> ABIM Negeri Melaka

Wednesday, December 24, 2014


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah melancarkan kempen sumbangan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur. Susulan daripada usaha tersebut, ABIM serta Majlis Belia Malaysia (MBM) akan menggerakkan fasa pertama misi bantuan banjir ke Pantai Timur. Misi ini akan digerakkan mulai 24 Disember 2014 sehingga 26 Disember 2014.

Fasa pertama misi ini merangkumi penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas teruk akibat banjir di negeri Pahang, Terengganu, dan Kelantan. Di samping itu, misi bantuan ini juga akan akan melakukan misi peninjauan untuk merangka fasa misi bantuan banjir yang berikutnya. ABIM juga telah membuka bilik operasinya di negeri-negeri yang terjejas teruk untuk memudahkan bantuan disalurkan di samping memantau perkembangan semasa.

Memandangkan keadaan banjir yang semakin kritikal, sumbangan daripada warga masyarakat yang prihatin amat dialu-alukan. Sumbangan boleh disampaikan menerusi akaun ABIM (Maybank: 5642 2161 0116). ABIM juga telah membuka bilik operasi serta pusat pengumpulan di Sekretariat ABIM Pusat, Taman Cemerlang, Kuala Lumpur.

Pusat pengumpulan bantuan ini hanya menerima bantuan dalam bentuk Hygiene kit (berus & ubat gigi, sabun mandi, syampu), Pakaian solat , Tuala wanita , dan Lampin Bayi Hubungi talian hotline ( 019-293 6700 ) serta 013-311 7560 (Zikri). Pusat pengumpulan juga telah dibuka di ADAB Youth Garage Seksyen 2, Bandar Baru Bangi. Sila Hubungi Yasir: 011-2128 2023 (U.P:Yasir).

Rujuk Maklumat Terkini Perkembangan Banjir Di Pantai Timur Menerusi Page Active-Fast Centre

Sumber: ABIM Pusat

Posted on Wednesday, December 24, 2014 by Unknown


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam waran tangkap peringkat kod merah yang dikemukakan ke atas ulama’ tersohor, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawiy. Waran ini dikeluarkan oleh Badan Polis Antarabangsa (Interpol) atas permintaan daripada kerajaan Regim As-Sisi Mesir, yang mengaitkan Al-Qaradhawiy , dengan tuduhan menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vandalisme dan kecurian. Sesungguhnya dakwaan ini sangat berat memandangkan ia merupakan fitnah semata-mata. 

Mengikut catatan dalam buku Thawrah sya'b (Kebangkitan Rakyat), ketika kemuncak kebangkitan rakyat di Mesir, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawiy tetap mempertahankan pendekatan tunjuk perasaan secara aman walau diminta berkali-kali untuk membenarkan rakyat Mesir menggunakan kekerasan sebagai tindakbalas terhadap kekejaman yang dilakukan oleh pihak polis serta samseng upahan Hosni Mubarak. 

Walaupun ramai rakyat Mesir yang dibunuh secara kejam, Yusuf Al-Qaradhawiy tetap menyeru rakyat Mesir untuk meneruskan perhimpunan serta protes secara aman. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab menganjurkan agar para pemuda yang menyertai demonstrasi agar menunjukkan akhlak yang baik. Beliau juga meminta agar pihak penganjur demonstrasi mengutip sampah membersihkan Dataran Tahrir. Keadaan ini jelas menunjukkan kesetiaan beliau dalam mempertahankan prinsip asas demokrasi serta hak asasi manusia, secara aman tanpa menumpahkan darah. 

Atas dasar ini, masyarakat antarabangsa yang mendokong demokrasi seharusnya bangkit dan memprotes sebarang bentuk cubaan untuk merosakkan semangat demokrasi yang semestinya selari dengan Islam. Dunia Islam juga seharusnya menolak waran ini. Berdasarkan kenyataan di atas, tiada sebarang bukti untuk kaitkan Qaradhawi dengan sebarang aktiviti keganasan. 

Kerajaan Mesir yang mengeluarkan waran ini jelas bersikap 'double standard' dengan memejamkan mata terhadap kezaliman Hosni Mubarak dengan melepaskan beliau dari segala tuduhan, sedangkan kita sedia maklum ramai penggerak Ikhwan Muslimin dinafikan hak demokrasi mereka, dipenjara, diseksa tanpa mendapat perbicaraan yang sewajarnya. 

Justeru, ABIM menyeru kerajaan agar mengambil pendirian tegas dengan menyokong Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawiy, selaku penerima Tokoh Maal Hijrah 2009. Sokongan ini perlu disuarakan atas dasar mempertahankan wacana kesederhanaan sebagai aliran pemikiran utama sejagat. Dukungan ke atas Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawiy juga menzahirkan komitmen kita ke atas keluhuran amalan demokrasi dan hak asasi manusia. 

Amidi Abdul Manan 
Presiden ABIM

Sumber: ABIM Pusat

Posted on Wednesday, December 24, 2014 by Unknown

Thursday, September 11, 2014

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menuntut agar ditubuhkan satu jawatankuasa yang bebas seperti Suruhanjaya diRaja bagi menyiasat insiden kertas peperiksaan UPSR yang telah didapati bocor untuk membersihkan imej dan kepercayaan terhadap urus kendali peperiksaan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan ABIM, kejadian ini memberikan imej yang cukup buruk terhadap Lembaga Peperiksaan Malaysia yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Punca kepada kejadian ini adalah persepsi yang salah terhadap pendidikan di Malaysia sebagai peperiksaan semata-mata.

Ini diakui oleh Dr. Khodori Ahmad, bekas Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia yang dipetik sebagai berkata masyarakat sanggup membuat apa sahaja demi mencatat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan walaupun menyalahi moral, etika dan undang-undang.

Kenyataan itu turut memetik yang UPSR adalah ujian untuk mengetahui tahap penguasaan pelajar di peringkat asas pendidikan negara.

Ia merupakan tapisan pertama untuk memasuki sekolah-sekolah pilihan di peringkat menengah.

Bagi mengendalikan ‘kegilaan’ masyarakat awam yang obses dengan sekolah pilihan seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), maka ABIM turut mencadangkan tapisan pertama untuk memasuki.

Dengan memperkenalkan secara lebih meluas peperiksaan atau ujian kemasukan yang khusus bagi sekolah-sekolah terpilih sedemikian.

Keduanya, untuk merapatkan jurang antara sekolah pilihan dan bukan pilihan dengan memperlengkapkan kemudahan, latihan, kecekapan dan sebagainya.

ABIM juga menuntut agar ditubuhkan satu jawatankuasa yang bebas seperti Suruhanjaya diRaja bagi menyiasat perkara ini untuk membersihkan imej dan kepercayaan terhadap urus kendali peperiksaan dalam system pendidikan di Malaysia.

ABIM juga merakamkan kebimbangan terhadap pelaksanaan PT3 yang akan dikendalikan secara sepenuhnya pada bulan Oktober. Kebimbangan ini berasaskan kepada keputusan PT3 yang akan digunakan sebagai syarat kemasukan ke sekolah-sekolah pilihan seperti SBP dan MRSM.

- Astro Awani

Posted on Thursday, September 11, 2014 by Unknown

Tuesday, June 24, 2014


Selaku OKU, hati dan lidah saya kelu tidak terkata dikala membaca kisah nasib malang menimpa adik Muhammad Firdaus, remaja OKU, menghidap penyakit Celebral Palsy. (Klik untuk laporannya). Cerebral Palsy secara mudah dinyatakan, menyebabkan pertumbuhan tubuh badan yang bantut serta tidak normal dan mengalami masalah pergerakan anggota tubuh. Ada yang masih boleh melakukan pergerakan sungguh pun terbatas dan lemah. Ada yang langsung tidak boleh melakukan sebarang pergerakan terlantar. Manakala dari segi perkembangan minda ada yang tiada masalah. Namun, lazimnya mereka yang ditimpa penyakit Celebral Palsy, mengalami masalah perkembangan minda.

Apa pun, kisah adik Firdaus yang menyayat hati ini, bikin saya tersentak menjentik minda tentang erti Qana'ah (merasai cukup dengan apa yang ada). Merasai cukup dan syukur dengan rahmat dan nikmat dari Allah SWT melimpah ruah tiada bertepian. Merasai cukup dan syukur dengan kasih sayang, perhatian serta didikan emak, ayah dan seluruh ahli keluarga yang melimpah ruah. Namun, adik Firdaus ini belum selayaknya menerima hakikat Qana'ah itu sendiri. Kerana dia tidak menerima kasih sayang, layanan, perhatian dan didikan yang sewajarnya bersesuaian dengan keadaan kesihatannya.

Malahan, paling dikesali adik Firdaus terbiar melarat tidak berbela oleh ibu-bapanya sendiri. Dan mungkin tidak diasah bakat unik dikurniaNya kepada setiap golongan OKU. Kerana setiap insan di muka bumi ini tidak kira sama ada OKU atau pun tidak, Telah dinyatakan Allah SWT, "Telah Kami (Allah) ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian." (At-Tin: 7). 

Maka, ibu-bapanya patut dipertanggungjawabkan di atas apa yang menimpa adik Firdaus. Sekiranya setelah siasatan dilakukan membuktikan mereka cuai serta tidak bertanggungjawab atas amanah kuniaan Allah SWT ini. Mereka patut dihukum dengan hukuman selayaknya.

والله أعلمُ بالـصـواب

'Dan Allah lebih mengetahui yang sebenar-benarnya.'

Adli Abdullah Abdullah
Exco Penerangan ABIM Melaka

Posted on Tuesday, June 24, 2014 by Unknown

Friday, June 20, 2014

TANGGAL 20 Jun diraikan pada setiap tahun sebagai Hari Pelarian Sedunia. Sebagai sebuah organisasi yang terlibat langsung dalam misi kemanusiaan membantu pelarian di seluruh dunia sejak awal penubuhannya, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menzahirkan keprihatinan dan kebimbangan terhadap perkembangan trend sejagat berkaitan pelarian di peringkat global dan kesan-kesan langsung yang terkait dengannya.

Pelarian merujuk kepada sesiapa yang berada di luar negara asal mereka dan mereka yang mempunyai “kebimbangan berasas akan diseksa atas alasan ras, agama, kerakyatan, anggota kumpulan sisual atau fahaman politik tertentu dan kerana itu, tidak berupaya atau sanggup lagi untuk pulang ke negara tersebut”. 

Berasaskan definisi khusus perundangan antarabangsa yang termaktub di dalam Konvensyen 1951 berkaitan Status Pelarian (Konvensyen Pelarian) dan Protokol 1967-nya, jumlah pelarian yang dianggarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sehingga penghujung 2013 secara global ialah seramai 16 juta orang.

Namun agensi tersebut menyatakan bahawa jumlah keseluruhan populasi dunia yang terjejas akibat krisis kemanusiaan adalah jauh lebih tinggi, iaitu seramai 40 juta orang dengan mengambilkira pelbagai kategori lain seperti pencari suaka (asylum seeker), pelarian dalam negara (Internally Displaced Person, IDP) dan warga tanpa negara (stateless person). 

Inilah sebenarnya jumlah yang lebih tepat untuk menggambarkan kadar dan skala pelarian sejagat hari ini. Untuk rekod, ini merupakan angka tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah krisis pelarian global sejak penubuhan UNHCR pada tahun 1951. 

Peperangan dan konflik khususnya di Syria, Republik Afrika Tengah, Congo dan Mali telah menyumbang sekitar 4 juta pelarian global diantara tahun 2011-2013. Di rantau ini, Myanmar sahaja misalnya telah menyumbang sekurang-kurangnya 1.1 juta populasi pelarian dalam rantaian krisis kemanusiaan yang disifatkan UNHCR sebagai terburuk abad ini.

Sesungguhnya masalah melibatkan pelarian tidak boleh dipandang enteng. Masalah pelarian ialah refleksi terhadap keamanan dunia yang kita diami hari ini. Dalam situasi dunia yang diwarnai oleh konflik berpanjangan merentas benua, hampir setiap negara akan merasai dampak krisis pelarian, khususnya negara-negara yang berjiran dengan zon dilanda konflik. Malaysia tidak terkecuali.

Sehingga akhir Mei 2014, terdapat sejumlah 145,025 orang pelarian dan pencari suaka telah didaftarkan di bawah pejabat UNHCR Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 134,430 adalah dari Myanmar dengan jumlah terbesar dari etnik Chin (51,620), Rohingya (37,100), Muslim Myanmar (11,840), Rakhine (7735 ) dan selebihnya lain-lain etnik. Dari sejumlah 10,590 pelarian dari negara-negara lain, Sri Lanka kekal sebagai penyumbang terbesar (4,280) dan konflik di Syria pula telah menyumbang seramai 920 pelarian. 

Perlu diingat bahawa jumlah di atas hanyalah mengambil kira pelarian yang didaftarkan melalui UNHCR. Jumlah mereka yang tidak berdaftar atau diuruskan langsung oleh agensi penguatkuasa kerajaan dan melalui NGO pastinya lebih tinggi. 

Pada masa yang sama, Malaysia bukan merupakan penandatangan Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951. Dalam erti kata lain, perundangan Malaysia tidak mengiktiraf hak-hak berkaitan pelarian seperti yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa. 

Justeru istilah ‘pelarian’ itu sendiri secara teknikal tidak diiktiraf dalam undang-undang negara; yang ada hanyalah pendatang tanpa izin bagi mereka masuk tanpa dokumen pengenalan dan permit yang sah, ataupun tinggal lebih masa dari tempoh yang dibenarkan. 

Pelarian yang berada di Malaysia termasuk dalam kategori ini. Justeru antara masalah utama yang dihadapi oleh ‘pelarian’ ini ialah isu penguatkuasaan dan hukuman undang-undang, kebajikan,kesihatan, pendidikan kanak-kanak dan pekerjaan. 

Di sebalik kesulitan tersebut, Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pendatang kerana pendirian kerajaan yang membantu atas dasar kemanusiaan dan sikap rakyat kita yang terkenal pemurah dalam membantu mereka yang lebih memerlukan.

Justeru bersempena Hari Pelarian Sedunia tahun ini, ABIM ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menjunjung tinggi kemuliaan insani (karamah insaniah) agar terus membantu pelarian yang tertindas dan berdepan kebuluran, penyeksaan dan kematian di negara mereka sendiri. 

Sesungguhnya nilai kemanusian dan kasih sayang sesama insan - seperti yang dianjurkan oleh seluruh agama-agama besar dunia - merentas batas sempadan kenegaraan, warna kulit, ras dan agama. ABIM menyeru agar nilai-nilai murni kemanusian inilah, dan bukannya kebencian dan diskriminasi yang harus menjadi pertimbangan utama dalam menilai sikap dan pendirian kita terhadap mereka. 

Pada masa yang sama , ABIM menyeru agar kita tidak sama sekali akan berkompromi terhadap sebarang unsur jenayah dan elemen keganasan yang secara cuba menyelusup masuk ke negara ini melalui manupulasi pelarian dan pencari suaka; sebagaimana juga kita tidak akan berkompromi terhadap sindiket penyeludupan manusia serta korupsi dan salah guna kuasa pegawai penguatkuasa yang mengaut keuntungan lumayan atas nama pelarian.

Bahkan sebaliknya, ABIM menyeru agar warga Malaysia membantu pelarian yang berada di negara ini melalui kempen kesedaran terhadap kemelaratan mereka, mendaftarkan diri sebagai sukarelawan dan melalui bantuan kewangan khususnya dalam memenuhi keperluan kesihatan dan pendidikan kanak-kanak dan wanita. 

Semoga sumbangan kecil dari individu, organisasi dan pertubuhan ini akan menjanjikan masa depan yang lebih cerah dan dunia yang lebih aman buat pelarian dan umat manusia seluruhnya. 

Selamat Mengenang Hari Pelarian Sedunia 2014! 

Penulis ialah Naib Presiden ABIM.

- Harakah Daily


Posted on Friday, June 20, 2014 by Unknown

Monday, May 26, 2014


SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akan mempertimbangkan untuk  menyaman syarikat pengeluar coklat Cadbury di bawah akta pengguna.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, ia bagi memberi pengajaran kepada syarikat tersebut yang terang-terang mempersendakan umat Islam kerana menggunakan logo halal pada produk yang mengandungi DNA babi.  

“Kita merasakan Cadbury sengaja menipu kerana berselindung sebalik logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Buat masa ini kita tuntut dulu produk keluaran syarikat itu dikeluarkan daripada rak makanan halal di kedai-kedai yang menjualnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, syarikat Cadbury perlu memohon maaf kerana  menyinggung perasaan umat Islam.

“Adakah mereka tidak sedar pengguna paling ramai di negara kita adalah Islam? Jadi perbuatan mereka melampau dan tidak sensitif,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amidi menyuarakan kekesalannya kepada JAKIM yang bertanggungjawab menyelidik produk bagi memastikan statusnya benar-benar halal.

“Jakim rasanya perlu pendekatan yang lebih baik bagi menjaga kemashlahatan Islam daripada terdedah dengan makanan tidak halal.

"Perlunya prosedur baru, bukannya hanya lakukan tinjauan di kilang sahaja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi II, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa (IKIAM), Datuk Mustaffa Idrus berkata insiden itu seolah-olah umat Islam sengaja dipersendakan.

“Kerajaan tidak boleh berlengah lagi, perlu ambil tindakan segera ke atas syarikat Cadbury, ini sudah melampau.

“Kita tidak mahu lagi kejadian seperti ini berulang. Saya sendiri sekarang ini apabila  tengok mana-mana coklat pun akan timbul rasa loya,” katanya.

- Sinar Harian

Posted on Monday, May 26, 2014 by Unknown

Tuesday, April 22, 2014

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu bekas Tun Dr Mahathir Mohamad bertaubat ekoran kritikan terbarunya berkaitan hudud dan kenyataan-kenyataan sinisnya terhadap undang-undang itu sebelum ini.


Presiden ABIM Amidi Abdul Manan (kiri) berkata, kritikan Mahathir yang menolak perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan sepatutnya tidak dilakukannya sebagai pemimpin dunia Islam yang disegani.

"Jika sebelum ini sindiran seperti ‘kalau mahu makan sup tangan bolehlah ke Kelantan’ dan beberapa kenyataan seumpamanya oleh beliau, maka ada baiknya beliau menarik balik kenyataan-kenyataan ini demi keimanan dan kecintaan kepada risalah Rasulullah SAW,” katanya.

Dr Mahathir dalam sidang media Khamis lalu berkata kerajaan Kelantan harus berfikir mendalam sebelum melaksanakan hudud kerana prinsip asas yang perlu ditekankan adalah keadilan.

Beliau berkata kerajaan Kelantan dilihat lebih memberi penekanan kepada hukuman dalam percubaan mereka untuk mengamalkan undang-undang itu.

"Dalam Islam, prinsip yang paling utama adalah keadilan dan terdapat 43 ayat al-Quran yang menyebut jika menghukum, hukumlah dengan adil. Jika sesuatu itu tidak adil, kita tidak boleh menghukum.

"Negara kita ada orang Islam dan bukan Islam. Jika mencuri, orang Islam kena potong tangan dan orang bukan Islam mencuri kena penjara, adil atau tidak?” katanya.

Dr M: keghairahan untuk menghukum
Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama pada sesi meja bulat “Managing Rising Costs in the Current Business Environment”.


Sehubungan itu, Dr Mahathir (kanan) berpendapat cara pelaksanaan undang-undang itu harus diteliti sebaik-baiknya dan tidak hanya dilakukan atas dasar “keghairahan untuk menghukum”.

Dalam kenyataannya hari ini, Amidi membalas, keindahan hukum Islam terletak kepada proses perbicaraan, pembuktian dan urus tadbirnya.

"Kenyataan Dr Mahathir yang menumpukan kepada hukuman boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap hukum hudud," katanya.

Amidi berkata walaupun ABIM menyanjung usaha Dr Mahathir mengangkat martabat Islam, memberi pandangan tanpa merujuk ilmu dan sumber hukum yang tepat tidak sepatutnya dilakukan.

"Tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim apatah lagi sebagai pemimpin adalah bersikap adil termasuk memberi gambaran yang benar terhadap hukum Islam,” katanya.

Kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hudud di Dewan Rakyat, selewat-lewatnya Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan pakar perundangan.

Posted on Tuesday, April 22, 2014 by Unknown