> March 2014 ~ ABIM Negeri Melaka

Wednesday, March 19, 2014

ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) telah menghantar dua delegasi selaku perwakilan NGO negara ini ke sidang Final Adoption Of Malaysia’s UPR (Universal Periodic Review) Report oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC)  yang akan diadakan 20 Mac 2014 ini di Geneva. Kedua-dua delegasi tersebut telah berlepas malam tadi (18 Mac 2013). Sidang  ini merupakan susulan daripada pembentangan UPR yang telah diadakan pada penghujung 2013 yang lalu.

Delegasi tersebut disertai oleh Naib Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim dan Ketua Biro Undang-Undang ABIM, Khairul Anwar Ismail. Kedua-dua mereka telah mewakili pihak NGO Malaysia di 2nd Regional Consultation of ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights with Civil Society Organization on ASEAN Human Rights Declaration di Manila pada September 2012.

Walaupun terdapat tekanan yang kuat dari kumpulan pelobi dan gabungan hak asasi manusia di peringkat ASEAN untuk mengiktiraf hak dan amalan LGBT, tampak jelas bahawa keyakinan majoriti masyarakat beragama di rantau Asia Tenggara ini masih tidak dapat menerima, bahkan dengan tegas menolak usul agar hak dan amalan LGBT dari diiktiraf.

Untuk sidang pada 20 Mac 2014 ini, wakil negara akan mengutarakan respon terhadap pandangan serta tuntutan wakil-wakil negara asing ketika permulaan sidang UPR pada tahun 2013 yang lalu. Sepanjang sidang ini kelak, kedua-dua orang wakil ABIM mendapat hak serta peluang untuk bersuara oleh sekretariat persidangan UNHRC di Geneva.

Penyertaan  ABIM ini dibuat berdasarkan kepada pembabitan ABIM dalam beberapa perbincangan serta wacana berkaitan keseluruhan proses semakan UPR ini dengan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), NGO-NGO Pro Hak Asasi Manusia (PROHAM) serta NGO-NGO Islam serta Civil Society Organisation (CSO) dalam dan luar negara yang lain.

AMIDI DATO’ ABDUL MANAN
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


Posted on Wednesday, March 19, 2014 by Unknown

Monday, March 17, 2014

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan rasa sedih dan kesal atas kehilangan nyawa 6 pengunjung muda Future Music Festival Asia (FMFA) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil hujung minggu lalu.

Ini bermakna Malaysia kehilangan modal insan yang amat berharga yang sepatutnya digembleng untuk manfaat agama, bangsa dan Negara. Abim juga ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kesabaran untuk menghadapi situasi yang amat sukar ini.

Di kala Malaysia diselubungi dengan jerebu, kemarau dan kesedihan dengan insiden kehilangan pesawat MH370, penganjuran acara hiburan ini dianggap tidak sensitif bahkan daripada segi prinsipnya tidak membawa apa-apa manfaat kepada generasi muda Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Ia sekadar mengulangi siri-siri hiburan yang tidak bermanfaat dan tidak bermatlamat sejak 1980-an yang menyuburkan lagi budaya hedonisme iaitu budaya berhibur dan berlibur semata-mata untuk mendapatkan kepuasan diri atau ‘pleasure’. Tambah memburukkan apabila menurut teori deskriftif hedonisme dianggap sebagai matlamat hidup dan sumber nilai moral (the highest level in life and as a source of moral values).

Manusia apatah lagi generasi muda memerlukan hiburan namun hiburan mestilah yang dibenarkan oleh batas agama, norma masyarakat dan nilai ketimuran. Hiburan mestilah bermatlamat dan mempunyai falsafah yang mendidik generasi muda ke arah mengingati Sang Pencipta, membuat amal kebaikan dan menjunjung nilai leluhur insani.

Abim juga memandang amat serius penganjuran FMFA ini kerana ia dijadikan sebahagian daripada agenda utama pelancongan negara dan disenaraikan sebagai acara penting dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014. Ini bermakna ia merupakan acara yang diiktiraf dan didokong oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan sejak 2012.

Janganlah kerana FMFA ini dianggap berkelas antarabangsa dan dapat menggamit ramai pelancong luar serta menjana pendapatan negara maka prinsip dan masa depan pembangunan belia Malaysia digadaikan. Abim sebagai badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan seluruh pimpinan pergerakan belia Malaysia kesal dengan isu ini kerana usaha membangun dan meruntuh belia berjalan selari, justeru usaha pembangunan belia akan menjadi sia-sia.

Tambah memburukkan lagi keadaan apabila penganjur FMFA di Malaysia iaitu Livescape jika dilihat daripada lama sesawang rasmi mereka tertera logo-logo syarikat arak dan rokok seperti Jagermeister, Carlsberg, Asahi Beer dan British American Tobacco. Livescape sebagai youth-centric music and creative events agency harus lebih peka dan menjauhi syarikat syarikat berdasarkan arak dan rokok ini demi kebaikan dan kesejahteraan belia dan masyarakat Malaysia.

Walaupun FMFA dikatakan sekadar festival hiburan semata-mata namun unsur hedonisme pada kebiasaannya sudah sebati dengan percampuran lelaki perempuan tanpa batasan, penyalahgunaan dadah, one night stand, arak, perjudian, parti liar, eksploitasi wanita dan materialisme.

Oleh itu, Abim:

1.) Mendesak kerajaan dan Kementerian Pelancongan agar menamatkan terus penganjuran FMFA di Malaysia serta acara-acara hiburan yang tidak bermanfaat dan tidak bermatlamat positif. Acara-acara hiburan alternatif yang lebih bermanfaat wajar mengambil tempat. Kerajaan harus serius menjadi ‘leading by example’ bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang baik dan diampuni Tuhan (Baldaton Toyyibatun wa Rabbun Ghafur).

2.) Menyeru pihak penganjur acara hiburan khususnya yang beragama Islam menghormati nilai keagamaan dan ketimuran serta mengikut garis panduan hiburan khususnya yang digariskan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

3.) Mendesak polis meneruskan siasatan terperinci terhadap penganjuran FMFA dan mana-mana penganjur acara hiburan agar memastikan acara sebegini benar-benar bebas daripada unsur arak dan dadah yang mengundang padah dan kehilangan nyawa yang berharga generasi muda yang hadir.

4.) Menyarankan ibu bapa agar memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak di bawah tanggungan mereka agar tidak terjebak dengan acara hiburan yang melampau.

5.) Menasihatkan belia agar mengambil iktibar daripada kejadian kematian 6 anak muda di acara FMFA dengan menjauhi arak, rokok dan dadah serta pandai memilih rakan dan hiburan yang bermanfaat seperti konsert nasyid, kebudayaan dan kemanusiaan. Belia Islam disarankan mendekati majlis ilmu, majlis zikir dan majlis berselawat yang mendidik jiwa.

6.) Mengesyorkan pihak pertubuhan masyarakat madani harus terus berperanan membimbing generasi muda melalui pendekatan kerja belia agar mereka diberikan bimbingan dan panduan khususnya tentang cara berhibur yang dibenarkan oleh agama dan norma ketimuran melalui bimbingan personal, penganjuran seminar, usrah dan media sosial.

7.) Menyarankan pengamal media dan penganjur hiburan positif agar terus meningkatkan kapasiti menghidangkan hiburan bermanfaat dan kreatif bagi menarik generasi muda ke arah perkara positif.

Abim menyeru seluruh rakyat Malaysia komited bekerjasama menjayakan agenda hiburan bermatlamat dan mendidik bagi memastikan kita menyiapkan generasi muda unggul menjelang 2020 dan bukannya generasi muda yang lemah dan lalai dengan hiburan semata-mata. – 17 Mac, 2014.

* Jufitri Joha ialah Naib Presiden (Pembangunan Belia dan Intelektual), Abim.

Sumber - TMI

Posted on Monday, March 17, 2014 by Unknown

Wednesday, March 12, 2014

Oleh : NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 12 MAC: Majoriti rakyat di negara ini menyelar tindakan pimpinan negara yang menyokong perbuatan bomoh dalam usaha mencari pesawat MAS MH370 yang hilang, sejak 8 Mac lalu.
Perbuatan bomoh itu dianggap melampau kerana melanggar hukum Islam dan harus segera dihentikan kerajaan kerana membawa kepada syirik.

Laman Facebook milik Naib Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Fadhlina Sidek memperlihatkan bahawa beliau tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menggunakan khidmat bomoh dalam usaha merungkai persoalan kehilangan pesawat berkenaan.


“Saya fikir sebagai orang beriman, kita mesti serius dengan menghantar mesej keras kepada pimpinan negara agar menghentikan amalan khurafat dan syirik di KLIA ini.

“Saya rasa sangat malu sebagai sebuah negara Islam dan kepimpinan Islam, kita langsung tidak sensitif dengan isu syirik ini. Saya tahu ramai ahli politik negara bergantung kepada bomoh dan saya tahu bomoh mana yang berulang alik ke rumah pemimpin negara.

Fadhlina menerusi akaun Facebook itu juga berkata, cukup untuk mempercayai bomoh untuk kepentingan diri tetapi jangan sampai mengheret aqidah rakyat dan memalukan negara.

“Syirik ini dosa besar, hanya terampun dengan taubat nasuha.

“Di saat ini kita tidak memerlukan bomoh memakai sut dan name tag untuk mencari pesawat. Ini orang sewel dan sakit mental. Ritual khurafat tanda jiwa kusut dan iman songsang.

“Yang kita sangat perlukan adalah rahmat dan pertolongan Allah. Jika masih tidak yakin dengan Allah, itu kekacauan iman yg kronik!” katanya.

Akaun milik penceramah, Ustazah Norhafizah Musa turut memperkatakan isu berkenaan khidmat bomoh yang dilihat jauh menyimpang daripada Islam.


“Ya Allah….sungguh pedih sekali ‘KEHILANGAN’ dalam hidup…namun ada yang lebih pedih..bahaya..dan kemuncak kemusnahan…APABILA HILANG ‘ALLAH’ DARI HIDUP…maka hidup akan berjalan tanpa akses dengan pusat kawalan al-Quran dan al-Sunnah.

“Hidup sudah tidak berjalan pada laluan radar..orang lain semakin dekat dengan syurga..saat kita kehilangan ‘ALLAH’ dalam hidup..rupa-rupanya perjalanan kita melencong menjauhi syurga mendekati neraka. Nau’zubillahi…,” katanya.

Sementara itu, Hafidzi Mohd Noor, dalam akaun Facebooknya berkata, tindakan menggunakan bomoh itu seperti rancangan Maharaja Lawak.


“Macam acara Maharaja Lawak. peserta dengan prop masing masing. Kelmarin dengan bubu dan teropong buluh. Ini dengan 2 biji tembikai pula.

“JAKIM, Jabatan Agama, Mufti dan PPIM harap dapat buat sesuatu,” katanya.

Posted on Wednesday, March 12, 2014 by Unknown