> ABIM Negeri Melaka: Dakwah

Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Thursday, October 10, 2013

Siddiq Fadzil, Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
 
الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد
 
Kita mengingat  nama Ibrahim `a.s. dan keluarga  dalam selawat dan tahiyyat berkali-kali saban hari. Tetapi mengingatnya di tengah aura `id al-adha terasa ada kelainannya, lebih syahdu dan lebih mengharukan. Ibrahim `a.s. adalah nama besar, nama yang disebut dalam dua puluh lima surah al-Qur'an.  

Kisah Ibrahim `a.s. memang bukan sebuah karya fiktif,  tetapi qissah Qur'aniyyah yang kerelevanannya merentas abad, melintas jagat. Para aktivis perjuangan Islam memaknai kisah tersebut bukan sekadar lipur lara, tetapi penyerlahan legacy agung seorang Rasul pejuang kebenaran, kisah yang membawa pesan wisdom perjuangan dan pendidikan hikmah kenabian. Ibrahim `a.s. mewariskan sebuah model pendakwahan berasaskan dialog.
 
Beliau tidak berkhutbah secara monolog, tetapi selalu mengajak khalayak untuk berdialog dan beradu argumentasi. Dialog adalah strategi bijak untuk menggugah akal dan  merangsang orang agar berfikir. Justeru, hanya yang berakal dan yang berfikir yang dapat menghargai dan menilai kebenaran. Berhujah harus selamanya dengan akal sihat dan rasional,  bukan dengan sentimen dan emosi.

Demikianlah, kebenaran bukan untuk dipaksakan, tetapi didakwahkan dengan hujah yang meyakinkan (iqna`) akal rasional. Memang teras kekuatan dakwah  bukan biaya, dan bukan juga kuasa, tetapi esensinya: kebenaran yang berasaskan hujah dan bukti. 

Kekuatan dana, kuasa  dan lain-lainnya  bukan tidak penting,  tetapi bukan kekuatan esensi hakikinya. Memang tidak semua orang bersedia menerima hujah dan kebenaran. Penghalang utamanya adalah kepentingan. Suatu yang namanya "kepentingan" itu memang dahsyat. 

Demi mempertahankannya hujah sekuat mana pun, dan kebenaran sejelas mana pun tidak akan diterimanya.  Demikianlah sikap kaumnya, rajanya dan malah bapanya sendiri pun.  Hujah yang kuat dan lunak tidak dapat  membangkitkan akal rasional seorang ayah yang berkepentingan sebagai seorang pengusaha industri berhala.    
 
Demikian juga kaum bangsanya yang kalah berhujah lalu bertindak liar, cuba menghabisinya dengan melemparkannya ke dalam api yang sedang marak,  semarak kemarahan mereka, sepanas hati mereka.  

Demikianlah, kepentingan selalu menjadikan orang hilang kewarasan,  gagal melawan dengan hujah lalu mengganas, melakukan ke-brutal-an  fizikal.   Begitulah yang selalu dilakukan oleh para penguasa teror sepanjang zaman,   membunuh pencabar dan pengkritiknya. 

Tetapi dalam situasi seperti itulah pula terserlahnya keunggulan Ibrahim `a.s. sebagai pahlawan dakwah yang pantang menyerah, biar hangus menjadi arang,  biar hancur menjadi abu. 

Komitmen seorang mujahid dakwah ialah mempertahankan risalah hingga ke titisan darah terakhir.   Baginya tidak ada yang lebih berharga daripada kebenaran  (al-haqq) petunjuk Tuhan.
 
Api yang sejatinya memang panas-- membakar,  merentung dan menghanguskan,  tiba-tiba berubah  menjadi
dingin,nyaman dan mesra terhadap khalil al-Rahman. Api pun ikut menyayangi Ibrahim, hamba kesayangan Tuhan. Demikian patuhnya api terhadap pesan Ilahi  "selamatkan  Ibrahim!".    

Yang  sebenarnya diselamatkan tidak hanya  batang tubuh Ibrahim, tetapi juga risalah dan fikrah perjuangannya. Seperti ada pesan khusus yang tersirat di balik   peristiwa mukjizat  yang mencengangkan itu: bahawa kezaliman hingga ke puncak paling dahsyat sekalipun,tidak akan mampu membunuh fikrah, idea dan idealisme yang benar dan murni.
 
Semarak takbir `id al-adha mengingatkan kita bagaimana Ibrahim `a.s. memaknai dua kata mulia Allahu Akbar lewat amal nyata. Allah Maha Besar, tidak ada yang lebih besar daripada Allah, Perintah-Nya dan Ajaran-Nya. Kata dikota dengan menjunjung perintah mengorbankan putera kesayangannya Isma`il `a.s.

Demikianlah catatan suatu pembuktian iman: demi Tuhan,  sanggup mengorbankan yang tersayang. Mudah-mudahan takbir kita kali ini lebih bererti.

Posted on Thursday, October 10, 2013 by Unknown

Friday, June 28, 2013


PKPIM dengan kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menganjurkan Bengkel Memperkasa Aqidah Belia dan Remaja: Mengimani al-Quran dan Mendekati al-Kitab yang diadakan pada 9 Jun 2013 di Dewan Muslimin Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bengkel ini mendapat sambutan menggalakkan daripada 40 orang belia dan mahasiswa sekitar Lembah Klang. Tujuan bengkel ini diadakan untuk melahirkan generasi belia Islam yang kukuh pegangan akidah di samping pendedahan asas mengenai al-Kitab. Bengkel ini diadakan pada dua sesi iatu sesi pagi yang berfokus berkaitan al-Quran dan sesi petang yang berfokus kepada al-Kitab.

Perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Zakariah bin Isa, Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dalam ucapannya, beliau banyak menyentuh berkaitan kepentingan bengkel ini diadakan bagi memantapkan pemahaman dan penghayatan terhadap al-Quran di samping memahami asas al-Kitab sebagai benteng diri dalam menghadapi serangan musuh Islam seterusnya memantapkan akidah dalam diri Muslim.

Bengkel ini telah dibimbing oleh al-fadhil Ustaz Naim Mohd Noor, Timbalan Presiden ABIM. Dalam penyampaian beliau, peserta telah didedahkan tentang kemukjizatan al-Quran di samping bukti-bukti sains yang menunjukkan keunggulan al-Quran sebagai pegangan dan panduan yang sangat penting dalam kehidupan.

Dalam sesi kajian al-Kitab, beliau telah mendedahkan penyelewengan yang terdapat di dalamnya, di samping para peserta diberi kefahaman tentang ancaman dan dakyah Kristian yang perlu diberi perhatian dan persediaan yang sewajarnya untuk dilakukan. Para peserta telah berpeluang untuk memegang sendiri al-Kitab dan membuat kajian tentang penyelewengan al-Kitab dengan bimbingan al-fadhil Ustaz Naim. Komitmen yang tinggi telah ditunjukkan oleh peserta dalam bengkel ini dengan pelbagai soal jawab diakhir sesi untuk merungkaikan beberapa kekeliruan bagi memantapkan kefahaman dalam diri. Bengkel ini mendapat respons positif daripada para peserta dan berharap dapat mengikutinya pada sesi akan datang.

“ Ke arah melahirkan generasi al-Quran yang unik”

MUHAMAD KHAIR SUJUD
Exco Dakwah dan Tarbiyyah PKPIM


Sumber: ABIM Pusat


Posted on Friday, June 28, 2013 by Unknown

Saturday, March 16, 2013

Oleh: Amidi Abd Manan Perjuangan bangsa bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah tamadun manusia. Sejarah moden hari ini pun telah mencatatkan beberapa peristiwa diluar batasan rasional. Holocaust, pengeboman Sabra-Shatila, pembersihan etnik Bosnia oleh bangsa Serbia dan Croat dan yang terbaru pengusiran bangsa Rohingya dari Myanmar. Tidak dinafikan juga perang dunia kedua turut dilatari oleh sikap fanatik kebangsaan yang melampau. Adakah ini yang dinamakan perjuangan bangsa? Adakah perjuangan bangsa ditandai hanya dengan perluasan tanah jajahan, penguasaan hasil ekonomi atau majoriti kerusi yang dimenangi di Parlimen? 

Kepesatan dakwah Islamiah di rantau ini pada kurun yang ke 15 membawa satu perubahan yang begitu signifikan kepada masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu didedahkan mengenai konsep kepimpinan yang berteraskan khidmat dan bakti bukan lagi keramat dan sakti. Kepimpinan adalah satu amanah bagi menegakkan kebenaran dan keadilan, dilatari misi khalifatullah fil ardh. Kepimpinan perlu berlangsung dengan terma pendaulatan syariat dan pendaulatan rakyat. 

Banyak kisah yang sengaja dinukilkan dalam pelbagai catatan sejarah dan kesusasteraan Melayu yang diangkat oleh Yg Berbahagia Dato Dr Siddiq Fadhil dalam bukunya Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Kisah al-Wa’ad yang menekankan perihal maruah rakyat yang perlu dipelihara, kisah Putera Mahkota Tengku Muhamad yang terbuang ke Pahang lantaran kesalahan membunuh rakyat biasa serta banyak lagi coretan pesanan menerusi gurindam, puisi dan bidalan yang dimuatkan. 

Kita perlu akur paksi kekuatan umat adalah penghayatan yang tulen dan total terhadap nilai-nilai sejagat yang dibawa oleh Islam. Melayu perlu kembali ke akar kekuatannya iaitu Islam. Kepimpinan Melayu perlu memperbaharui tekadnya untuk melaksanakan, menghayati dan memperjuangkan ajaran Islam.Kesatuan dan kesepakatan bangsa Melayu mestilah terpasak pada teras nilai-nilai Islamiy bukan pada kerakusan nafsu tamak haloba membolot harta, atau kegilaan mempertahankan kuasa atau keinginan menyingkirkan bangsa lain dari persada politik negara. Kita juga berasa jengkel apabila persepakatan Melayu digandingkan secara melulu bersama pendaulatan agama. 

Belum tentu Islam berdaulat dengan Melayu bersepakat. Jika sepakatnya Melayu itu berada di atas noda maksiat, menghalalkan perampasan hak dan penipuan, menyuburkan keganasan dan perlakuan terror, melindungi amalan kronisme dan nepotisme, menggalakkan fitnah dan pengaiban, maka pendaulatan Islam hanyalah ilusi semata-mata.Kelompok yang mempromosi pendaulatan Islam atas kesepakatan Melayu secara melulu adalah kelompok yang keliru. Kelompok ini gagal membezakan antara helah dan maslahah. Justeru tidak hairanlah jika hujah yang lahir adalah hujah bagi mempertahankan kelompok istimewa Melayu bukan memperjuangkan hak-hak keistimewaan Melayu. 

Mereka riuh apabila isu LGBT terpapar di media tetapi bisu apabila institusi keluarga diruntuh oleh acara hiburan yang menggila, mereka riuh apabila pemakaian kalimah Allah di bible terjemahan bahasa Melayu, tetapi senyap sunyi apabila syariat Islam dicaci dan dihina. Kita menginsafi peranan, fungsi dan watak serta amanah dakwah yang terpikul di pundak setiap dari kita. Kita akan melunasi segala tanggungjawab ini walau siapa pun yang berada di Putrajaya nanti. Telah terbukti dalam lembaran sejarah kita, kita tegak berdiri atas prinsip al-amru bil maa’ruf wan ahyu a’ni munkar yang menjadi ciri utama kecemerlangan ummah. Kita berbeza pandang bukan menanggang, kita, mendebat dan bukan menjebat. 

Maka tugas pencerdasan ummah dan masyarakat perlu digerakkan. Pembodohan umat adalah satu jenayah kemanusiaan yang tidak boleh diampunkan, apatah lagi memberi janji palsu yang menjerut rakyat dalam perangkap kejahilan dan kemiskinan. Rakyat perlu dimerdekakan, dibebaskan dari belenggu perhambaan moden. Ia perlu bermula dengan proses percerdasan dengan menyedari bahawa manusia diberikan hak memilih yang unik yang tidak pernah diterima oleh makhluk yang lain. 

Justeru rakyat perlu tahu bagaimanakah hak tersebut mesti digunakan sewajarnya. Jangan terpengaruh dengan momok-momok atau dihantui oleh perbagai kebimbangan yang tidak berasas apatah lagi mejadi momok dan hantu. Moga-moga PRU yang bakal menjelang nanti akan menjadi mercu tanda dan gerbang perubahan ke arah politk yang lebih bermaruah dan berteraskan nilai-nilai rabbaniy yang abadi dan hakiki.


Posted on Saturday, March 16, 2013 by Unknown