Timbul persoalan mengapa Ramadhan amat penting sebagai institusi mendidik diri. Jawapannya sudah pastilah kerana ianya arahan Allah kepada hambanya agar dapat membina kekuatan jiwa dan iman melalui proses pentaqwaan diri. Kenapa pula Ramadhan dipilih sebagai institusi latihan dan ujian? Ini berkemungkinan amat berkait rapat dengan hadith Nabi Sallallahualaihiwasallam yang menyebut bahawa apabila Ramadhan menjelang tiba maka pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Al-Bukhari dan Muslim).

Bertepatan dengan makna Ramadhan yang bermaksud panas iaitu bulan menghanguskan dosa, Allah telah memberikan peluang kepada umat Islam untuk beramal dan beribadah tanpa gangguan hasutan syaitan. Segala kelakuan dan perbuatan di bulan Ramadhan menjadi cermin sebenar tatkala syaitan dirantai daripada menghasut dan membisik. Allah telah memberikan peluang yang sangat tinggi nilainya ini untuk umat Islam membentuk dan membina syahsiah diri dengan hanya perlu berhadapan dengan hawa nafsu tanpa dipengaruhi oleh bisikan syaitan.

Taqwa Sebagai Objektif Ramadhan
 
Tidak dapat dinafikan pelbagai hikmah Ramadhan dan puasa yang dapat dibuktikan melalui kajian saintifik sehinggakan terdapat di Amerika, ‘Fasting Centre International Incorporation’ sebuah institusi yang mempromosikan puasa sebagai cara untuk mencegah dan memulihkan penyakit. Namun begitu, kelebihan berpuasa sama ada dari sudut kesihatan mahupun dari aspek yang lain bukanlah merupakan matlamat utama Ramadhan. Objektif utama Ramadhan dirakamkan oleh Allah dengan jelas di dalam al Quran iaitu untuk mencapai darjah ketaqwaan.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Al-Baqarah: 183)

Melalui ayat di atas tersangatlah jelas bahawa melalui kalimah ‘la’alla’ itu yang bermaksud, ‘agar’ atau ‘semoga’ atau ‘mudah-mudahan’ menunjukkan matlamat sebenar puasa Ramadhan iaitu tidak lain dan tidak bukan mencapai makam taqwa. Kelebihan taqwa ini dinukilkan Allah di dalam surah al A’raf ayat 26 yang bermaksud “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian Taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”.

Sekiranya dirujuk kembali, pengertian taqwa bukan sahaja bererti takut namun ianya juga membawa maksud yang lebih luas. Ibn Kathir menyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini. Imam Ibn Kathir menerangkan Taqwa di dalam tafsirnya dengan merujuk kisah dialog Umar al Khattab dan Ubay bin Kaab. Dalam kisah ini Ubay memberikan analogi Taqwa dengan perumpamaan orang melalui jalan berduri di mana sudah pastinya seseorang itu berhati-hati bagi mengelakkan terpijak duri.

Bagi merumuskan makna taqwa, kata-kata daripada Ali Bin Abi Talib sangat relevan untuk dirujuk. Beliau merumuskan ciri taqwa itu kepada empat iaitu takut kepada azab dan murka Allah, yakin dengan al Quran, redha dengan sedikit nikmat dan sedia menghadapi hari kematian. Keempat-empat ciri inilah yang menjadikan seorang yang bertaqwa itu mempunyai peribadi unggul dan jiwa yang merdeka.

Di samping memahami taqwa sebagai matlamat Ramadhan, ianya juga membuktikan keadilan Allah. Sesungguhnya Allah menilai seseorang itu melalui kaca mata taqwa dan bukan dari kualiti yang lain. Taqwa itu boleh dicapai oleh sesiapa sahaja sama ada individu itu kaya, miskin, gemuk, kurus, cantik, kurang upaya, ternama dan sebagainya. Melalui penilaian taqwa ini Allah jelas menunjukkan keadilannya di mana semua manusi berpotensi untuk mencapai makam taqwa dan seterusnya mendapat kasih dan rahmat Allah.

Taqwa Sebagai Asas Penghayatan Ramadhan

Ketaqwaan merupakan satu bentuk penghambaan diri hanya kepada Allah iaitu membebaskan diri secara total dari perhambaan dengan manusia. Dalam konteks Malaysia, walaupun tidak dinafikan negara telah mencapai kemajuan namun begitu, masih terdapat banyak permasalahan dan krisis sosial yang berlaku pada umat Islam. Berdasarkan fakta yang tersebut di atas, jelas menunjukkan umat Islam di Malaysia masih lagi dibelenggu masalah sosial, ekonomi dan lain-lain. Permasalahan penagihan dadah, jenayah, kemiskinan, pendidikan dan sebagainya masih menghantui dan membelenggu umat Islam. Penulis berpandangan di antara punca permasalahan ini ialah kerana kegagalan menghayati ruh Ramadhan dan juga umat Islam menghadapi krisis taqwa. Sekiranya taqwa itu dijadikan sebagai dasar pembangunan diri, bangsa dan negara sudah pasti umat Islam akan kembali dihormati dan mendapat kedudukan yang sewajarnya.

Islah Al Nafs ’Reformasi Diri’ Ke arah Ketaqwaan?

Secara umumnya amalan umat Islam dalam bulan Ramadhan selama ini tidak akan berjaya merealisasikan aspirasi untuk mencapai darjah ketaqwaan. Amalan Ramadhan umat Islam hari ini adalah tidak sama dengan amalan para salaf al-salih. Dahulu, para sahabat Rasulullah menanti-nantikan dan merindui Ramadhan. Mereka bergembira menghidupkan Ramadhan dengan tarawih, tadarus, tahajud, qiyamullail dan sebagainya. Laungan selawat dan tasbih menguasai suasana. Amalan bersedekah menjadi lumrah dan kebajikan golongan tidak berkemampuan diambil berat dan dibela. Di kala Ramadhan meninggalkan mereka, para sahabat menangis dan bersedih kerana takut tidak ketemu lagi Ramadhan yang mulia. Alangkah indahnya suasana Ramadhan ketika itu.

Kini, syawal lebih dinantikan berbanding Ramadhan. Suasana Ramadhan hanya meriah tatkala di permulaannya. Masjid dan surau hanya penuh di awal Ramadhan dan hampir lengang diakhirnya. Di sepanjang jalan kelihatan bazaar Ramadhan yang dihadiri ribuan umat Islam membeli juadah berbuka walaupun waktu Maghrib hampir menjelang tiba. Lagu-lagu raya dimainkan di mana-mana tatkala selawat dan salam lebih utama. Paling menyedihkan jumlah kehilangan nyawa akibat kemalangan jalanraya terus berleluasa dan tidak kurang angka statistiknya.

Setelah melihat kepada situasi dan amalan Ramadhan umat Islam pada hari ini secara umumnya, dapatlah disimpulkan bahawa Ramadhan yang disambut setiap tahun itu tidak akan dapat mengubah diri, masyarakat negara dan umat. Ini memandangkan amalan Ramadhan itu tidak dimanifestasikan dengan matlamat ketaqwaan. Di dalam berbicara mengenai matlamat ketaqwaan, persoalan yang besar diajukan ialah bagaimana atau apakah formula untuk mencapai darjat ketaqwaan.
 

Umat Islam pada hari ini perlu melakukan transformasi diri atau dalam erti kata lain melaksanakan proses ’Islah al Nafs’ atau reformasi diri. Sepertimana perkara yang lain, usaha untuk mencapai taqwa perlu melalui proses ’reformasi diri’. ’Islah al Nafs’ ini perlu dilaksanakan satu persatu secara konsisten, ikhlas dan itqan. Penulis membahagikan proses mencapai makam ketaqwaan ini kepada empat fasa seperti berikut: -

(a) Berilmu

Ketaqwaan tidak akan dapat dicapai melainkan dengan ilmu. Hanya dengan ilmu yang sahih dapat memberi petunjuk kepada kita mengenai cara dan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Hanya dengan ilmu yang benar bersumberkan nas-nas yang sahih akan memastikan amalan yang dilakukan diterima Allah. Amalan dan ibadah yang bertentangan dengan amalan Rasulullah dan berunsurkan bidaah dhalalah bukan sahaja tidak diterima oleh Allah bahkan ianya boleh menjadi faktor kemurkaan Allah.

(b) Beramal

Taqwa itu sangat berkait rapat dengan amalan. Tanpa amalan walaupun berilmu tidak akan dapat membuatkan seseorang mencapai darjat ketaqwaan. Begitu juga amalan yang dibuat sambil lewa juga tidak mendapat perhatian daripada Allah. Amalan Ramadhan Rasulullah sesungguhnya perlu dijadikan panduan dan rujukan dalam segenap aspek. Dalam hal ini setiap amalan itu juga perlu mempunyai ciri-ciri Itqan, Istiqamah dan Ikhlas.

(i) Itqan: Rasulullah bersabda: Allah mengasihi seorang hamba kalau ia melakukan sesuatupekerjaan ia melakukannya dengan sempurna (Al-Tabarani).
(ii) Istiqamah: Dan sesungguhnya amal yang paling dicintai Allah adalah yang terus menerus meskipun sedikit.(Muttafaq ‘alaih)
(iii) Ikhlas: Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar Al Khattab, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang dikehendakinya atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan (Bukhari dan Muslim).

(c) Berdoa dan Bertawakkal
 
Berdoa merupakan senjata orang mukmin. Sebagai hamba kepada Allah, amalan berdoa dengan sepenuh hati tanpa jemu akan menjadikan diri merasa sangat kecil di hadapan Allah. Doa ini pula mesti diikuti dengan tawakkal iaitu konsep berserah pada ketentuan Allah. Konsep doa dan tawakkal ini yang akan menambahkan ciri ketaqwaan kepada Allah di mana ianya memperlihatkan peranan kita sebagai hamba Allah yang menyerahkan sepenuh jiwa raga kepadaNya.

(d) Syukur dan Redha
Setelah melalui ketiga-tiga fasa di atas, setiap individu yang ingin mencapai darjat ketaqwaan perlu memenuhi ciri-ciri fasa terakhir iaitu syukur dengan nikmat dan anugerah Allah dan redha dengan apa sahaja ujian, pemberian dan penentuan Allah. Konsep syukur dan redha ini merupakan natijah dari ilmu, amal, doa dan tawakkal. Melalui institusi Ramadhan yang menguji keimanan melalui pembentukan jiwa menerusi amalan ibadah yang disyariatkan akan dapat mendidik diri ke arah pembinaan insan yang bertaqwa.

Kesimpulan

Ruh dan intipati Ramadhan perlu diberi penghayatan dan diterjemahkan ke dalam hidup umat Islam sepertimana hidupnya Ramadhan sewaktu zaman Rasulullah. Penghayatan Ramadhan melalui penterjemahan ruh dan intipatinya merupakan pencetus kepada matlamat ketaqwaan. Makam Taqwa itu pula penentu kepada harga diri kita di mata Allah. Hanya dengan pakaian taqwa kita akan mendapat rahmat dan berkat Allah serta mempunyai harga di mata Allah. Apabila kita mendapat rahmat Allah ini, maka dengan itu jugalah segala usaha ke arah pembangunan diri, negara, bangsa dan umat akan mendapat keberkatan dan tidak akan menjadi sia-sia.
 

Sesuai dengan sambutan Ramadhan tahun ini, marilah kita jadikan Ramadhan sebagai titik tolak dan asas pengukuhan Taqwa demi kesejahteraan umat Islam. Hayatilah roh Ramadhan al-Mubarak hanya untuk mendapat keredhaan Allah dan hidupkanlah semarak semangat kemerdekaan melalui penghayatan Ramadhan serta jadikan taqwa sebagai dasar pembangunan ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.
 

Artikel disediakan oleh Dr Zulkifli Hasan 
(Exco Shariah & Kewangan Islam Angkatan Belia Islam Malaysia)