Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam rampasan kuasa yang didalangi pihak tidak bertanggungjawab di Mesir semalam yang memperlihatkan bagaimana seorang Presiden yang dilantik secara sah menerusi pilihan raya digulingkan. Sebaliknya, ABIM berpandangan Dr Mohamad Morsi seharusnya diberikan peluang untuk memimpin Mesir dalam tempoh sekurang-kurangnya satu penggal sehingga pilihan raya akan datang bagi menstabilkan kerajaan Mesir yang dipimpin kabinet beliau. 

Justeru, ABIM menilai rampasan kuasa tersebut sebagai langkah yang bersifat lapuk dan terkebelakang dalam lanskap politik dunia hari ini serta tidak menjamin kestabilan jangka panjang untuk negara tersebut. Kenyataan disandarkan kepada kenyataan bahawa Mesir masih lagi meniti transisi peralihan ke arah amalan politik demokrasi. Rampasan kuasa ini secara langsung telah menafikan keinginan demokratik rakyat Mesir untuk menentukan masa depan mereka sendiri sepertimana yang dilaungkan sejak 2011 yang lalu dan kemudiannya diterjemahkan melalui peti undi pilihan raya.

Esensi di atas merupakan anjuran penting dalam amalan demokrasi moden. Menerusi demokrasi, proses timbang tara berupa “check & balance” dapat digerakkan untuk menjamin kesejahteraan serta mengangkat kepentingan rakyat Mesir secara keseluruhannya. Sesungguhnya rakyat Mesir berhak untuk mendapat persekitaran “civil governance” yang mampan.

Sepanjang tempoh 48 jam, ABIM akan mencermati sebarang perkembangan terkini yang berlaku di Mesir serta amat mengharapkan agar pimpinan rampasan kuasa dan pihak tentera dapat menjamin keselamatan Presiden Morsi, pimpinan Ikhawul Muslimin dan pengikutnya dari penindasan dan penyeksaan yang sememangnya sinonim dengan rejim tentera Mesir hinggalah kejatuhan Hosni Mubarak.

Mengambil kesempatan ini, ABIM ingin menyeru para pelajar Malaysia di Mesir agar sentiasa waspada serta peka terhadap perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka. ABIM juga menggesa pihak Wisma Putra agar dapat bersikap proaktif dengan menyalurkan maklumat serta perkembangan terkini mengenai situasi sebenar yang melanda Mesir pada ketika ini kepada masyarakat serta menjamin kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia di negara tersebut.


MEMARTABATKAN KARAMAH INSANIAH, MEMIMPIN KEBANGKITAN UMMAH
MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)