan di Mesir dan kerajaan Mubarak telah membuat tuduhan liar dan fitnah bahawa Youssef Nada terlibat di dalam pembunuhan tersebut.
 

Sejak serangan media yang sangat terancang terhadap Youssef Nada, imej beliau sebagai seorang tokoh perniagaan yang disegani mulai luntur dan Bank al Taqwa mulai berhadapan dengan masalah pendeposit yang sudah kehilangan kepercayaan terhadap beliau. Pada tahun 1998, sejumlah US$100 juta telah dikeluarkan oleh pendeposit dari Bank al Taqwa dan akhirnya pada tahun 2002 ianya terpaksa di tutup buat selama-lamanya.
 

Peristiwa serangan World Trade Center, New York pada September 11, 2001 adalah umpama paku terakhir untuk keranda perniagaan Youssef Nada. Presiden George Bush sebagai tindak balas terhadap serangan tersebut telah menyerang Afghanistan pada 7 October 2001. Saperti dirancang, sebulan kemudian pada 7 November 2001, Bush telah menuduh bahawa Youssef Nada dan Bank al Taqwa terlibat sebagai pendana utama pengganas seluruh dunia dan tindakan keras akan diambil terhadapnya. Pada hari yang sama juga, Villa Nada digeledah oleh Polis Switzerland dan Itali untuk mencari bukti-bukti bagi mensabitkan Youssef Nada sebagai dalang utama pengganas sedunia. Pada masa yang sama juga, dalam suatu tindakan yang kelihatan sudah lama dirancang, semua dokumen Bank al Taqwa dirampas, semua kad kredit beliau dibatal, semua aset, harta dan akaun bank diseluruh dunia dibekukan dan Youssef Nada dikenakan tahanan dalam rumah sehingga siasatan selesai.
 

Tindakan kejam terhadap Youssef Nada adalah satu-satunya kes seumpama ini melibatkan Peguam Negara Switzerland yang bertindak atas arahan Amerika Syarikat dan turut melibatkan polis dan intelligensia dari 12 buah negara. Siasatan yang memakan masa 8 tahun iaitu dari bulan September 2001 sehingga September 2009 berakhir dengan ketiadaan bukti mensabitkan baliau sebarang kesalahan. Nama Youssef Nada sebagai pengganas telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2009. Namun, Amerika Syarikat terus berdegil tidak mahu membersihkan nama Youssef Nada dan engkar dengan keputusan Majlis Keselamatan. Penderitaan beliau masih berterusan sehingga kini kerana akaun bank dan aset beliau tidak boleh dicairkan. Kedegilan Amerika Syarikat ini sebenarnya beralasan. Seandainya Youssef Nada dibersihkan namanya dari senarai pengganas, maka segala hartanya yang dianggarkan mencecah ribuan juta matawang Amerika Syarikat akan dapat digunakan untuk membantu umat Islam khususnya di Mesir dan Tunisia. Hal inilah yang cuba dielakkan.
 

Pengajaran Ketujuh: Kemenangan itu adalah mutlak milik Allah, dan bukannya kerana kehebatan strategi dan perancangan manusia. Peringatan ini disampaikan oleh seorang pemimpin Ikhwan Muslimin kepada ahli Jamaah ketika dijemput untuk memberikan taklimat ’Perkembangan Mutakhir Kemenangan Ikhwan Muslimin’ dalam pilihan raya Mesir. Peranan dan tanggungjawab para pendakwah dan pejuang Islam ialah untuk berjuang bersungguh-sungguh menggunakan seluruh qudrat yang ada untuk menyampaikan mesej Islam keseluruh dunia. Segala kesulitan dan penderitaan akibat daripadanya harus dihadapi dengan sebaik-baik sabar, fa sabrun jamil, dan hanya kepada Allah jua kita memohon pertolongan, wallahul musta’an. Inilah jalan kemenangan yang hakiki yang berjaya ditempuh oleh Ikhwan Muslimin sejak ditubuhkan pada tahun 1928.
 

Tidak ramai pejuang Islam sempat melihat hasil kejayaan perjuangannya ketika masih hidup.. As Syahid Imam Hassan al Banna, Hassan Hudaybi, Umar Telmissani, As Syahid Syed Qutb, dan ramai lagi tidak sempat untuk melihatnya. Youssef Nada adalah antara pejuang yang dianggap bertuah dan dipilih Allah untuk menyaksikan sendiri hasil kejayaan perjuangannya.
 

Hidup ini umpama roda. Ada masa kita berada di atas, ada masa kita akan berada di bawah. Dan begitulah putaran kehidupan kita, turun naik silih berganti. Sekiranya tahun 2001 adalah tahun ujian getir buat Youssef Nada, maka tahun 2012 adalah tahun kegembiraan buat beliau. Pada 28 Januari 2012, Villa Nada dikunjungi oleh Perdana Menteri Tunisia yang baru, Hamadi Jebali berserta Sheikh Rached Ghannoushi. Ratusan polis Switzerlanddan Itali mengawal persekitaran Villa Nada. Tahun 2001, mereka datang untuk menggelidah Villa Nada, tahun 2012 pula, mereka datang untuk menjaga keselamatan tetamu Youssef Nada. Begitulah hakikat kehidupan dan perjuangan.
 

Kemudian pada 24 June 2012, Presiden Morsi sebaik saja selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir, menelefonYoussef Nada mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada beliau kerana apa yang berlaku di Mesir pada hari ini adalah antara sumbangan dan pengorbanan beliau, sebagai ahli setia Ikhwan Muslimin, yang komitmennya tetap kental dengan perjuangan.
 

Bagi Youssef Nada, roda kehidupannya telah melalui beberapa pusingan naik dan turun. Di awal penglibatannya di dalam Ikhwan Muslimin, beliau bergerak aktif, kemudian dipenjarakan selama dua tahun. Ini satu pusingan naik dan turun. Kemudian beliau berhijrah ke Eropah dan berjaya di dalam perniagaannya. Malangnya bila Muammar Gaddafi merampas kuasa di Libya, kesemua perniagaannya di sana dirampas, lantas mengalami kerugian besar. Ini pusingan kedua naik turun beliau. Beliau bangkit lagi dan memulakan semula perniagaannya dariSwitzerland sehingga berjaya membuka Bank of Taqwa di Bahamas. Aktiviti dakwah global Ikhwan Muslimin turut berkembang. 

Kemudian berlaku peristiwa September 2001, dan perniagaan beliau serta aktiviti dakwah beliau terhenti sehingga 2009. Ini pusingan ketiga naik turun roda kehidupan beliau. Pada tahun 2012, beliau menyambut kemenangan Ikhwan Muslimin memerintah Mesir, dan an Nahdhah di Tunisia. Bagi beliau inilah pusingan terakhir dari kehidupan yang ditandai dengan suatu kejayaan yang sangat manis dan berharga. Inilah ketentuan Illahi buat beliau yang tidak pernah dikesalinya. Pada tahun 2013, umur beliau sudah menjangkau 82 tahun. Suatu kehidupan yang penuh warna-warni dalam perjuangan suci bagi merealisasi hasrat mengangkat martabat Islam: al Islam ya’lu wala yu’la ’alayh.

Sumber: Madinah Al-Nur

 

Posted on Friday, July 05, 2013 by ABIM Melaka

Thursday, July 4, 2013


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam rampasan kuasa yang didalangi pihak tidak bertanggungjawab di Mesir semalam yang memperlihatkan bagaimana seorang Presiden yang dilantik secara sah menerusi pilihan raya digulingkan. Sebaliknya, ABIM berpandangan Dr Mohamad Morsi seharusnya diberikan peluang untuk memimpin Mesir dalam tempoh sekurang-kurangnya satu penggal sehingga pilihan raya akan datang bagi menstabilkan kerajaan Mesir yang dipimpin kabinet beliau. 

Justeru, ABIM menilai rampasan kuasa tersebut sebagai langkah yang bersifat lapuk dan terkebelakang dalam lanskap politik dunia hari ini serta tidak menjamin kestabilan jangka panjang untuk negara tersebut. Kenyataan disandarkan kepada kenyataan bahawa Mesir masih lagi meniti transisi peralihan ke arah amalan politik demokrasi. Rampasan kuasa ini secara langsung telah menafikan keinginan demokratik rakyat Mesir untuk menentukan masa depan mereka sendiri sepertimana yang dilaungkan sejak 2011 yang lalu dan kemudiannya diterjemahkan melalui peti undi pilihan raya.

Esensi di atas merupakan anjuran penting dalam amalan demokrasi moden. Menerusi demokrasi, proses timbang tara berupa “check & balance” dapat digerakkan untuk menjamin kesejahteraan serta mengangkat kepentingan rakyat Mesir secara keseluruhannya. Sesungguhnya rakyat Mesir berhak untuk mendapat persekitaran “civil governance” yang mampan.

Sepanjang tempoh 48 jam, ABIM akan mencermati sebarang perkembangan terkini yang berlaku di Mesir serta amat mengharapkan agar pimpinan rampasan kuasa dan pihak tentera dapat menjamin keselamatan Presiden Morsi, pimpinan Ikhawul Muslimin dan pengikutnya dari penindasan dan penyeksaan yang sememangnya sinonim dengan rejim tentera Mesir hinggalah kejatuhan Hosni Mubarak.

Mengambil kesempatan ini, ABIM ingin menyeru para pelajar Malaysia di Mesir agar sentiasa waspada serta peka terhadap perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka. ABIM juga menggesa pihak Wisma Putra agar dapat bersikap proaktif dengan menyalurkan maklumat serta perkembangan terkini mengenai situasi sebenar yang melanda Mesir pada ketika ini kepada masyarakat serta menjamin kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia di negara tersebut.


MEMARTABATKAN KARAMAH INSANIAH, MEMIMPIN KEBANGKITAN UMMAH
MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Posted on Thursday, July 04, 2013 by ABIM Melaka


Mengenang kejatuhan Islamis Mesir angkara musuh-musuh Islam….

Posted on Thursday, July 04, 2013 by Unknown