> ABIM Negeri Melaka: Politik

Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Thursday, April 2, 2015


Menjelang 1 April 2015, keresahan dan kegusaran rakyat berpendapatan rendah serta peniaga-peniaga kecil sudah tiba ke kemuncaknya. Dalam suasana dengan kos saraan hidup yang semakin meningkat, sistem percukaian GST menjadi antara topik hangat di masa ini.

GST bermaksud good and service tax atau dalam Bahasa Melayu-nya sebagai cukai barangan dan perkhidmatan. Ianya sebagai penstrukturan semula sistem cukai barangan di Malaysia bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan SST. Perbezaan ketara antara GST dengan SST adalah skop keluasan perkara yang boleh dicukaikan oleh pihak kerajaan. Malahan GST meliputi apa jua bentuk perkhidmatan termasuk yuran universiti dan tuisyen. Manakala SST tidak meluas skop perkhidmatan yang boleh dicukaikan.

Melihat pelbagai kempen cukai GST di kaca televisyen, semuanya indah dan manis belaka. Mereka kata banyak harga barang akan turun, harga rumah tidak naik kerana tidak dikenakan GST, ubat-ubatan juga tidak dikenakan GST. Dalam masa yang sama, buku-buku turut dikecualikan GST.

Namun ada perkara-perkara tertentu masih samar dan menjadi kemusykilan.

Contohnya:

(a). Peniaga makanan kecil tidak perlu bayar cukai GST dan mengenakannya kepada para pelanggan. Kerana GST hanya dikenakan kepada syarikat-syarikat yang mencatat keuntungan setahun RM500,000 ke atas. Namun para peniaga kecil tersebut terpaksa menanggung kos setiap bahan-bahan pembuatan (yang bukan mentah) yang dikenakan GST.
(b). Perumahan tiada GST. Namun, setiap bahan-bahan pembuatannya pasti ada yang dikenakan GST. Maka, mungkinkah harga rumah akan berisiko naik?
(c). Barangan ilmu seperti buku dikecualikan GST. Namun, setiap bahan-bahan untuk membuatnya tetap ada GST. Maka, tidak mustahil kos pembuatan buku akan meningkat dan mungkin harga buku akan naik, sekiranya pihak penerbitan tidak mencari alternatif bagi menangani kesan kenaikan kos.

1. Kita melihat kadar cukai GST kelihatan sedikit iaitu hanya sebanyak 6%. Namun berdasarkan telahan awal saya, ia adalah cukai yang berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat. Kerana dari awal proses penghasilan sesuatu barangan itu, sudah adanya cukai GST untuk setiap rantaian bekalan.

Contohnya:

Pengilang mengenakan kepada pemborong GST 6% (bagi setiap barangan)
+ Pemborong mengenakan kepada peruncit GST 6% (bagi setiap barangan)
+ Peruncit mengenakan kepada pengguna GST 6% (bagi setiap barangan)
= Menjadikan jumlah keseluruhan cukai sebanyak 18% (bagi setiap barangan)

Maka, ia bukanlah semudah yang kita sangkakan, dengan melihat cukai 6% hanya dalam resit jualan produk yang dikenakan GST yang kita beli. Malahan berkemungkinan boleh mengakibatkan harga barangan tertentu melambung tinggi berbanding sebelum GST dilaksanakan. Kerana, ia tidak seperti cukai SST yang sekali gus dimasukkan dalam jumlah keseluruhan harga jualan/belian.

Lantaran dari itu, pihak kerajaan perlulah telus memberi penjelasan kepada rakyat tentang hakikat sebenarnya sistem percukaian GST.

2. Saya menyambut baik langkah yang diambil Mydin dan Oppo yang merupakan antara syarikat besar dengan menyerap cukai GST agar para pelanggannya tidak dikenakan cukai tersebut. Namun, bagi para peniaga kecil, mungkin mereka terpaksa menaikkan harga barangan untuk menampung kos daripada setiap bahan-bahan pembuatan (yang bukan mentah) yang dikenakan GST.

Walau bagaimana pun, diperakui GST adalah sistem percukaian paling berkesan dan mampu menjamin pendapatan yang terbaik buat negara. Berkemungkinan dari situlah gaji kakitangan awam mampu dinaikkan dan banyak kebaikan boleh dirasai bersama. Namun, pihak kerajaan perlulah menimbang dengan seteliti mungkin sebelum melaksanakan GST. Apakah sudah sesuai untuk dilaksanakan dalam suasana rakyat bawahan masih terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat?

Sedang para pemimpin negara hidup dalam keadaan senang lenang dengan menikmati pelbagai kemudahan seperti gaji yang tinggi, elaun rumah, elaun keraian, minyak percuma dan sebagainya. Maka adakah ia suatu yang adil untuk dilaksanakan sekarang? Dan adakah majoriti rakyat sudah benar-benar faham apa itu GST?

Sedangkan hukum hudud sendiri pun sebelum dilaksanakan, perlu memastikan sama ada rakyat sudah benar-benar faham tentangnya serta adakah penjelasan sudah diberikan secara meluas sepertimana promosi hebat berkenaan GST yang dipaparkan di media-media arus perdana.

Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, sebelum melaksanakan undang-undang Islam hendaklah dipastikan terlebih dahulu rakyat yang susah sudah cukup makan.

Sekiranya hendak melaksanakan undang-undang Allah SWT perlu dikaji dan dilihat pelbagai aspek terlebih dahulu. Apatah lagilah cukai ciptaan manusia. Maka, pihak kerajaan sekiranya mahu teruskan GST, ada baiknya laksanakan hanya dalam tempoh percubaan terlebih dahulu dengan menetapkan tempoh tertentu. Dari situ kita akan dapat melihat sama ada ia sudah sesuai atau tidak untuk dilaksanakan dalam konteks semasa di Malaysia.

Walau bagaimana pun, sebelum melaksanakan GST bagi mengatasi masalah defisit dan hutang negara yang melonjak tinggi yang sudah melebihi 50%.

Antara langkah yang disarankan:

(a). Adalah lebih baik ditumpukan dahulu langkah bagi mengatasi masalah ketirisan dan rasuah yang boleh merencatkan ekonomi secara lebih berkesan dan telus.
(b). Para pemimpin perlulah terlebih dahulu mempamerkan teladan yang baik dengan berjimat cermat dalam pentadbiran dan penggunaan dana awam, sebelum menyeru rakyat bawahan berjimat cermat.

Namun, alangkah lebih indah sekiranya para pemimpin negara mampu mencontohi peribadi dan integriti Saidina Umar bin Abdul Aziz. Hanya sebatang lilin milik kerajaan pun beliau amat berhati-hati dan hanya digunakan atas urusan rasmi, bukan urusan peribadi. Paling menakjubkan, beliau hanya memerintah selama 30 bulan.

Tetapi semasa era pemerintahannya, Wilayah Islam ketika itu aman makmur serta sangat cemerlang dan gemilang. Harta negara diagihkan secara adil dan saksama. Sehinggakan sampai satu tahap tidak ditemui langsung golongan fakir miskin untuk tujuan pengagihan zakat. Begitulah antara kisah yang paling berkesan dijadikan teladan bagi setiap para pemimpin negara dengan mengutamakan ketelusan dan integriti seperti Saidina Umar bin Abdul Aziz.

Sekian,

Wallahua’lam.

Sumber: Adli Abdullah - Biro Penerangan ABIM Melaka

Posted on Thursday, April 02, 2015 by Unknown

Thursday, June 13, 2013


Oleh: Saudara Shafiq Shafii

Kerajaan Turki di dalam mengurangkan kesesakan trafik di Istanbul telah merangka satu projek jambatan menghubungkan Istanbul Asia dan Istanbul Eropah. Jambatan ketiga ini selepas Jambatan Bosphorus dan Jambatan Sultan Mehmet Fatih akan dinamakan Jambatan Yavuz Sultan Selim. Nama inilah yang menjadi masalah apabila mendapat bantahan daripada golongan Alewi Turkey(berbeza dengan golongan Shiah Alewi Syria) tidak bersetuju dengan nama ini. Menurut sejarah, pada zaman Yavuz Sultan Selim mereka telah ditindas dan dizalimi oleh Khalifah pada masa itu. Golongan Alewi ini kebanyakannya daripada CHP(Republican People Party). Pada awal April yang lepas, kerajaan Turkey telah berjaya melakukan gencatan senjata dengan pihak PKK setelah lebih 20 tahun Turkey menghadapi masalah dengan puak ini yang mahu menubuhkan negara Kurdistan di tenggara Turkey. Dasar kerajaan Turkey yang banyak bertolak ansur dan bertoleransi dengan pihak Kurdistan berjaya menamatkan konflik ini. Namun, terdapat sebilangan pihak samada daripada pihak Kurdistan sendiri atau pihak luar yang tidak senang dengan perkara ini. Pihak ini juga mengambil kesempatan dengan apa yang berlaku di Gezi Park sekarang ini.


Pada pertengahan Mei, Turkey dikejutkan dengan pengeboman di Reyhanli, Hatay yang hanya 10 kilometer daripada sempadan Turkey Syria. Pengeboman ini telah mengakibat 40 orang meninggal dunia di tempat kejadiaan dan puluhan lagi cedera. Sehingga sekarang kerajaan Turkey gagal untuk mencari siapa yang bertanggungjawab di atas kejadiaan itu. Kerajaan juga seolah cuba menutup kejadian itu telah menyebabkan kemarahan rakyat yang merasakan keselamatan tidak terjamin. Samada bom dibawa oleh pihak pengganas di Turkey ke Syria atau, daripada Rejim Syria yang dibawa masuk ke Turkey, atau pelbagai lagi kemungkinan yang masih belum diselesaikan.

Sejurus selepas kejadian itu, Perdana Menteri Tayyip Erdogan bersama Menteri Luarnya bergegas ke Amerika Syarikat berjumpa dengan Presiden Barrack Obama bagi membicangkan isu ini. Apa yang dibincangkan di Amerika oleh Erdogan dan Obama juga tidak diketahui umum menyebabkan rakyat Turkey tertanya-tanya? Adakah Erdogan tidak bersetuju untuk North Atlantic Treaty Organization (NATO) memasuki Syria atau sebaliknya, Obama yang tidak bersetuju? Negara Turkey satu-satunya negara NATO yang telah dicerobohi sempadannya namun sehingga sekarang NATO masih membisu di dalam isu Syria.

Selepas 2 minggu sahaja kepulangan Erdogan dari Amerika Syarikat, timbul pula konflik Gezi Park ini. Adakah ini juga berkait rapat dengan keputusan perbincangan Erdogan dan Obama? Atau ada satu pihak yang tidak bersetuju apa yang dibincangkan dengan melakukakan huru hara di Turkey? Di antara sebab utama protes adalah dengan lulusnya beberapa rang undang-undang baru ini di Parlimen Turkey berkuatkuasa minggu lepas. Undang-undang alkohol dan penguguran anak ini dilihat sebagai menyekat kebebasan dan sebagai satu proses islamisasi Turkey. Pengharaman pengguguran anak telah menaikkan kemarahan sebilangan rakyat Turkey yang mengamalkan seks bebas.

Undang-undang alkohol yang baru telah menetapkan larangan meminum minuman keras di di sekitar 100 meter kawasan sekolah dan masjid, dilarang menjual arak daripada pukul 10 malam hingga 6 pagi, pembatasan iklan arak di media dan cerita yang mengandungi arak akan dikaburkan. 'Pernah satu ketika dahulu, dua pemabuk membuat perlembagaan, anda menghormatinya. Namun ketika kami membuat peraturan yang diperintahkan oleh agama anda menolaknya.' Ucap Erdogan di salah satu majlis. Erdogan yang terkenal dengan pemidato yang tegas ini telah mengguriskan beberapa pihak. Walau Erdogan tidak menyebut siapa dua pemabuk itu, umum mengetahui Mustafa Kamal Attaturk merupakan pemabuk, dan dia jugalah yang menulis undang-undang dan perlembagaan Turkey bersama pembantunya Ismet Inonu.


Tidak dinafikan pihak polis telah melakukan kekerasan kepada pihak protestor. Walaupun pihak protestor mungkin melakukan provokasi dahulu, perkara seperti ini perlu diselesaikan secara baik dan aman. Hari ini Presiden Abdullah Gul dan Timbalan Perdana Menteri telah memohon maaf di atas kekerasan pihak polis dan menyatakan akan berunding secara aman dengan pihak protestor. Namun Perdana Menteri Erdogan sebelum terbang ke Utara Afrika menyatakan 50% rakyat Turkey menyokongnya(merujuk kepada pilihanraya lepas) dan mendakwa di belakang kepada protestor ini adalah parti pembangkang CHP(Republican People Party). Ucapan yang keras dan sombong ini juga tidak disenangi oleh pihak protestor dan menyatakan Erdogan melari diri ke Utara Afrika seperti yang dilakukan selepas pengeboman di Reyhanli melarikan diri ke Amerika Syarikat.


Adakah Arab Spring daripada Tunisia, Mesir, Libya telah sampai ke Turkey. Pihak protestor menyatakan kes pokok di Gezi Park adalah pencetus kepada mereka untuk melalukan revolusi di Turkey. Mereka ini yang anti Erdogan telah berkumpul dan mengambil kesempatan di atas isu ini. Namun apakah mereka berkumpul di seluruh Turkey hanya menuntut kebebasan bagi beberapa batang pokok? Saya sendiri telah melihat kebangkitan rakyat arab di Jordan, Syria dan Mesir. Kehidupan di tanah arab amat berbeza daripada Turkey. Erdogan telah memenangi 3 pilihanraya yang bersih dan setiap pilihanraya ada peningkatan. Negara Syria, Mesir, Tunisia dan Libya diperintah oleh diktator berpuluh-puluh tahun tanpa pilihanraya yang adil. Isu ekonomi juga dilihat tiada masalah di Turkey seperti yang berlaku di Arab Spring. Malah demontrasi itu dilakukan di Taksim (Bukit Bintang Turkey) tempat yang paling mahal di Turkey.

Selain itu, isu ekonomi Turkey juga antara penyebab utama bagi protes berdarah ini. Turkey sekarang berada di tahap yang terbaik setelah 100 tahun, ini adalah kali pertama Turkey sifir hutangnya dengan IMF. Pelaburan dan pelancongan sektor juga meningkat dengan baik di Turkey. Masalah ekonomi yang dihadapi di beberapa negara Eropah berlaku di sebaliknya di Turkey. Setelah kejadian Gezi Park, bursa saham Turkey telah sedikit jatuh. Pelabur luar akan takut untuk terus melabur di Turkey. Musuh dalaman dan luar Turkey sedang berusaha untuk menjatuhkan ekonomi Turkey.

Saya percaya isu ini dapat diselesaikan dengan baik. Kita akan sama-sama melihat adakah isu ini akan memberikan kesan kepada pilihan raya akan datang pada 2014 di Turkey? 

Posted on Thursday, June 13, 2013 by Unknown

Saturday, May 18, 2013

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين

صلى الله على محمد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 



Tatkala melihat ragam dan gelagat insan, ianya boleh menjadi iktibar dalam kehidupan. Ada yang melakukan kebaikan kerana Tuhan, ada juga yang melakukan kebaikan kerana insan. Ada yang mengejar dunia hingga lupa suruhan Tuhan, ada yang mengejar akhirat kerana taat akan perintah Tuhan. Lalu, muncullah persoalan tentang niat? Segala amalan bermula daripada niat, dan setiap insan beroleh apa yang diniat. Sabda Nabi SAW,
 

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)



Dalam soal perasaan pun ada insan boleh tersasar niat dan tujuan. Misalnya, ada jenis lelaki, apabila dia meminati seseorang gadis dan berhasrat untuk menjadikannya isteri, dia akan menghadiahkannya macam-macam perkara dan material untuk memikat hati dan meluahkan rasa cinta. Dihadiahkan iPad, iPod, iPhone, Galaxy. Note dan segala bagai kebendaan dan material. Namun, setelah cintanya tidak berbalas dan peminangannya ditolak bulat-bulat, maka dimaki, dikeji, dicaci dan dihamburkan segala kata nista ke atas si gadis itu semata-mata kerana kecewa dan patah hati. Dari situ boleh dinilai keikhlasan niat dan tujuannya.



Begitulah juga, tatkala ada pemimpin yang menabur wang dan pelbagai material bernilai berbillion-billion ringgit demi memikat hati rakyat jelata terutamanya semasa menjelang pilihanraya hanya atas dasar meraih undi. Bukan atas dasar tanggungjawabnya sebagai khadam kepada rakyat. Tiba pada akhirnya, ada di kalangan rakyat tidak memilih dan mengundinya, maka dibuatnya pelbagai andaian dan kesimpulan yang pelik-pelik dan tidak masuk akal. Kemarahan dilemparkan dengan pelbagai kata-kata kecaman ke atas rakyat semata-mata kerana kecewa dan merajuk hati. Walhal, segala wang yang ditabur itu adalah sumber daripada wang pembayar cukai, atau dengan erti kata mudah wang rakyat.



Oleh itu, menurut konteks negara demokrasi, adalah tidak wajar apabila ada segelintir pemimpin memarahi rakyat kerana tidak memilih dan mengundinya setelah ditabur wang dan pelbagai bantuan. Seolah-olah mereka menafikan hak rakyat untuk memilih dan mengundi wakil rakyat yang dirasakan layak berbakti untuk rakyat.



Setiap pemimpin politik haruslah meluruskan dan sentiasa memperbaharui niat mereka dalam berbakti untuk rakyat, terutamanya golongan marhaen dan mustad’afin. Sesungguhnya, hamba Tuhan yang ikhlas dan sejati, berbakti dan berbudi hanyalah kerana mengharap balasan semata-mata dari Tuhan, bukanlah mengharap balasan dari insan.



Ianya juga adalah suatu petunjuk jelas, bahawasanya wang ringgit dan material tidak boleh membeli segala-galanya, termasuklah jantung hati insan yang benar-benar bermaruah dan faham hak mereka menurut sistem negara demokrasi untuk memilih sesiapa sahaja wakil rakyat yang dikehendaki. Namun, hanya kejujuran, ketulusan dan keikhlasan hati sahaja yang mampu memikat hati-hati insan di muka bumi dengan izin Tuhan.



Sekian,



Wallahu’alam.



Adli Abdullah

Exco Penerangan ABIM Melaka

18hb Mei 2013

Posted on Saturday, May 18, 2013 by Unknown