> ABIM Negeri Melaka: Isu Aqidah

Showing posts with label Isu Aqidah. Show all posts
Showing posts with label Isu Aqidah. Show all posts

Wednesday, February 24, 2016


Insya-Allah. Biro Pendidikan ABIM Negeri Melaka akan menganjurkan sebuah majlis ilmu dengan topik bertajuk, Bahaya Syiah & Gerakan Ekstremis Agama!

Ceramah akan disampaikan oleh pimpinan ABIM Negeri Kedah yang turut merupakan ahli Persatuan Ulama' Kedah, iaitu Al-Fadhil Ust. Abdullah Din.

Pada: 27hb Februari 2016
Jam: 8.00 mlm
Tempat: Bangunan Al-Huda ABIM Melaka
Alamat: Lot 494, Taman Putra, Bukit Baru, 75150, Melaka
GPS: Latitude 2.220485 / Longitude 102.267387

SEMUA MUSLIMIN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR!

Posted on Wednesday, February 24, 2016 by Unknown

Tuesday, April 22, 2014

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu bekas Tun Dr Mahathir Mohamad bertaubat ekoran kritikan terbarunya berkaitan hudud dan kenyataan-kenyataan sinisnya terhadap undang-undang itu sebelum ini.


Presiden ABIM Amidi Abdul Manan (kiri) berkata, kritikan Mahathir yang menolak perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan sepatutnya tidak dilakukannya sebagai pemimpin dunia Islam yang disegani.

"Jika sebelum ini sindiran seperti ‘kalau mahu makan sup tangan bolehlah ke Kelantan’ dan beberapa kenyataan seumpamanya oleh beliau, maka ada baiknya beliau menarik balik kenyataan-kenyataan ini demi keimanan dan kecintaan kepada risalah Rasulullah SAW,” katanya.

Dr Mahathir dalam sidang media Khamis lalu berkata kerajaan Kelantan harus berfikir mendalam sebelum melaksanakan hudud kerana prinsip asas yang perlu ditekankan adalah keadilan.

Beliau berkata kerajaan Kelantan dilihat lebih memberi penekanan kepada hukuman dalam percubaan mereka untuk mengamalkan undang-undang itu.

"Dalam Islam, prinsip yang paling utama adalah keadilan dan terdapat 43 ayat al-Quran yang menyebut jika menghukum, hukumlah dengan adil. Jika sesuatu itu tidak adil, kita tidak boleh menghukum.

"Negara kita ada orang Islam dan bukan Islam. Jika mencuri, orang Islam kena potong tangan dan orang bukan Islam mencuri kena penjara, adil atau tidak?” katanya.

Dr M: keghairahan untuk menghukum
Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama pada sesi meja bulat “Managing Rising Costs in the Current Business Environment”.


Sehubungan itu, Dr Mahathir (kanan) berpendapat cara pelaksanaan undang-undang itu harus diteliti sebaik-baiknya dan tidak hanya dilakukan atas dasar “keghairahan untuk menghukum”.

Dalam kenyataannya hari ini, Amidi membalas, keindahan hukum Islam terletak kepada proses perbicaraan, pembuktian dan urus tadbirnya.

"Kenyataan Dr Mahathir yang menumpukan kepada hukuman boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap hukum hudud," katanya.

Amidi berkata walaupun ABIM menyanjung usaha Dr Mahathir mengangkat martabat Islam, memberi pandangan tanpa merujuk ilmu dan sumber hukum yang tepat tidak sepatutnya dilakukan.

"Tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim apatah lagi sebagai pemimpin adalah bersikap adil termasuk memberi gambaran yang benar terhadap hukum Islam,” katanya.

Kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hudud di Dewan Rakyat, selewat-lewatnya Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan pakar perundangan.

Posted on Tuesday, April 22, 2014 by Unknown

Friday, February 21, 2014


Kebelakangan ini, munculnya kembali seorang pemikir kontroversi yang menolak hadith-hadith Nabi SAW secara total dan hanya bergantung semata kepada Al-Quran dalam mengamalkan Islam mengikut tafsirannya sendiri. Atau lebih mudah dilabelkan sebagai golongan anti-hadith. Tidak perlulah saya menyebut namanya yang sudah menjadi trending di alam maya. Kerana tidak berminat melonjakkan lagi popularitinya dengan marak menjulang.

Pada telahan saya, beliau seakan merasa dirinya lebih mulia dan tinggi darjatnya daripada Nabi SAW kerana menyatakan kesalahan umat Islam adalah mendewa-dewakan Nabi SAW dengan syahadah kedua. Ini adalah salah satu bentuk penghinaan dan kebiadaban ke atas Baginda SAW. Isu ini membuat saya teringat seketika kisah pada tahun 2012, umat Islam dikejutkan dengan sebuah filem pendek yang menghina Nabi SAW yang kita cintai terbitan seorang penganut Kristian kelahiran Mesir yang merupakan penduduk Amerika Syarikat (AS). Ianya menyemarakkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Hingga tercetusnya serangan oleh segelintir Muslim ke atas Kedutaan AS di Libya.

KERAGUAN DITIMBULKAN
Golongan anti-hadith tersebut turut menimbulkan rasa ragu-ragu dengan kesahihan hadith-hadith yang ada sehingga kini. Mungkin juga beliau berasa ragu-ragu akan kesahihan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat yang kemudian diwarisi oleh para ulama' hadith yang tulus memelihara mesej dan pedoman warisan Nabi SAW sebagai rujukan kedua dalam menterjemahkan Al-Quran dan Islam itu sendiri secara terperinci dan tepat. 

Seandainya benarlah keraguan beliau ini, pastinya wujud banyak percanggahan ketara akan segala sabda Baginda SAW dengan wahyu ALLAH SWT iaitu Al-Quran. Namun, tiada pembuktian yang benar mampu menyanggahi kebenaran hadith-hadith yang bertaraf sahih mahu pun mutawatir. Meskipun ia berhujah, segala-galanya dusta semata-mata. Sementelahan, pelbagai contoh yang boleh diambil bagi membuktikan tiadanya kesilapan dalam periwayatan hadith-hadith Nabi SAW yang sahih. Baginda SAW pernah menyebut tentang tanda-tanda kiamat yang bakal berlaku di masa hadapan. Antaranya hadith riwayat Imam Muslim menyebut tentang pengembala kambing yang miskin menjadi kaya raya dan berlumba-lumba membina bangunan-bangunan yang tinggi, dalam riwayat Abu Daud pula menyebut manusia berlumba-lumba membina dan memperindahkan masjid-masjid. Dan banyak lagi hadith-hadith lain tentang bayangan masa depan.

Termasuklah pelbagai penemuan sains moden yang di antaranya merujuk kepada hadith riwayat Imam Bukhari yang menyebut berkenaan proses kejadian manusia daripada air mani, segumpal darah dan seterusnya. Sehinggakan beberapa orang saintis barat memeluk Islam kerana menyedari akan mukjizat Al-Quran dan kebenaran bahawa Muhammad SAW itu Rasul akhir zaman. Maka, mana mungkin banyak kenyataan-kenyataan futuristik yang ada di antaranya telah pun terbukti berlaku tidak tulen dan tidak sahih daripada Nabi SAW. Kerana segala penyataan Nabi SAW bukanlah berlandaskan hawa nafsu, tetapi bersumberkan wahyu ALLAH SWT.

RESOLUSI MENANGANI

Saya amat bersetuju dengan kenyataan akhbar Ust. Emran Ahmad bahawa 'ilmuan yang layak untuk berdialog dengan golongan anti-hadith adalah Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang mempunyai kepakaran dalam bidang hadith dan sirah. Manakala untuk berdebat adalah Ust. Hasrizal Jamil yang mempunyai kemampuan dalam bidang psikologi dan sejarah. Cuma saya ingin mencadangkan seorang lagi 'ilmuan yang turut saya merasakan sesuai, iaitu Dr. Danial Zainal Abidin yang mempunyai kepakaran mengaitkan Al-Quran dan Hadith dengan fenomena serta penemuan sains. Kerana golongan sebegitu mungkin boleh dipengaruhi dengan hujah-hujah menurut logik akal.

Kedua, saya mencadangkan agar para 'ilmuan menimbulkan sebuah persoalan. Bagaimana tuan meyakini ketulenan Al-Quran sedangkan tuan memperlekehkan seorang insan istimewa iaitu Muhammad SAW yang terpilih menjadi utusan ALLAH SWT dengan menerima wahyu Al-Quran? Maka, siapakah yang bertanggungjawab memastikan ketulenan Al-Quran? Mustahil jawapannya para ulama'. Sedangkan tuan telah menyatakan bahawa para ulama' adalah kasta paderi? Ibarat mempercayai sesuatu berita,  tetapi tidak mempercayai penyampai beritanya. Sesungguhnya, pemikiran golongan anti-hadith amat merumitkan dan membingungkan. Ianya agak sukar untuk dirungkai.



Cuma persoalannnya, sejauh mana keberkesanan berdialog dan berdebat dalam menangani golongan anti-hadith tersebut. Dr. Abd. Halim El-Muhammady mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pernah berdialog dengan beliau pada tahun 1986 dan berjaya mematahkan segala hujahnya. Namun, kelihatannya beliau masih tidak mahu berubah dan menerima akan hakikat kebenaran. Walau bagaimana pun, tiada salahnya untuk berusaha. Kerana Islam adalah agama nasihat dan para pendakwah bukannya penghukum, tetapi penasihat dan penyampai risalah dakwah yang tidak mengenal erti putus asa. Tidaklah seberapa onak dan liku pendakwah masa kini seandainya dibandingkan dengan pahit maung dakwah para Rasul.
BUKAN MENDABIK DADA
Segala telahan saya ini bukanlah bermaksud saya mahu mendabik dada dan berasa diri ini layak untuk berdialog mahu pun berdebat dengan golongan anti-hadith tersebut. Saya bukanlah seorang mufti, ulama' mahu pun ustaz yang berkelayakan untuk berdepan dengan golongan sebegitu. Saya sekadar ingin menegaskan pendirian dan pegangan saya bahawa Al-Quran dan Hadith adalah bagai aur dan tebing saling lengkap melengkapi. Dan bagaikan isi dan kuku yang tidak boleh dipisahkan meskipun ada yang cuba menggoyahkan keyakinan ini.
Sekian,
Wallahu'alam.
Disediakan oleh:

Exco Penerangan ABIM Melaka - Adli Abdullah
20hb Februari 2014
Rujukan Hadith:
1. Arba'in An-Nawawiyah (Hadith 40) - Imam Nawawi RH.
2. Bulughul Maram - Ibnu Hajar Al-Asqalani.            

Posted on Friday, February 21, 2014 by Unknown