> ABIM Negeri Melaka: Tolak Perkauman

Showing posts with label Tolak Perkauman. Show all posts
Showing posts with label Tolak Perkauman. Show all posts

Thursday, October 24, 2013

21 Oktober 2013:-Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat penyebaran video rakaman perbualan seorang penganut Hindu dengan guru besar sebuah sekolah (mengenai penyembelihan lembu korban di sekolah) yang heboh diperkatakan semenjak kebelakangan ini.
ABIM menilai penyebaran video tersebut sebagai satu usaha yang boleh menimbulkan ketegangan serta merangsang polemik agama serta perkauman yang tidak diingini. Justeru, ABIM berpandangan ia sebagai percubaan untuk memburukkan hubungan antara agama  di Malaysia. Selain dari itu, ia juga mencemar institusi pendidikan yakni sekolah yang seharusnya dihormati.

Sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan perlu diberi dokongan sepenuhnya. Sekiranya berlaku perkara yang tidak wajar, teguran secara terhormat perlu diberikan bukan dengan biadab serta menggunakan saluran media tidak rasmi.

Semangat berkorban adalah semangat yang mulia di sisi agama Islam. Pengorbanan yang digambarkan dalam kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail adalah pengorbanan bagi menegakkan ketaatan berasaskan kebenaran. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa tujuan untuk menghina mana-mana agama.

Seharusnya seluruh masyarakat menghayati kisah ini dan diterjemahkan menerusi semangat perpaduan yang juga turut menuntut pengorbanan. Bagi memastikan semua agama dan bangsa dapat berkongsi negara Malaysia ini maka pengorbanan yang berteraskan semangat perlembagaan mesti dihayati.

Bagi merealisasikan hasrat ini, sekolah adalah tempat yang terbaik. Sekolah perlu untuk memahamkan pelajar secara langsung menerusi aktiviti di dalam kelas mahupun di luar kelas semangat perlembagaan ini. Setiap pelajar mesti menerima reality perlembagaan seperti yang telah termaktub sejak sekian lama.

ABIM yakin dengan kemesraan dan keramahan yang wujud dalam masyarakat, anasir penggugat perpaduan dapat diketepikan. Kepelbagaian dan kerencaman agama, bangsa, dan budaya akan dapat disatukan dalam bingkai kesatuan sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Posted on Thursday, October 24, 2013 by Unknown

Monday, May 13, 2013


Melihat kepada penyebaran maklumat-maklumat yang boleh mencetuskan ketegangan kaum yang semakin berleluasa di media-media sosial, ABIM Melaka merasa bertanggungjawab untuk menyeru masyarakat agar berhati-hati dan tidak terima bulat-bulat. Segala yang beredar di media-media sosial dan arus perdana, boleh jadi benar boleh jadi salah. Sebagai masyarakat madani yang bijaksana, haruslah kritis dalam menilai sebarang maklumat yang tersebar luas di media-media. Firman ALLAH SWT,

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik yang membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Surah Al-Hujurat: 6)

Di zaman penyebaran maklumat yang terlalu pantas ini, perlulah berhati-hati dan menilai segala maklumat secara adil tanpa bias. Kami memberi sebuah contoh, sebagaimana timbulnya dakwaan bahawa wujudnya faktor kaum Cina bersatu padu hanya untuk undi DAP. Namun, dakwaan tersebut adalah benar-benar tidak berasas. Adalah tidak benar berlakunya seperti dakwaan tersebut pada PRU 13. 

Sedangkan, di kawasan majoriti Cina, Cina undi calon Melayu. Manakala di kawasan majoriti Melayu, Melayu undi calon Cina. Kemudian telah terbukti ada calon Melayu yang menang di kawasan majoriti Cina. Dan terbukti ada calon Cina yang menang di kawasan majoriti Melayu. Bermakna seluruh masyarakat majmuk di Malaysia, Melayu, Cina, India dan lain-lain menolak sifat perkauman dengan memilih parti berdasarkan manifesto yang mana dirasakan terbaik dengan tidak mengundi berdasarkan sentimen, bangsa, kaum dan agama semata-mata.

Itu adalah salah satu bukti, bahawa segala maklumat yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum ini, perlu diselidiki dan dikaji kesahihannya terlebih dahulu. Kerana sifat perkauman tidak seharusnya dijadikan budaya politik yang membarah dalam masyarakat.

Walau bagaimana pun, Islam tidak melarang untuk berbangga-bangga dan menyayangi bangsa sendiri. Namun ia melarang sifat perkauman, hingga menganggap bangsa sendiri lebih mulia daripada bangsa-bangsa lain, sepertimana bangsa Yahudi yang merasakan bangsa mereka adalah ‘the choosen people’ dan bangsa lain sebagai ‘goyim’ (lembu). Sedangkan Islam tidak mengajar bahawa setiap insan itu mulia kerana bangsa, darjat dan darah keturunan. Setiap insan itu boleh menjadi mulia hanya dengan iman dan taqwa. Firman ALLAH SWT,

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al-Hujurat: 13)

Kerana Islam adalah rahmat untuk sekalian alam, dan Islam adalah agama yang merentasi semua bangsa dan warna kulit. Hanyalah nikmat Islam yang boleh menyatu padukan insan-insan di muka bumi ini di atas kalimah tauhid.

Oleh itu, setiap kali membaca/menerima sebarang maklumat di media-media sosial dan arus perdana, pastikan kesahihannya terlebih dahulu sebelum menyebarkannya agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

ABIM Melaka



Posted on Monday, May 13, 2013 by Unknown